Abu Jahal dan Abu Bakar: antara persamaan dan perbezaan

Posted: March 10, 2009 in Manhaj Umum, Realiti Umat

SEBENARNYA perbahasan ini bukanlah semata-mata tertumpu pada Abu Bakar R.A dan Abu Jahal, tetapi kedua-dua tokoh tersebut mewakili kelompok masing-masing.. Ada pun Abu Jahal akan mewakili kaum musyrikin Quraisy, sedangkan Abu Bakar R.A pula akan mewakili kelompok sahabat R.A ajma’in..


Persoalan pertama: Benarkah Abu Jahal dan Abu Bakar mempunyai apa-apa persamaan? Jawapan saya adalah “YA”.. Persamaan pertama adalah kepercayaan mereka terhadap Allah.. Ada pun Abu Bakar, sebagaimana yang kita tahu, tidak dikatakan beriman seseorang itu, melainkan dia wajib beriman kepada Allah.. Bagaimana pula dengan kaum Quraisy? Telah saya jelaskan sebelum ini, secara fitrahnya manusia akan meyakini bahawa seluruh alam ini diciptakan oleh Tuhan (Allah) yang Maha Kuasa..


Dan sekiranya engkau bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka akan menjawab: “Allah.” Bagaimana mereka dapat dipalingkan?

[Az-Zukhruf, 43: 87].


Persamaan kedua pula adalah keyakinan mereka terhadap kebenaran Muhammad S.A.W.. Tidak dikatakan beriman pula seseorang itu, melainkan dia wajib meyakini kebenaran Muhammad S.A.W.. Bagaimana pula dengan kaum kafir Quraisy?


Dari Ibnu ‘Abbas R.A, bahawa Nabi S.A.W pernah pergi ke tanah lapang, lalu baginda mendaki bukit seraya menyeru: “Wahai sekalian kaum!” Kemudian orang-orang Quraisy berkumpul mendatangi baginda. Kemudian baginda bersabda: “Bagaimanakah kalian, sekiranya aku memberitahu kalian bahawa musuh akan menyerang kalian pada waktu pagi atau petang, adakah kalian akan mempercayaiku?” Mereka berkata: Ya. Sabda baginda: “Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan kepada kalian tentang azab yang pedih.” Kemudian Abu Lahab berkata: Adakah untuk ini engkau mengumpulkan kami? Kebinasaanlah bagimu. Maka Allah menurunkan ayat: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab.”

[HR Al-Bukhari].


Inilah persamaan antara kedua-dua kelompok tersebut.. Namun, di sebalik kedua-dua persamaan ini, ada satu perbezaan yang cukup mendasar antara kedua-duanya, iaitu dari segi penerimaan mereka terhadap risalah yang dibawa oleh Muhammad S.A.W..


Ada pun kaum Muslimin, sebagaimana yang kita tahu, apabila sampai kepada mereka risalah yang dibawa oleh Muhammad S.A.W, mereka lantas beriman dan beramal dengannya.. Inilah konsep sami’na wa atha’na – we hear and we obey.. Berbeza dengan kaum musyrikin Quraisy, walau pun mereka mengakui wujudnya Allah, dan mereka juga memanggil Muhammad S.A.W sebagai Al-Amin, namun apabila disampaikan kepada mereka risalah dari Allah, mereka lantas berpaling daripadanya dan cuba menentang serta menghalang risalah tersebut daripada tersebar kepada orang lain..


Bagaimana pula dengan kita selaku umat Islam hari ini?


abu-jahal-abu-bakar


Sekiranya kita tahu, kita juga mempunyai persamaan yang sama dengan kedua-dua kelompok di atas, iaitu dalam urusan “Percaya kepada Allah” dan “Percaya kepada Muhammad”.. Kita tidak akan dianggap sebagai seorang muslim sekiranya kita tidak mengucapkan “Tiada ilah (sembahan) melainkan Allah (Tuhan)” dan “Muhammad adalah Rasulullah (utusan Allah)”..


Namun, dalam urusan “Terima risalah Muhammad”, kita mungkin berbeza.. Mungkin ada yang akan bertanya: “Kenapa? Bukankah sekiranya seseorang itu bergelar muslim, sudah pasti dia akan mempunyai pola seperti Abu Bakar R.A?”


Saya katakan tidak semestinya begitu.. Seseorang muslim akan mempunyai pola seperti Abu Bakar R.A, hanya sekiranya kehidupan beragamanya benar-benar berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah yang shahih.. Itulah kehidupan sehari-hari Abu Bakar.. Semuanya berlandaskan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah..


Namun, seseorang muslim itu dikatakan mempunyai pola seperti Abu Jahal, sekiranya kehidupan beragamanya itu hanyalah disandarkan kepada kepercayaan-kepercayaan atau amalan-amalan yang diperkenalkan oleh nenek moyang, orang ramai atau pun golongan agamawan semata-mata, tanpa ada pedoman dari Muhammad S.A.W..


Saya tahu, pasti ramai yang tidak bersetuju dengan pernyataan saya di atas, namun itulah hakikatnya.. Di sini, saya bawakan satu contoh mudah: Tahlil Arwah..


Tahlil arwah adalah satu amalan yang tiada asalnya dari Nabi S.A.W.. Namun, sekiranya kita bangkitkan isu ini, pasti akan ada yang berkata: “Ini amalan warisan sejak dulu lagi, takkan salah kot?” Saya katakan: Amalan menyembah berhala yang diamalkan oleh kaum musyrikin Quraisy juga amalan warisan, dan ternyata itu salah..


“Tapi ramai orang yang buat, takkan la semua orang pun salah?” Saya katakan: Di awal permulaan Islam, amalan menyembah berhala dilakukan oleh majoriti kaum Quraisy, dan ternyata itu salah..


“Tapi kita kena ingat juga, ada ulama’ yang kata amalan ni boleh.. Takkan kita ni lebih pandai daripada ulama’ pulak?” Saya katakan: Pertama, Yahudi dan Nasrani dicela oleh Allah kerana apabila golongan agamawan mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah, masyarakat awam juga menghalalkannya..


Kedua, kata-kata ulama’ tidak semestinya benar.. Sekiranya kata-kata ulama’ sudah pasti benar, mengapa Imam Syafi’i perlu mengubah beberapa pendapatnya yang terdahulu (qaul qadim) dengan pendapat yang baru (qaul jadid)? Sekiranya ulama’ seperti Asy-Syafi’i berasa ada beberapa pendapatnya yang kurang tepat, mengapa anda seolah-olah mengatakan bahawa semua kata-kata ulama’ itu benar? Takkan anda lebih pandai daripada ulama’?


Ketiga, saya agak ragu-ragu dengan pendapat yang mengatakan ada ulama’ yang membolehkan amalan tahlil arwah.. Setahu saya, jumhur ulama’ berpendapat tidak sampai pahala yang dikirim untuk arwah, wallahu a’lam.. Memang ada ulama’ yang mengatakan mungkin akan sampai, tetapi mereka sendiri berpendapat bahawa itu bukanlah sesuatu yang pasti.. Wallahu a’lam..


Walau pun begitu, saya berpegang teguh dengan pendapat yang dipegang oleh ulama’-ulama’ dalam mazhab Asy-Syafi’i.. Imam Nawawi R.H (seorang ulama’ dalam mazhab Asy-Syafi’i) dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab bersetuju dengan tokoh-tokoh mazhab Asy-Syafi’i yang lain dalam membantah jamuan atau kenduri sempena kematian.. Bantahan yang dibuat adalah kerana memang tiada dalil yang shahih dari Nabi S.A.W tentang perkara tersebut..


“Ish, kita nak buat baik, takkan tak boleh kot?” Saya katakan: Sekiranya anda ingin berbuat baik, maka berbuatlah sesuai dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah..


Dari Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila mati seseorang insan, terputuslah amalnya, kecuali tiga perkara: [1] anak yang shalih yang mendoakannya, [2] shadaqah jariah setelahnya, dan [3] ilmu yang bermanfaat.”

[HR Muslim].


Di zaman Rasul S.A.W pun ada sahabat yang ingin berbuat baik dengan berpuasa setiap hari, solat malam tanpa tidur dan tidak berkahwin, namun Rasul S.A.W melarang mereka melakukan amalan-amalan tersebut..


“Apa la salahnya kalau kita saja-saja nak berkumpul macam tu? Nak rapatkan ukhuwwah?” Saya katakan: Sekiranya anda ingin menjalinkan ukhuwwah, masih banyak cara lain yang boleh anda lakukan, antaranya Sambutan Hari Keluarga, Pertandingan Memasak, Peraduan Melukis dan Mewarna, Sukaneka, dll..


“Apa salahnya kita mencuba? Siapa tahu kalau-kalau memang betul-betul sampai?” Saya katakan: Urusan ghaib seperti ini tidak boleh kita tetapkan berdasarkan sangkaan kita semata-mata..


Dan mereka bertanya kepada engkau tentang ruh. Katakanlah: “Ruh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kalian diberi ilmu melainkan sedikit.”

[Al-Isra’, 17: 85].


Memandangkan ilmu tentang ruh hanya diberikan sedikit sahaja kepada kita, apa kata kalau kita berpegang pada perkara yang pasti (yakni 3 perkara yang disebutkan dalam hadits riwayat Imam Muslim di atas) daripada berpegang kepada perkara yang tidak pasti?


“Ni kenapa sampai macam ni sekali nak halang orang? Ni la golongan yang suka memecahbelahkan umat.. Suka sangat berbahas tentang benda khilaf..” Saya katakan: Perkara ghaib adalah urusan aqidah, dan bab tahlil ini bukanlah bab khilaf.. Tiada penetapan dalam urusan ghaib melainkan datang daripada Al-Quran dan As-Sunnah..


(Dialah) Yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada sesiapa pun tentang yang ghaib itu, [26] kecuali kepada Rasul yang diredhaiNya… [27]

[Al-Jinn, 72: 26-27].


Bukankah ini bererti urusan ini ada sangkut pautnya dengan aqidah? Bukankah orang yang berbicara tentang perkara-perkara ghaib yang tidak pernah diungkapkan oleh Rasulullah S.A.W, seolah-olah menyamatarafkan dirinya dengan seorang Rasul yang juga mendapatkan wahyu dari Allah?


Menjawab bab “suka memecahbelahkan umat”, saya katakan: Allah sendiri yang mengkhabarkan kepada kita bahawa umat ini berpecah setelah datangnya kebenaran..


Manusia itu adalah umat yang satu. Maka Allah mengutus para Nabi, sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, dan Dia menurunkan bersama mereka kitab dengan kebenaran, untuk memberikan keputusan antara manusia tentang apa yang mereka perselisihkan. Dan tidaklah berselisih tentangnya melainkan orang-orang yang diberikan kitab, yakni setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki sesama mereka…

[Al-Baqarah, 2: 213].


Kerana itu Allah berfirman dalam ayat yang lain,


Berpegang teguhlah kalian pada tali Allah, dan janganlah kalian berpecah belah…

[Ali ‘Imran, 3: 103].


Ini kerana walau pun pada awalnya sesuatu kelompok bersatu, namun sekiranya mereka tidak berpegang pada tali Allah, nescaya mereka akan berpecah belah setelah datangnya keterangan-keterangan yang jelas, sebagaimana yang difirmankanNya dalam ayat 213 surah Al-Baqarah.. Oleh itu, janganlah anda memutarbalikkan ayat 103 surah Ali ‘Imran ini dengan melaungkan slogan “bersatu”, namun dalam masa yang sama anda tidak “berpegang pada tali Allah”..


“Ala, mula-mula kita ikut la diorang, lepas tu kalau dah betul-betul rapat dengan diorang, kita da’wah la.. Bagitau diorang yang benda ni Nabi tak ajar..” Saya katakan: Imam Ibnu Katsir telah menulis dalam tafsirnya ketika berbicara tentang surah Al-Kafirun..


Dengan demikian, firman Allah Ta’ala, “Katakanlah: Wahai orang-orang kafir!”, mencakup setiap orang kafir yang ada di muka bumi ini, tetapi orang-orang yang dituju oleh ayat ini adalah orang-orang kafir Quraisy. Ada juga yang mengatakan bahawa kerana kebodohan mereka, mereka mengajak Rasulullah S.A.W untuk menyembah berhala selama satu tahun, dan mereka akan menyembah Rabb baginda selama satu tahun juga. Kemudian Allah Ta’ala menurunkan surah ini dan dalamnya Dia memerintahkan RasulNya untuk melepaskan diri daripada agama mereka secara keseluruhan..

[Tafsir Ibnu Katsir, Surah Al-Kafirun].


Allah telah memerintahkan Rasul untuk berlepas diri walau pun kaum Quraisy menawarkan diri untuk menyembah Allah sekiranya syarat tersebut dipersetujui.. Bukankah tawaran tersebut merupakan satu peluang untuk berda’wah? Namun, peluang seperti ini dilarang oleh Allah..


Dan janganlah kalian mencampuradukkan yang benar dengan yang batil dan janganlah kalian menyembunyikan yang benar itu, sedangkan kalian mengetahui.

[Al-Baqarah, 2: 43].


Oleh itu, jalan yang terbaik itu bukanlah dengan menyertai mereka dalam majlis tahlil arwah, tetapi menjelaskan kepada mereka perkara yang sepatutnya..


Sekarang giliran saya pula untuk bertanya: Tidakkah anda perasan bahawa alasan-alasan yang diberikan di atas tadi, hanyalah sekadar untuk membolehkan mereka untuk menurut keinginan hati mereka? Bukankah kaum Quraisy juga memberikan alasan yang sama sebagaimana berikut?


… Dan tidaklah kami menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sedekat-dekatnya…

[Az-Zumar, 39: 3].


Inilah alasan yang diberikan, untuk menjadikan amalan mereka yang karut itu “benar” dan “dapat diterima”.. Pola yang sama bukan? Bukankah menurut mereka, tahlil arwah itu hanyalah sekadar untuk mendekatkan diri kepada Allah?


Saya rasa sekian sahaja dari saya untuk kali ini.. Mohon maaf sekiranya terkasar bahasa.. Tujuan saya bukanlah untuk menimbulkan permusuhan dengan mana-mana pihak, tetapi sekadar untuk membuatkan anda berfikir tentang agama ini.. Anda telah pun mengucapkan “La ilaha illallah” dan “Muhammadu Ar-Rasulullah”.. Sayang sungguh sekiranya pola beragama anda tidak sama dengan pola beragama Abu Bakar dan para sahabat yang lain R.A ajma’in.. Wallahu a’lam..


-mrblinc-

jakarta barat

Advertisements
Comments
  1. delima says:

    salam.
    bagaimana pula dengan amalan membaca ayat al-quran kepada mayat / di atas kuburan..
    benarkan mayat terseksa kalau tidak dibacakan ayat al-quran sampaikan ada pihak yang memberi upah kepada orang lain untuk membaca al-quran di atas kubur..

    harap dapat dijelaskan

  2. mrblinc says:

    Salam..

    Pertama, terima kasih saya ucapkan atas soalan yang saudari tanyakan..

    * * * * *

    Nabi S.A.W pernah melalui dua kubur, lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan tidaklah kedua-duanya diazab kerana dosa yang besar. Ada pun salah seorang daripadanya tidak menjaga kebersihan daripada kencing dan seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu domba.” Lalu baginda mengambil pelepah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian baginda memacakkan ke atas setiap kubur tersebut. Para sahabat bertanya: Mengapa engkau berbuat demikian? Baginda menjawab: “Mudah-mudahan diringankan azab kedua-duanya selama kedua-dua pelepah ini belum kering.” – [Muttafaqun ‘alaihi].

    Berdasarkan hadits ini, dapat kita ketahui bahawa Rasulullah S.A.W mengetahui tentang kondisi kedua-dua mayat tersebut (yang terseksa), tetapi baginda tidak membacakan Al-Quran untuk mengurangkan seksaan kedua-duanya..

    Adakah ini bererti kita boleh memacakkan pelepah tamar basah di atas setiap kubur? Jawapannya adalah TIDAk, kerana selepas Rasulullah S.A.W memacakkan pelepah tamar tersebut, ternyata para sahabat mula bertanya.. Ini bererti mereka tidak pernah melihat Rasul S.A.W melakukan perkara tersebut sebelumnya.. Selain itu, kita juga tidak pernah mendengar mana-mana riwayat yang menyebutkan bahawa para sahabat melakukan perkara tersebut selepas kewafatan baginda S.A.W..

    * * * * *

    Firman Allah: “Dan bahawasanya seseorang manusia tidak memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.” – [An-Najm, 53: 39].

    Kata Imam Ibnu Katsir ketika menafsirkan ayat in: “Daripada ayat ini pula Imam Asy-Syafi’i R.H dan para pengikutnya menyimpulkan bahawa pengiriman pahala bacaan Al-Quran itu tidak akan sampai kepada orang yang sudah meninggal dunia, kerana bacaan itu bukan amal dan usaha mereka.”

    Kata Al-Imam: “Dan cara-cara mendekatkan diri kepada Allah harus didasarkan pada nash-nash, tidak boleh didasarkan pada pelbagai qiyas dan pendapat semata-mata.”

    Kata Imam Ibnu Katsir lagi: “Ada pun hadits yang diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab Shahihnya, dari Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: “Jika seseorang wafat,maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara: anak shalih yang mendoakannya, shadaqah jariah setelahnya dan ilmu yang bermanfaat.” – [HR Muslim].

    Kemudian Al-Imam membawakan dalil-dalil yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga perkara tersebut adalah usaha dan kerja keras seseorang manusia semasa hidup. Ini menunjukkan bahawa tiada lagi amalan yang akan sampai kepada arwah melainkan perkara-perkara yang pernah diamalkannya semasa arwah masih hidup..

    Wallahu a’lam..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s