Review Buku: Kau Sembah Apa?

Posted: December 1, 2018 in Kitab / Buku

 

TAJUK: Kau Sembah Apa?

PENULIS: Ahmad Iqram Mohamed Nor

TERBITAN: Puteh Press

 

Ini merupakan karya kedua penulis yang telah saya habiskan bacaannya (sebelum ini saya pernah membaca karya beliau yang bertajuk: “Yahudi, Kristian, Hindu, dan Buddha Berasal daripada Islam?”). Buku ini sangat disyorkan untuk dihadam bagi sesiapa yang ingin berinteraksi dengan agama-agama lain di Malaysia, termasuklah para asatizah.

 

Gaya penulisan yang menarik, banyak maklumat tentang agama lain yang disajikan dalam penulisan ini; asal-usulnya, kitab sucinya, kepercayaannya. Malah, penulis turut menyentuh isu-isu keagamaan yang bersifat sensitif yang perlu dijaga oleh setiap individu muslim di Malaysia dalam menjalani kehidupan di tengah-tengah masyarakat majmuk di tanah air ini.

 

Antara contoh yang menarik:

  • Perbezaan mazhab antara Buddha; sekiranya anda pernah menonton filem Shaolin pasti anda akan melihat sami memakai pakaian kuning dan coklat, menutupi keseluruhan badan mereka, sedangkan sami-sami yang berasal dari Thailand akan memakai jubah berwarna oren dan bahu kanannya akan didedahkan.
  • Agama Buddha sangat menjaga toleransi dengan agama lain, namun mengapa isu pembunuhan umat Islam berlaku di Rohingya?
  • Buddha bukanlah Tuhan.
  • Isu patung sembahan dalam rupa bentuk Haji dan Hajah oleh penganut fahaman Tao?
  • Perbezaan mazhab Kristian Katolik & Protestan boleh dilihat dari tanda salib yang dipakai oleh golongan Kristian.
  • Isu Holy Water yang sangat digeruni oleh kaum muslimin di Malaysia suatu ketika dahulu. Tahukah anda, Holy Water hanyalah air paip biasa yang dibacakan jampi oleh paderi?
  • Lembu sebagai haiwan suci atau Tuhan di sisi penganut Hindu?
  • Mengelakkan memanggil penganut Hindu dengan gelaran keling/paria.
  • Hindu; Tuhannya satu atau tiga atau banyak? Persoalan ini turut dirungkaikan dalam penulisan ini.
  • Agama Sikh; percampuran antara Hindu & Islam.
  • Paksaan terhadap golongan Sikh untuk memotong rambut sedangkan perkara tersebut adalah larangan dalam agamanya. Sebagaimana golongan muslimah dilarang mempamerkan aurat kepada golongan ajnabi.

 

 

TAJUK: Bahaya Memahami Hadits Tanpa Melihat Konteks

PENULIS: Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

TERBITAN: Lentera Jaya Abadi (Jakarta Timur)

 

Buku ini merupakan buku pertama yang ditulis oleh Ṣāḥib al-Ṣamāḥah Mufti Negeri Perlis Dr. MAZA dalam bahasa Inggeris (tajuk asal: The Importance of Understanding the Text and the Context of Hadith), yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Ustadz Teguh Iman Perdana.

 

Fokus utama buku ini adalah kepentingan memahami sabab al-wurud (sebab yang menyebabkan munculnya sesuatu ḥadīth). Ketidakmampuan seseorang untuk memahami elemen ini akan menyebabkan pemahaman terhadap ḥadīth tersebut tidak selari dengan ruh shari`ah Islam yang sebenar. Penulis telah membawakan banyak sekali contoh untuk memahamkan para pembaca tentang point-point yang beliau ingin gariskan.

 

Antara contoh yang menarik:

  • Kenapa sebahagian `ulamā’ berpendapat boleh menjawab salam orang kafir sebagaimana kita menjawab salam orang Islam?
  • Kenapa Nabi ﷺ membenarkan seorang lelaki tua mencium isteri dalam keadaan berpuasa, sedangkan baginda melarang seorang pemuda melakukan perbuatan yang sama?
  • Adakah menjadi sunnah berbekam pada bila-bila masa sahaja?
  • Mengapa wujudnya ḥadīth yang melarang meminta jawatan, sedangkan dalam al-Qur’ān dirakamkan kisah Nabi Yūsuf `alayhi al-salām yang meminta jawatan?
  • Adakah kita dilarang daripada menyimpan daging kurban lebih daripada 3 hari?
  • Mengapa sebahagian `ulamā’ lebih cenderung kepada kaedah hisab berbanding kaedah ru’yah sedangkan ḥadīth jelas mengajarkan kita penentuan awal Ramaḍān adalah melalui kaedah ru’yah?
  • Kebijaksanaan al-Imām al-Shāfi`ī dalam mentafsirkan ḥadīth “Biarkan burung-burung tetap di sarangnya” sehingga tafsiran tersebut dipersetujui oleh 2 `ulamā’ ḥadīth besar (al-Imām Waki` dan al-Imam Aḥmad).
  • Perlukah kita menyimpan kurma di rumah kita, berdasarkan ḥadīth “Rumah yang tidak mempunyai kurma maka penghuninya akan kelaparan”?

Review Buku: Keindahan Islam

Posted: October 9, 2018 in Kitab / Buku

 

TAJUK: Keindahan Islam

PENULIS: Para Pensyarah Universiti Islam Madinah

PENTERJEMAH: Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman

TERBITAN: Telaga Biru Sdn Bhd

 

Buku ini (tajuk asal: Maḥāsin al-Islām) merupakan sebuah karya yang dihasilkan oleh beberapa orang pensyarah di Universiti Islam Madinah, yang memfokuskan kepada hikmah-hikmah di sebalik pensyariatan sesuatu hukum dalam Islam. Di alam realiti, keindahan tersebut tidaklah begitu jelas, kerana tidak semua umat Islam benar-benar mengamalkannya. Namun, sekiranya benar-benar diterapkan dalam kehidupan seharian kaum muslimin, tidak mustahil lebih ramai golongan non-muslim akan tertarik dengan din al-Islām.

 

Buku ini dibahagikan kepada 9 bab; iaitu Pendahuluan, `Aqidah, Ibadah, Kekeluargaan, Larangan, Perundangan, Politik, Akhlak, dan Penutup. Secara peribadi, saya suka membaca bab Kekeluargaan (perkahwinan, poligami, talak, warisan, dan sebagainya) kerana penjelasan yang diberikan banyak merungkai pelbagai masalah dan kekeliruan yang timbul dalam masyarakat. Perbahasan tentang talak misalnya -walaupun tidak disukai oleh banyak pihak- merupakan rahmat yang cukup besar bagi sesetengah pasangan, begitu juga kepada anak-anak terutama dari aspek psikologi.

Review Buku: Aku Muslim Sunni

Posted: September 21, 2018 in Kitab / Buku

 

TAJUK: Aku Muslim Sunni

PENULIS: Dr. Mohammad Nidzam Abd Kadir

TERBITAN: Telaga Biru Sdn Bhd

 

Buku ini merupakan satu bacaan ringkas yang sangat sesuai untuk para pembaca yang sibuk untuk meluangkan masa mereka. Penulis menyajikan perbahasan dalam buku ini dalam tajuk-tajuk kecil, hanya membawakan beberapa dalil yang berkaitan bagi setiap tajuk. Tiada perbahasan yang berbentuk perbandingan antara firqah-firqah dalam Islam, tetapi sekadar menyebutkan dalil yang menjadi hujah dalam mazhab Ahli Sunnah wa al-Jama`ah (akan disingkatkan menjadi ASWJ). Sebagaimana yang beliau sebutkan dalam segmen “Kata Pengarang”, penulis sama sekali tidak menyalahkan mana-mana firqah dalam Islam, dan beliau hanya akan menyebutkan pertentangan antara pegangan firqah tersebut dengan ASWJ.

 

Antara beberapa isu yang saya kurang bersetuju dengan penulis:

  1. Apabila beliau menyebutkan tentang ASWJ, beliau hanya merujuk kepada mazhab merujuk kepada mazhab al-Asyā`irah dan al-Māturīdiyyah tanpa tidak memasukkan mazhab al-salafiyyah (mazhab Imam Ahmad) dalam kelompok yang sama. Mungkin kerana mazhab al-Asyā`irah dan al-Māturīdiyyah merupakan mazhab ASWJ yang menjadi pegangan majoriti kaum muslimin hari ini.
  2. Beliau merujuk karya Shaykh `Abdullah al-Hararī, seorang tokoh yang kontroversi di dunia Islam hari ini pada beberapa tempat dalam buku ini. Sedangkan, tokoh ini dikritik oleh Dr. Yūsuf al-Qaraḍawī kerana sikapnya yang melampau dalam mengkafirkan tokoh muslimin yang lain, wallahu a`lam.
  3. Beliau juga menerima konsep bid`ah ḥasanah, dengan membawakan contoh bacaan Yasin pada malam Jumaat. Hujahnya adalah ada riwayat yang ṣaḥīḥ menyebut tentang perhimpunan untuk membaca al-Qur’ān. Walaupun isu bid`ah ḥasanah sebegini tidaklah sebesar isu bid`ah pada `aqīdah (Mu`tazilah, Shī`ah, Jabbariyyah, Khawārij)

 

Namun, secara umumnya, saya tetap menganggap buku ini bagus untuk rujukan orang awam yang ingin mendapatkan gambaran secara ringkas tentang prinsip-prinsip ASWJ. Adapun bagi mereka yang ingin mendalami mazhab ASWJ dengan lebih terperinci, mereka perlu merujuk kitab lain yang lebih terperinci perbahasannya.

 

TAJUK: Oh, Begitu Rupanya Kisah Nabi Adam

PENULIS: Dr. Salah Abdul Fattah Al-Khalidi

TERBITAN: Al Khalidi Global Reosurces

 

Nama penulis buku ini saya kira sudah tidak asing lagi di kalangan pelajar-pelajar tafsir. Nama ini juga sering meniti di bibir-bibir para asātidhah kita apabila mereka ingin menukilkan pandangan-pandangan tentang suatu tafsiran ayat al-Qur’ān. Namun, inilah pertama kali saya berpeluang membaca karya beliau (dalam bentuk terjemahan), dan memang tak dapat saya nafikan kehebatan beliau sehingga beliau menjadi rujukan para asātidhah kita di Malaysia.

 

Fokus buku ini sangat mudah; mengolah semula kisah Nabi Adam `alayhi al-salām bermula dari zaman sebelum baginda diciptakan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah ﷻ. Namun, penulis telah memberikan satu perkara yang sangat penting sepanjang penulisan ini; kita tidak memerlukan riwayat Isrā’iliyyat dalam usaha untuk memahami kisah kehidupan Nabi Adam `alayhi al-salām berserta isteri baginda, Ḥawwā’, dan seteru utama baginda iaitu Iblīs.

 

Dalam karya ini, kita akan dapati dalam banyak tempat penulis akan menyebutkan betapa kita tidak memerlukan riwayat Isrā’iliyyat untuk menjawab persoalan-persoalan yang timbul di sepanjang hidup Nabi Adam, bahkan penulis akan membawakan beberapa kemungkinan yang lebih logik untuk mengisi “kelompongan” kisah tersebut. Penulis juga banyak mengkritik golongan yang suka memasukkan riwayat Isrā’iliyyat dalam penyampaian kisah Nabi Adam sehinggakan riwayat tersebut menjadi satu kepercayaan yang diturunkan dari generasi ke generasi kaum muslimin.

 

Antara persoalan menarik yang dilontarkan oleh penulis dalam karyanya:

  • Perbezaan antara jin, Iblīs, dan Shayṭān; ramai yang salah faham malah mencampuradukkan antara ketiga-tiga istilah ini.
  • Apakah sifat dan naluri manusia sehinggakan Allah memilih mereka untuk menjadi khalifah di muka bumi, dan bukan para malā’ikat?
  • Apakah titik kelemahan Nabi Adam `alayhi al-salām yang telah disaksikan oleh Iblīs sehingga dia dapat memanfaatkan maklumat tersebut di hari kemudian?
  • Benarkah dakwaan yang mengatakan para malā’ikat “mempersoalkan” penciptaan Nabi Adam `alayhi al-salām sedangkan diketahui umum bahawa mereka adalah golongan yang sangat taat, patuh, dan sangat beradab?
  • Bagaimanakah para malā’ikat mengetahui bahawa “khalifah” di bumi akan merosakkannya, dan saling menumpahkan darah?
  • Apakah kata-kata dan perbuatan pertama Nabi Adam `alayhi al-salām?
  • Apakah maksud ḥadīth “Adam diciptakan berdasarkan rupa bentuknya”?
  • Pengakuan Iblīs bahawa dia berasal daripada kalangan jin, dan bukannya kalangan malā’ikat sebagaimana yang dipercayai oleh sebahagian kaum muslimin.
  • Permintaan Iblīs untuk hidup kekal abadi tetapi tidak diizinkan oleh Allah ﷻ.
  • Penolakan riwayat Isrā’iliyyat yang mengatakan Ḥawwā’ diciptakan daripada tulang rusuk.
  • Bagaimana Nabi Adam `alayhi al-salām boleh terpedaya dengan Shayṭān sedangkan baginda telah diingatkan tentangnya?
  • Adakah benar Ḥawwā’ yang menggoda dan memujuk Nabi Adam `alayhi al-salām untuk memakan buah daripada pokok larangan?
  • Apakah perbezaan antara maksiat Nabi Adam `alayhi al-salām kepada Allah ﷻ dan maksiat Iblīs kepada Allah ﷻ?
  • Di manakah Nabi Adam `alayhi al-salām diturunkan, dan bilakah kejadian tersebut berlaku?

 

TAJUK: Hadis-Hadis Sahih Terbukti Masa Kini

PENULIS: Ashraf bin Suarin

TERBITAN: Kemilau Publika Sdn Bhd

 

Ini merupakan buku ke-8 yang berjaya saya tamatkan pembacaannya pada tahun 2018, alhamdulillah. Berdasarkan tajuk buku ini, saya kira para pembaca sudah boleh meneka topik perbahasan yang dimuatkan oleh penulis; iaitu kebenaran sabda Rasulullah ﷺ yang telah menjadi realiti hari ini. Cuma, ada 2 perkara yang membuatkan saya sedikit kurang senang; (1) penomboran yang digunakan dalam menyatakan sumber ḥadīth tidak menepati penomboran yang biasa digunakan, dan (2) ḥadīth selain riwayat al-Bukhārī dan Muslim tidak dinyatakan status keṣaḥīḥannya.

 

Antara tajuk yang menarik untuk dibaca:

  • Budaya gosip – dikaitkan dengan tayangan yang bergenre gosip yang tinggi ratingnya di saluran TV.
  • Kealiman dikalahkan oleh kejahilan – contoh yang diberikan adalah bagaimana kebergantungan para “penggiat dakwah” kepada para pemimpin atau orang kaya. Dakwah harus mengikut telunjuk golongang yang berpengaruh.
  • Islam menjadi agama terbesar di muka bumi – penulis telah membawakan statistik bagi membuktikan kenyataan ini.
  • Ketiadaan imam solat berjemaah – sukar untuk dicari imam-imam di masjid, sama ada desa atau kota, yang betul-betul layak dan memenuhi kriteria untuk menjadi imam. Kebanyakan “imam” terpaksa menjadi imam kerana tiada orang yang benar-benar alim yang ingin menjadi imam, bahkan sebahagian orang alim jarang solat berjemaah.
  • Harapan Rasulullah untuk umat terjawab – beberapa riwayat menyebutkan bahawa baginda berdoa kepada Allah ﷻ namun terdapat satu doa yang tidak dimakbulkan; iaitu permintaan baginda agar umat baginda tidak saling menyakiti dan tidak saling membinasakan antara satu sama lain. Dan penolakan doa baginda ini memang jelas terjadi pada zaman kini.

 

TAJUK: Keajaiban Bahasa Al-Quran

PENULIS: Ustaz Mohamad Zulkifli Abd Rahman

TERBITAN: Telaga Biru Sdn Bhd

 

Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan bacaan buku ke-7 untuk tahun 2018. Kali ini saya memilih buku yang bertemakan tadabbur Al-Qur’ān. Jujur saya katakan, ketika pertama kali saya membelek buku ini, saya teragak-agak untuk membelinya; faktor utamanya adalah kerana saya tidak mengenali penulisnya, tidak pernah mendengar nama beliau, dan tidak mengetahui manhaj beliau.

 

Namun, apabila saya halaman yang menyenaraikan isi kandungan buku, saya ternampak satu bab yang agak menarik, iaitu rahsia perbezaan kalimah خالدين فيها (mereka kekal di dalamnya) dengan خالدا فيها (dia dalam keadaan kekal di dalamnya). Saya belek ke halaman yang dimaksudkan dan saya berasa terpegun dengan perbahasan yang beliau bawakan dalam bab tersebut. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli buku ini, hanya dengan membaca bab pendek tersebut.

 

Alhamdulillah, tindakan membeli buku ini bukanlah satu kesilapan. Pelbagai rahsia ungkapan yang Allah ﷻ gunakan dalam kitab suci-Nya dibongkarkan oleh penulis, dan setiap perbahasannya pula dirujuk kepada tafsir-tafsir mu`tabar, sama ada tafsir klasik (Tafsīr Ibn Kathīr, Tafsīr al-Qurṭubī, Fatḥ al-Qadīr karya al-Shawkānī, Tafsīr al-Zamakhsharī), mahupun tafsir moden (Aḍwā’ al-Bayān karya al-Shanqīṭī, Ma`a Qaṣaṣ al-Sabiqīn karya Dr. Ṣalāḥ `Abd al-Fattāḥ al-Khālidī).

 

Antara tajuk yang menarik untuk dibaca:

 

  • Mengapa Allah menyebut ayat فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا, kemudian Dia mengulanginya: إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا?

 

  • Mengapa ketika berbicara tentang penghuni syurga, Allah menggunakan ungkapan: خَالِدِينَ فِيهَا (mereka kekal di dalamnya) sedangkan ketika berbicara tentang penghuni neraka, Allah menggunakan ungkapan: خَالِدًا فِيهَا (dia dalam keadaan kekal di dalamnya)?

 

  • Apakah perbezaan antara kalimah (كَسَبَتْ) dan (اكْتَسَبَتْ) dalam ayat: لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ?

 

  • Mengapa perkataan kegelapan didatangkan dalam bentuk plural (الظُّلُمَاتِ) sedangkan perkataan cahaya didatangkan dalam bentuk singular (النُّورَ)?

 

  • Ketika malaikat datang bertemu Nabiyullah Ibrāhīm `alayhi al-salam, mereka memberi salam dengan ungkapan (سَلَامًا), sedangkan baginda menjawab dengan ungkapan (سَلَامٌ). Tahukah anda, apakah mesej yang cuba disampaikan oleh Allah ﷻ tentang sifat Nabi Ibrāhīm melalui sepotong ayat ini?

 

Selamat membaca.

 

TAJUK: Fiqh Hadith Imam Al-Syāfi`ī

PENULIS: Ustaz Umar Muhammad Noor

 

Ini merupakan buku ke-6 yang telah saya habiskan bacaannya untuk tahun 2018. Satu buku yang sangat menarik, mengumpulkan pendapat-pendapat Al-Imām Al-Mujtahid Asy-Syāfi`ī (walaupun bukan semua pendapat Al-Imām menjadi pandangan muktamad mazhab). Penulis memang menyebutkan bahawa fokus utama beliau menuliskan buku ini adalah untuk menjelaskan pandangan dan hujah Al-Imām, serta cara beliau berfikir dan mengeluarkan pendapat. Penulis membahagikan buku ini kepada 2 bahagian. Bahagian 1 membahaskan tentang beberapa prinsip dan kaedah penting (termasuklah guru-guru Al-Imām, karya Al-Imām, Qawl Qadīm dan Qawl Jadīd, maksud ucapan Al-Imām “Ḥadīth Ṣaḥīḥ adalah mazhabku”). Bahagian 2 pula membahaskan tentang pandangan-padangan fiqh Al-Imām. Uniknya, kita akan dapati beberapa pendapat Al-Imām yang sangat berbeza dengan apa yang tersebar dalam masyarakat. Namun, kita harus tahu bahawa pandangan-pandangan yang disebutkan oleh penulis inilah yang benar-benar menggambarkan pandangan sebenar Al-Imām memandangkan penulis banyak merujuk riwayat-riwayat daripada murid-murid Al-Imām sendiri. Antara pandangan fiqh Al-Imām yang agak menarik untuk diketahui adalah:

* Adakah hukum kencing bayi lelaki dan perempuan berbeza di sisi Al-Imām?

* Mengapa Al-Imām berpandangan menyentuh lawan jenis membatalkan wuḍu’ sedangkan `Ā’ishah pernah menyebut bahawa Rasūlullah pernah menciumnya lalu tidak berwuḍu’ kembali?

* Mengapa Al-Imām menganggap bacaan basmalah perlu dijahrkan dalam solat sedangkan riwayat Imām Muslim jelas menyebutkan bahawa Anas raḍiyallahu `anhu menafikan Nabi, Abu Bakr, `Umar, dan Uthmān membaca basmalah secara jahr dalam solat?

* Qunūt Ṣubuḥ tidak bid`ah bahkan Al-Imām berhujah dengan ḥadīth ṣaḥiḥ ketika menetapkan sunatnya berqunūt ketika solat Ṣubuḥ.

* Hukum bercakap ketika khutbah Juma`at tidaklah haram di sisi Al-Imām.

* Benarkah Al-Imām membenarkan seorang bapa zina berkahwin dengan anak hasil perzinaannya sendiri? Atau ini merupakan salah faham pengikut mazhab beliau semata-mata?

Image  —  Posted: June 11, 2018 in Uncategorized

10 Ramadhan Dah Berakhir

Posted: May 26, 2018 in Renungan

SEPERTIGA pertama Ramadhan sudah melabuhkan tirainya, hanya tinggal lebih kurang 20 hari lagi untuk kita jalani. Persoalannya, adakah kita benar-benar berpuas hati dengan prestasi kita sepanjang 10 hari yang pertama ini?

.

Sebahagian daripada kita berazam untuk menghabiskan bacaan 1 juz Al-Qur’an pada setiap hari; adakah azam tersebut telah ditunaikan sepanjang 10 hari pertama ini?

.

Sebahagian pula berazam untuk tidak meniggalkan tarawih dan witir setiap malam, adakah azam ini juga telah tertunai?

.

Inilah masanya untuk kita muhasabah diri masing-masing.

.

Kepada mereka yang masih ingin mengkhatam Al-Qur’an pada bulan Ramadhan ini, tetapi tidak berjaya menghabiskan bacaan 1 juz setiap hari dalam tempoh 10 hari pertama ini, masih berkemungkinan untuk merealisasikan harapannya itu.

.

Bagi mereka yang berazam untuk tidak meninggalkan tarawih dan witir, masih boleh memperbaharui azam untuk tidak lagi meninggalkan kedua-dua solat tersebut untuk 20 hari yang akan datang.

.

Juga jangan lupa untuk mentarbiyah lisan daripada perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala ibadah puasa.
Jangan lupa zikir-zikir harian (zikir pagi dan petang, istighfar).
.

Kurangkan mengulas tentang PRU14 kerana saya melihat tidak sedikit yang mengulas perkara ini tanpa kritik mengkritik, tanpa caci maki, tanpa sindiran dan perlian. Kena ingat, jangan sampai puasa kita tiada ganjaran hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata.
.

Sentiasa berdoa agar Allah ﷻ menerima segala ibadah yang kita lakukan sepanjang Ramadhan.
.

Dan sentiasa berdoa agar Allah ﷻ memberikan kita peluang untuk menjalani Ramadhan tahun ini sepenuhnya.

.

Al-faqir ilallah,
Adli Khalim
26 Mei 2018 (@2248H)