Mereka Salah Faham

Posted: May 19, 2009 in Manhaj Umum, Realiti Umat

DALAM beberapa entry sebelum ini telah saya jelaskan tentang pentingnya bagi kita untuk berpegang teguh pada nash-nash Al-Quran mahu pun As-Sunnah yang shahih, terutama dalam Tauhid Al-Asma’u wa Ash-Shifat dan Tauhid Al-Uluhiyyah. Namun, harus juga saya ingatkan bahawa di luar sana masih ada kelompok-kelompok tertentu yang tersasar daripada jalan yang benar [atau tidak berada di atas jalan untuk mengenal Allah], walau pun mereka menyandarkan diri mereka pada Al-Quran dan As-Sunnah. Siapakah mereka?


Golongan Pertama:

Golongan yang Jahil


Apabila kita berbicara tentang KEJAHILAN, kita tidak hanya merujuk kepada golongan yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan semata-mata. Perkara ini dijelaskan oleh Ar-Raghib Al-Ashfahani [dalam kitabnya Mufradat Alfazh Al-Quran] ketika memberikan maksud jahil dalam Al-Quran. Menurutnya, maksud JAHIL dalam Al-Quran ada tiga:

  1. Kosongnya jiwa daripada ilmu pengetahuan.
  2. Beriktikad sesuatu yang menyanggahi hakikat sebenarnya.
  3. Melakukan sesuatu perkara yang menyanggahi apa yang patut dilakukan sebenarnya, sama ada dia berpegang dalam perkara itu dengan iktikad yang benar atau yang salah.


Merujuk kepada penjelasan Ar-Raghib Al-Ashfahani di atas, kita tidak akan berbicara mengenai golongan yang kosong daripada ilmu pengetahuan, tetapi kita akan lebih memfokuskan kepada golongan yang beriktikad atau beramal dengan sesuatu yang menyanggahi hakikat sebenar, kerana tema perbahasan kita adalah golongan yang menyandarkan diri pada Al-Quran dan As-Sunnah tetapi masih tersasar jauh daripada jalan Allah.


Misalnya, golongan IsLib [Islam Liberal] yang dengan lantangnya mengangkat slogan bahawa semua agama adalah sama, dan semuanya akan sampai kepada Tuhan. Dalil yang mereka gunakan adalah ayat 62 surah Al-Baqarah.


Sesungguhnya orang yang beriman, Yahudi, Kristian dan Shabiin yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir dan beramal shalih, bagi mereka pahala di sisi Tuhan mereka, tiada rasa takut atas mereka dan tiada duka cita.

[Al-Baqarah, 2: 62].


Inilah terjemahan yang menjadi rujukan mereka. Namun sayangnya, terjemahan ini kurang tepat. Terjemahan ini seolah-olah menunjukkan bahawa memang benar Allah S.W.T menjanjikan syurga bagi orang Yahudi, Nasrani dan Shabiin. Namun, bukankah dalam ayat 19 surah Ali ‘Imran Allah mengatakan bahawa hanya Islam agama yang diterima di sisiNya? Bukankah dalam ayat 111 surah Al-Baqarah, apabila golongan Yahudi dan Nasrani mengatakan bahawa mereka akan memasuki syurga, lantas Allah mengatakan bahawa itu hanyalah angan-angan mereka yang kosong?


Ada pun maksud sebenar ayat tersebut adalah Allah menjanjikan syurgaNya kepada dua golongan: [1] golongan yang beriman, dan [2] golongan Yahudi, Nasrani dan Shabiin yang berpindah keimanan mereka kepada agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Inilah yang disebutkan oleh Ibnu Jarir Ath-Thabari R.H. Namun golongan IsLib telah menafsirkan ayat Al-Quran tersebut secara jahil sehingga mereka tersasar daripada jalan yang benar.


Contoh yang kedua untuk menjelaskan maksud JAHIL di sini adalah segelintir golongan sufi yang menafsirkan ayat 99 surah Al-Hijr sebagaimana berikut.


Dan sembahlah Rabbmu sehingga sampai kepadamu Al-Yaqin.

[Al-Hijr, 15: 99]


Menurut mereka, maksud “Al-Yaqin” adalah makam tertentu dalam fahaman sufism. Dengan kata lain, apabila mereka menganggap diri mereka telah memperolehi makam “Al-Yaqin”, maka tanggungjawab ibadah atau mengikuti syari’at sudah tidak diperlukan lagi, atau pun sudah gugur bagi mereka.


Namun pemahaman ini adalah salah. Al-Qadhi Abu Bakar ibnu Al-‘Arabi R.H [dalam kitabnya Ahkam Al-Quran] menjelaskan maksud kalimah “Al-Yaqin” sebagaimana berikut: “Perkataan Al-Yaqin bermaksud Al-Maut (Kematian), Allah memerintahkannya agar terus menerus dalam ibadah selama-lamanya, iaitu sepanjang hayat.” Seterusnya Ibnu Al-‘Arabi mengemukakan asalan mengapakah perkataan Al-Yaqin dalam ayat tersebut ditafsirkan sebagai Al-Maut, iaitu berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, apabila Rasulullah S.A.W menziarahi jenazah ‘Utsman bin Mazh’un, baginda bersabda: “Ada pun dia, telah datang kepadanya Al-Yaqin…”


Golongan Kedua:

Golongan yang Menyeleweng


Kata Syaikhu Al-Islam Ibnu Taimiyah [dalam Al-Majmu’Al-Fatawa]: “Sesungguhnya agama Allah ini adalah pertengahan antara yang melampau dan yang meninggalkannya. Allah tidak memerintahkan hamba-hambaNya sesuatu melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara; syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya; iaitu sama ada secara ifrath [melampaui batas] atau pun tafrith [cuai].”


Saya kira saya tidak perlu menjelaskan kenapa golongan yang terlalu cuai [meremeh-remehkan agama] dikatakan tidak mampu untuk mengenal Allah. Namun saya ingin menjelaskan secara ringkas mengenai sikap melampau. Sikap ini telah memunculkan puak-puak yang rosak dalam agama, antaranya:

  1. Khawarij: melampau dalam mengkafirkan sesiapa yang melakukan dosa, sedangkan tidak semua orang yang berdosa menjadi kafir.
  2. Mu’tazilah: melampau dalam mengutamakan akal mereka melewati batasan yang ditentukan oleh agama, misalnya dalam membahas sifat-sifat Tuhan.
  3. Syi’ah: melampau dalam mengagung-agungkan ‘Ali bin Abi Thalib R.A dan mencerca para sahabat R.A yang lain.


Golongan Ketiga:

Golongan yang Ragu-Ragu


Sesungguhnya Allah tidak segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah daripada itu. Ada pun orang beriman, mereka mengetahui bahawa perumpamaan itu benar daripada Rabb mereka. Ada pun orang kafir, mereka berkata: “Apakah maksud Allah membuat ini sebagai perumpamaan?” Dengan perumpamaan itu ramai yang disesatkan oleh Allah, dan dengan perumpamaan itu ramai pula yang diberiNya petunjuk. Dan tiada yang disesatkan oleh Allah melainkan orang yang fasiq

[Al-Baqarah, 2: 26].


Berikut adalah ulasan Ibnu Katsir [dalam kitabnya] mengenai ayat di atas: “Dalam tafsirnya, As-Suddi meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas, Murrah, Ibnu Mas’ud dan beberapa orang sahabat Rasulullah S.A.W, bahawa yang dimaksudkan dengan “ramai yang disesatkan oleh Allah” adalah orang munafiq, sedangkan yang dimaksudkan dengan “ramai yang diberiNya petunjuk” adalah orang beriman.”


Sikap suka mempersoalkan ayat-ayat Allah di atas dihubungkan dengan golongan munafiq. Mereka adalah golongan yang pada zahirnya sama dengan umat Islam yang lain, namun hakikatnya mereka bukanlah orang yang berada di atas jalan kebenaran kerana mereka sendiri ragu-ragu terhadap ayat Allah.


Golongan Keempat:

Golongan yang Leka


Golongan yang leka juga tidak termasuk dalam golongan yang akan berada di atas jalan Allah. Siapakah yang dimaksudkan dengan golongan yang leka? Pertanyaan ini akan dijawab oleh ayat berikut.


Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan daripada jin dan manusia. Bagi mereka qalbu (tetapi) mereka tidak menggunakannya untuk memahami. Dan bagi mereka mata (tetapi) mereka tidak menggunakannya untuk melihat. Dan bagi mereka telinga (tetapi) mereka tidak menggunakannya untuk mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang leka.

[Al-A’raf, 7: 179]


Berdasarkan ayat di atas, dapat kita fahami bahawa golongan yang leka adalah golongan yang dibentangkan kepada mereka ayat-ayat Allah, tetapi mereka mengabaikannya.


maradhu asy-syubhah


Itulah antara empat golongan yang tersasar daripada jalan yang benar (lurus). Keempat-empat golongan ini dikelompokkan dalam kategori “Penyakit-Penyakit Berkaitan Pemahaman” atau pun “Maradhu Asy-Syubhah.” Sekiranya masalah-masalah di atas [jahil, menyeleweng, ragu-ragu dan leka] tidak diatasi, golongan-golongan tersebut akan termasuk dalam golongan yang sesat.


Ada pun cara untuk mengatasi keempat masalah tersebut adalah melalui ilmu yang benar. Hanya ilmu yang benar dapat mengelakkan seseorang daripada menafsirkan ayat Al-Quran dan hadits Nabi dengan cara yang salah, sekali gus menjauhkannya daripada beriktikad atau beramal dengan sesuatu yang menyanggahi hakikat. Hanya ilmu yang benar juga dapat menjaga seseorang supaya tetap berada dalam batas-batas yang ditentukan oleh agama; tidak terlalu cuai atau memperlekeh-lekehkan agama, dan tidak pula terlalu melampau.


Hanya ilmu yang benar jugalah yang dapat menghilangkan perasaan ragu-ragu seseorang terhadap ayat Allah, kerana mungkin keragu-raguan tersebut muncul akibat ketidakjelasannya dalam konsep Sami’na wa Atha’na. Dan hanya ilmu yang benar juga yang mampu menyedarkan seseorang yang terleka bahawa di hadapannya sudah terbentang ayat-ayat Allah, supaya dia dapat memanfaatkan peluang yang ada di hadapannya.


Wallahu a’lam.


-mrblinc-

jakarta barat


Advertisements
Comments
  1. saya says:

    salam..
    setuju dgn penulisan di atas..
    ilmu yg benar je yg dpt sedarkan seseorang itu.. tp sayang, lebih byk yg lari drpd yg ingin menerima ilmu2 ni..
    camne tu??
    malah ada sesetengah org yg tahu mereka termasuk dlm slh satu antara 4 golongan di atas, tapi mereka taknak berusaha utk keluar dr golongan tersebut.. ini ke yg disebut sbg orang2 yg berpaling dr menerima hidayah Allah?

  2. mrblinc says:

    “tp sayang, lebih byk yg lari drpd yg ingin menerima ilmu2 ni..”

    Apa yang boleh kita buat? Tugas kita hanya menyampaikan. Sedangkan Rasulullah S.A.W sendiri tidak dapat memberikan hidayah kepada bapa saudara kesayangannya, tidak mustahil perkara yang sama terjadi kepada kita.

    Walau bagaimana pun, satu perkara yang harus kita ingat, tidak sedikit orang yang lari daripada ilmu ini kerana kesilapan orang yang berda’wah.

    “ini ke yg disebut sbg orang2 yg berpaling dr menerima hidayah Allah?”

    Biasanya golongan yang jahil atau pun golongan yang menyeleweng, mereka merasakan bahawa mereka telah berada di atas jalan kebenaran, sehingga mereka mungkin sama sekali tidak terfikir untuk keluar daripada masalah tersebut.

    Mengenai golongan yang ragu-ragu, tidak mungkin mereka tidak berusaha untuk mencari tentang kebenaran agama mereka, melainkan mereka sendiri tidak memikirkan tentang urusan akhirat (bererti selain “ragu-ragu”, mereka juga “leka”).

    Tentang golongan yang leka, saya tidak terfikir bahawa mereka tidak berusaha untuk keluar daripada masalah tersebut. Bahkan mereka disebut sebagai golongan yang leka kerana memang mereka tidak memikirkan tentang kepentingan agama dan urusan akhirat mereka.

    Berdasarkan latar belakang yang berbeza ini, sekiranya telah sampai kepada mereka ilmu tentang ajaran Allah yang sebenar, tetapi mereka masih tidak mahu berubah, maka mereka termasuk dalam golongan orang yang berpaling daripada hidayah Allah. Persoalannya, bagaimana pula sekiranya tidak pernah sampai kepada mereka ajaran-ajaran Allah yang sebenar?

    Oleh itu, sebelum kita mengatakan bahawa mereka adalah orang yang berpaling daripada hidayah Allah, kita seharusnya berusaha untuk menyampaikan terlebih dahulu. Dan saya fikir, tiada gunanya kita melabelkan pihak-pihak tertentu sebagai golongan yang berpaling daripada hidayah Allah. Belum tentu kita lebih baik daripada pihak-pihak tersebut. Berusahalah untuk menjadi lebih baik, dan lakukanlah perbaikan, mungkin kedua-dua perkara ini lebih patut ditekankan daripada kita sekadar bercakap dan melabelkan orang lain. Satu peringatan buat diri sendiri dan semua yang membaca.

    Wallahu a’lam.

  3. saya says:

    thanx 4 d advice.. :)

  4. Hani says:

    Slm.

    Terima kasih juga atas nasihat di bahagian komen di atas. Tersentuh membacanya.

    Wslm.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s