Puasa Isra Mi’raj?

Posted: July 18, 2009 in Uncategorized

APAKAH hukum berpuasa pada tanggal 27 Rajab 1430 H, bersamaan dengan 20 Julai 2009 M?


Jawapan:

Sekiranya seseorang yang berpuasa pada tanggal tersebut dengan harapan ingin mendapatkan pahala puasa sunnah hari Isnin, sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, insya-Allah dia akan memperolehinya sesuai dengan apa yang diamalkannya sepanjang hari.


Terjemahan:

Dari Abu Qatadah Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya tentang berpuasa pada hari Isnin. Jawab baginda: “Pada hari tersebut aku dilahirkan, dan pada hari tersebut diturunkan wahyu kepadaku.”

[HR Muslim].



Namun sekiranya dia berpuasa pada hari tersebut dengan iktikad bahawa “hari tersebut adalah hari terjadinya peristiwa Isra Mi’raj dan sesiapa yang berpuasa pada hari tersebut pasti akan mendapatkan pahala sekian dan sekian atau mendapatkan pahala yang berlipat ganda,” maka hukumnya adalah haram, kerana itu merupakan bid’ah dalam agama.


Berikut adalah penjelasan kepada kata-kata saya di atas. PERTAMA: Tiada siapa yang mengetahui mengenai perkara ghaib, termasuklah urusan pahala, melainkan orang yang diberikan wahyu oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, iaitu Nabi yang mulia, Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Ternyata, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah memberikan satu janji pun bahawa sesiapa yang berpuasa pada hari Isra Mi’raj akan mendapatkan pahala berlipat ganda. Sekiranya ada pihak yang mendakwa bahawa orang yang berpuasa sunnah 27 Rajab akan mendapat pahala yang berganda, itu bererti dia mendakwa dirinya mendapat wahyu ilahi, dan ini merupakan satu dakwaan yang menyanggahi Al-Quran dan As-Sunnah, kerana menurut Al-Quran dan As-Sunnah tiada lagi Nabi selepas Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.


KEDUA: Al-Imam Ibnu Katsir telah membawakan beberapa pendapat mengenai tarikh berlakunya Isra Mi’raj. Ada yang mengatakan 16 bulan sebelum hijrah. Inilah pendapat yang dipegang oleh As-Suddi. Ada pun Az-Zuhri, beliau mengatakan bahawa Isra Mi’raj terjadi setahun sebelum hijrah. Pendapat yang sama disebutkan oleh ‘Urwah. Dalam rujukan yang lain, iaitu buku “IMAM SYAFI’I MENGGUGAT SYAFI’IYYAH” karangan Abu Umar Basyir, beliau membawakan kata-kata seorang ulama dalam mazhab Asy-Syafi’i, iaitu Imam Abu Syamah rahimahullah. Kata Al-Imam, pendapat yang mengatakan Isra Mi’raj terjadi dalam bulan Rajab adalah kedustaan semata-mata. Sekiranya benar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ingin memberikan janji pahala yang berlipat ganda bagi sesiapa yang berpuasa pada hari Isra Mi’raj, sudah pasti baginda akan menjelaskan dengan terperinci bilakah terjadinya Isra Mi’raj supaya umat tidak berselisih pendapat dalam perkara tersebut.


KETIGA: Pernahkah anda mendengar ayat berikut?


Terjemahan:

… Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kalian agama kalian…

[Al-Maidah, 5: 3].


Ayat ini memberikan satu isyarat bahawa “apa yang perlu diajarkan kepada umat Islam” sudah pun lengkap pada hari tersebut. Ternyata, amalan berpuasa pada 27 Rajab tidak termasuk dalam “apa yang perlu diajarkan kepada umat Islam.” Namun begitu, bukankah dengan beriktikad bahawa wujudnya puasa sunnah pada hari 27 Rajab bererti anda meyakini bahawa puasa tersebut sepatutnya termasuk dalam “apa yang perlu diajarkan kepada umat Islam”?


Tahukah anda apakah ertinya apabila anda mempunyai iktikad seperti yang saya sebutkan di atas? Ertinya, anda mempunyai salah satu daripada dua keyakinan berikut. Keyakinan pertama: “Memang la tak ada hadits pasal puasa sunnah 27 Rajab sebab Nabi tak sempat ajar lagi, Allah dah turunkan ayat 3 surah Al-Maidah. Mungkin waktu tu Allah lupa kot yang Nabi tak ajar lagi hadits tu.” Atau pun keyakinan kedua: “Rasa-rasanya la, mungkin Nabi yang tak nak ajar hadits puasa 27 Rajab tu. Sebab mesti Allah bagi semua wahyu kat Nabi. Jadi, semuanya bergantung kepada Nabi je, sama ada dia nak sampaikan atau pun tidak.”


Saya katakan, jika anda mempunyai salah satu daripada dua keyakinan ini, segeralah bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, kerana tidak mungkin Allah mempunyai sifat lupa, dan tidak mungkin pula insan mulia yang bernama Muhammad bin ‘Abdullah menyembunyikan wahyu ilahi. Maka berhati-hatilah dengan sebarang bentuk bid’ah, kerana yang dinamakan bid’ah itu adalah penambahan dalam agama Islam setelah Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri mengisytiharkan bahawa agama Islam telah pun lengkap.


KEEMPAT: Apabila tiada ayat Al-Quran atau hadits Nabawi yang menyebutkan tentang sesuatu ibadah, maka kita diharamkan untuk melakukan ibadah tersebut. Perkara ini telah saya sebutkan dalam entry HALALKAH PEMPEK.


Terjemahan:

Adakah bagi mereka sekutu-sekutu (selain Allah) yang mensyari’atkan kepada mereka bahagian daripada agama yang tidak diizinkan oleh Allah?

[Asy-Syura, 42: 21].


Terjemahan:

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, katanya: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami yang ini (yakni urusan agama), apa yang bukan berasal daripadanya, nescaya ia tertolak.”

[Muttafaqun 'alaihi].


Berdasarkan ayat 21 surah Asy-Syura, Allah menyamakan orang yang melakukan suatu amalan yang tidak berasal daripada syari’atNya dengan orang yang mempunyai sekutu-sekutu bagi Allah.


KELIMA: Mungkin akan ada yang berkata, “Takkan nak puasa pun bid’ah? Masuk neraka pulak tu? Bukan pergi disko pun…” Saya katakan, berpuasa pada hari tersebut tiada salahnya, malah sekiranya iktikad anda kerana ingin berpuasa sunnah hari Isnin, anda akan mendapatkan pahala dan insya-Allah semakin jauh daripada neraka. Tetapi jika iktikad anda tidak benar, maka itulah jawapannya. Tidak semua amalan yang KITA anggap baik, dipandang baik di sisi ALLAH. Di zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, ada tiga orang yang berjumpa dengan isteri Rasulullah untuk bertanya tentang ibadah-ibadah Rasulullah. Setelah mendengar penjelasan isteri baginda, salah seorang antara mereka berkata, aku ingin solat sepanjang malam selama-lamanya. Kata yang lain, aku ingin berpuasa setiap hari. Kata sahabat yang terakhir, aku tidak ingin berkahwin. Apabila Rasulullah mendengar kata-kata mereka, Rasulullah melarang ketiga-tiganya daripada melakukan semua itu. Persoalannya, bukankah puasa setiap hari boleh dikatakan satu amalan yang cukup baik kerana itu lebih mendekatkan kita kepada Allah? Jawapannya TIDAK, kerana Rasulullah sendiri yang melarangnya. Tidak semua amalan yang kita anggap baik adalah baik.


KEENAM: Sekiranya anda masih tidak mahu menerima hujah saya di atas, cuma ada satu jalan sahaja lagi. Jalannya adalah beramal mengikut keyakinan masing-masing sambil menunggu ketibaan hari kebangkitan. Insya-Allah, di sana akan dibentangkan segala-galanya. Yang benar akan kelihatan jelas, yang batil juga akan kelihatan jelas. Saya sudah menyampaikan apa yang sepatutnya saya sampaikan. Jadi saya tidak dapat lagi bertanggungjawab atas apa yang akan berlaku di hari kebangkitan nanti. Semoga kita semua akan mendapat kesudahan yang baik.


Saya rasa sampai di sini sahaja entry untuk kali ini. Mungkin entry ini agak berat bagi sesetengah pihak yang sudah terbiasa dengan amalan-amalan yang tidak bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah yang shahih, namun berusahalah sedaya upaya untuk menghindarinya. Kita hidup cuma sekali. Gunakanlah peluang ini untuk menggapai syurga Allah. Semoga bermanfaat buat semua, insya-Allah. Berjuta-juta kemaafan saya pohonkan sekiranya bahasa saya terlalu kasar untuk entry kali ini.


Oleh: Adli Khalim [Jakarta Barat]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s