Kena Naik Unta Ke?

Posted: April 19, 2009 in Manhaj Umum, Realiti Umat

MASIH lagi berbicara mengenai mencari dalil yang shahih dalam urusan ibadah, sama ada dalil mengenai pensyari’atan sesuatu ibadah mahu pun dalil mengenai tatacara pelaksanaan sesuatu ibadah. Kedua-dua perkara ini penting dalam memastikan ibadah-ibadah mahdhah kita diterima.


Apakah yang dimaksudkan oleh ibadah mahdhah? Ibadah mahdhah adalah sebarang bentuk ibadah spesifik, sama ada spesifik dari segi tatacara, tempat mahu pun waktu pelaksanaannya. Misalnya solat (adanya tatacara dan waktu yang ditetapkan), zakat (adanya kadar harta yang dikeluarkan). Ada pun sedekah, syari’at tidak pernah menetapkan adanya kadar harta yang harus dikeluarkan, maka sedekah termasuk dalam kategori ibadah ghairu mahdhah.


Untuk diterimanya sesuatu ibadah mahdhah, kita hendaklah memenuhi tiga syarat: [1] shihhatu an-niyyat (niat yang shahih), [2] al-masyru’iyyat (disyari’atkan), dan [3] al-kaifiyyat (tatacara).


Tanpa niat yang shahih (syarat pertama), sesuatu ibadah tidak akan diterima. Misalnya, kita menunaikan solat sunnah Subuh, kemudian muncul perasaan malas dalam diri kita lantas kita terfikir, ‘Aku kira yang tadi tu solat Subuh je la, lagipun sama-sama dua raka’at.’ Sekiranya terjadi situasi seperti ini, anda belum dikira telah menunaikan solat Subuh anda.


Ada pun sekiranya syarat kedua (al-masyru’iyyat) atau pun syarat ketiga (al-kaifiyyat) yang tidak dipenuhi, maka kita akan terjatuh dalam lingkungan BID’AH. Mungkin sesetengah pihak tidak suka mendengar kalimah ini disebut, tetapi haruslah kita ingat bahawa Rasulullah telah pun mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan perkara tersebut.


Sebelum kita berbicara lebih lanjut, ada baiknya kita lihat terlebih dahulu definisi Bid’ah. BID’AH menurut ta’rifan Al-Imam Asy-Syathibi (beliau adalah seorang ahli hadits, ahli fiqih dan ahli ushul fiqih yang bermazhab Malik), ialah jalan yang direka dalam agama, yang menyerupai syari’at dan tujuan mengamalkannya adalah untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Berdasarkan ta’rifan ini, ada beberapa perkara yang perlu kita perhatikan.


Pertama: Bid’ah adalah jalan yang direka dalam agama. Ini bererti mana-mana urusan yang berkaitan dengan urusan duniawi tidak termasuk dalam definisi bid’ah. Perkara ini sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W.


Dari Anas R.A, katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: “Kalian lebih mengetahui mengenai urusan dunia kalian.”

[HR Muslim].


Namun di sana ada pihak yang kurang mengerti tentang hakikat bid’ah ini, lantas mereka berkata: “Ala, mereka ni semua pun bid’ah. Kalau macam tu, naik kereta pun bid’ah jugak la sebab Nabi tak pernah buat. Baik naik unta je.”


Kedua: Bid’ah sifatnya menyerupai syari’at. Perkara inilah yang banyak menjerat orang awam sehingga mereka menyangkakan bahawa amalan bid’ah tersebut adalah sebahagian daripada syari’at. Misalnya, solat ini hendaklah ditunaikan pada malam-malam tertentu, pada waktu-waktu tertentu. Ini adalah penetapan batasan dari segi waktu direka-reka. Atau pun boleh juga terjadi penetapan dalam bentuk tatacara, misalnya pada raka’at pertama harus dibaca ayat Kursi sekian kali, Qul Huwallah sekian kali. Semua ini tidak pernah diajarkan oleh syari’at dan semuanya adalah bentuk kesesatan.


Ketiga: Bid’ah diamalkan dengan tujuan untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Ini antara masalah yang terbesar yang kita hadapi dalam usaha membanteras bid’ah, kerana bagi orang yang mengamalkan bid’ah, mereka berasa tiada salahnya melakukan amalan-amalan tersebut, memandangkan tujuannya adalah untuk berbuat baik, bukannya berbuat maksiat. Tetapi sayang, mereka tidak menyedari bahawa “kebaikan” itu bukanlah menurut sangkaan mereka.


qabulu-al-ibadah3

Ada pun bid’ah terbahagi kepada dua: [1] bid’ah haqiqiyyah, dan [2] bid’ah idhafiyyah. Bid’ah haqiqiyyah ialah amalan yang mana tiada dalil yang mensyari’atkannya, sama ada dalil Al-Quran, As-Sunnah atau pun ijma’.  Ini bererti bid’ah haqiqiyyah terjadi apabila kita tidak memenuhi syarat kedua (iaitu al-masyru’iyyat).


Contoh bid’ah haqiqiyyah adalah thawaf kubur wali. Walau bagaimana pun bid’ah jenis ini jarang berlaku dalam masyarakat, kerana biasanya mereka lebih berhati-hati dalam perkara-perkara ini.


Bid’ah idhafiyyah pula ialah amalan yang mana pada dasarnya ada dalil yang mensyari’atkan amalan tersebut, tetapi tatacaranya adalah tidak sama dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. Ini bererti bid’ah idhafiyyah terjadi apabila kita tidak memenuhi syarat ketiga (iaitu al-kaifiyyat).


Contohnya, selawat kepada Rasulullah S.A.W sebelum azan. Azan disyari’atkan namun selawat yang dibacakan sebelum azan sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian muazzin adalah bid’ah. Bid’ah jenis ini banyak berlegar dalam masyarakat kita.


Berzikir selepas solat memang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W, namun berzikir secara beramai-ramai tidak pernah dicontohkan oleh baginda. Perkara ini disebutkan oleh Al-Imam Asy-Syafi’i dalam kitabnya, Al-Umm. Al-Imam melarang amalan seperti itu, namun ternyata masyarakat awam kita mengamalkannya dan menyandarkannya kepada beliau, “Ala, tak apa la kita doa ramai-ramai, kita kan mazhab Syafi’i.”


Mungkin ada yang tertanya, “Memandangkan bid’ah idhafiyyah pada dasarnya ada dalil, adakah ini bererti mengamalkan bid’ah idhafiyyah lebih baik daripada bid’ah haqiqiyyah?” Jawapannya adalah TIDAK. Ini kerana Rasulullah S.A.W pernah mengatakan bahawa SEMUA bid’ah (dalam urusan agama) adalah SESAT.


Mungkin ada yang bertanya lagi, “Sekiranya begitu, apa gunanya kita membahagikan bid’ah seperti di atas?” Kita katakan pembahagian ini diharapkan dapat menjelaskan kepada masyarakat tentang konsep bid’ah sebenar. Ini kerana masyarakat biasanya menganggap yang dikatakan bid’ah adalah amalan yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W seperti menyembah pokok besar, tetapi bagi mereka, amalan-amalan seperti berselawat sebelum azan itu bukanlah bid’ah kerana ada dalilnya.


Kita jelaskan kepada mereka, memang azan ada dalilnya, tetapi berselawat sebelum azan tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. Menyembah pokok besar adalah bid’ah (yakni bid’ah haqiqiyyah), namun berselawat sebelum azan juga bid’ah (yakni bid’ah idhafiyyah).


Wallahu a’lam.


-mrblinc-

jakarta barat

Advertisements
Comments
  1. hambaingintahu says:

    salam…nak bertanya…
    ada dlm ayat di atas : ”tetapi bagi mereka, amalan-amalan seperti berselawat sebelum azan itu bukanlah bid’ah kerana ada dalilnya.”
    apakah dalam dalil ada mengatakan seperti itu?

    mrblinc says:

    Dalil yang mereka maksudkan sebenarnya tidak pernah wujud. Namun, atas ketidakfahaman mereka tentang konsep bid’ah idhafiyyah (kerana apabila mereka berbicara mengenai bid’ah, mereka hanya membayangkan bid’ah haqiqiyyah), mereka menganggap dalil azan sudah merangkumi dalil berselawat sebelum azan.

  2. hana says:

    salam ziarah

    ada tak contoh bidaa’h yang lebih besar dan lebih utama untuk diperangi daripada segala contoh bidaa’h yang enta tulis?

    ana sedia maklum ” setiap bidaa’h adalah sesat”

    boleh tolong terangkan maksudnya?

    mrblinc says:

    Bagi saya, semua bid’ah harus diperangi, sebab Rasulullah menyebutkan bid’ah secara umum.

    Di bawah saya bawakan satu hadits yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim.

    عن البراء بن عازب قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم: (إذا أتيت مضجعك، فتوضأ وضوءك للصلاة، ثم اضطجع على شقك الأيمن، ثم قل: اللهم أسلمت وجهي إليك، وفوضت أمري إليك، وألجأت ظهري إليك، رغبة ورهبة إليك، لا ملجأ ولا منجى منك إلا إليك، اللهم آمنت بكتابك الذي أنزلت، وبنبيك الذي أرسلت، فإن مت من ليلتك، فأنت على الفطرة، واجعلهن آخر ما تتكلم به) قال: فرددتها على النبي صلى الله عليه وسلم، فلما بلغت: اللهم آمنت بكتابك الذي أنزلت، قلت: ورسولك، قال: لا، ونبيك الذي أرسلت.

    Saya tak berniat untuk menterjemahkan semuanya, tetapi hanya bahagian yang penting sahaja. Berikut adalah lafaz yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W:

    وبنبيك الذي أرسلت

    Tetapi Al-Bara’ bin ‘Azib membacanya dengan lafaz yang berbeza, Rasulullah S.A.W menegurnya sebagaimana yang disebutkan dalam matan di atas.

    قلت: ورسولك، قال: لا، ونبيك الذي أرسلت

    Aku berkata: “dan (aku juga beriman dengan) RasulMu”, kata baginda: “JANGAN! (Sebutlah) dan (aku juga beriman dengan) Nabi yang Engkau utuskan.”

    Lihatlah, seandainya perkara sekecil ini pun Rasulullah begitu sensitif, apatah lagi perkara yang cukup besar, yang berhubungan dengan aqidah umat Islam.

    Wallahu a’lam.

  3. Hani says:

    Salam.

    Mungkin Hana bertanyakan contoh2 lain yang merebak luas dalam masayarakat, tetapi kurang diberi perhatian atau masyarakat kurang sedar akan kewujudannya.

    Bagi saya, terdapat satu bentuk bid’ah yang sangat bahaya dan menular dalam masyarakat kita sekarang iaitulah bid’ah pemikiran seperti Islam Liberal, Syiah, Ahbasy, Golongan ‘Quraniyyun’ dll. Masyarakat harus berhati2 dengan pengaruh pemikiran2 yg menyimpang ini dan berjuang membanteras nya habis-habisan, selain daripada terus mempertikaikan usaha sesetengah orang menegur sekecil2 bid’ah yg diamalkan oleh pihak2 tertentu.

    WA.

    mrblinc says:

    Terima kasih kepada saudari hani. Sebab tu saya sebutkan ayat di bawah ni dalam jawapan saya terhadap pertanyaan saudari hana:

    Lihatlah, seandainya perkara sekecil ini pun Rasulullah begitu sensitif, apatah lagi perkara yang cukup besar, yang berhubungan dengan aqidah umat Islam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s