Saya Tak Sembah Pun

Posted: July 4, 2009 in Realiti Umat

DAPAT kita saksikan bahawa semakin hari umat Islam semakin menjauhi ajaran Islam yang asal. Pelbagai penyelewengan mula mengambil tempat dalam masyarakat Islam kerana kurangnya pendedahan terhadap aqidah yang shahih. Mungkin ramai yang tidak bersetuju apabila saya menyebutkan kalimah di atas, kerana bagi mereka, aqidah yang dipelajari selama ini sudah mencukupi; rukun Iman yang enam, rukun Islam yang lima, sifat 20, dll. Apakah lagi yang masih kurang?


Jawapan saya cukup mudah. Memang benar sejak kecil kita disuruh menghafal semua perkara tersebut, tetapi adakah kita benar-benar memahaminya? Sebagai contoh, mungkin semua orang tahu apa itu dua kalimah syahadah, tetapi adakah semua orang tahu apakah dua rukun syahadah dan apa sahaja syarat-syarat diterimanya syahadah? Ramai orang tahu apakah perkara-perkara yang membatalkan solat, puasa, dll, tetapi berapa ramaikah yang tahu apakah perkara-perkara yang membatalkan syahadah? Bukankah syahadah termasuk dalam perkara aqidah?


Saya rasa saya tidak mampu untuk menjawab semuanya dalam masa yang singkat. Walau bagaimana pun, insya-Allah dalam entry ini saya akan menjelaskan mengenai 2 rukun syahadah dan satu daripada tujuh syarat diterimanya syahadah. Ada pun syarat-syarat yang lain akan saya jelaskan dalam entry-entry yang akan datang, insya-Allah sekiranya diberikan kekuatan dan kelapangan.


DUA RUKUN SYAHADAH


Imam Al-Bukhari, dalam kitab shahihnya (Shahih Al-Bukhari) meriwayatkan satu riwayat dari Wahhab bin Munabbih (وهب بن منبه) rahimahullah secara mu’allaq dalam kitab perbahasan Al-Jana’iz. Ditanyakan kepada Wahhab bin Munabbih, “Bukankah لا إله إلا الله merupakan kunci syurga?” Jawab beliau: “Bahkan! Namun tidaklah dinamakan kunci melainkan adanya gigi-gigi. Sekiranya engkau datang dengan kunci yang mempunyai gigi, nescaya akan dibukakan bagimu (syurga). Sekiranya tidak, maka tidak akan dibukakan (syurga).”


Apakah yang dimaksudkan oleh ulama ini apabila beliau menyebutkan tentang “gigi-gigi” kunci syurga? Itulah yang disebut sebagai rukun-rukun syahadah. Pada kalimah syahadah ada dua rukun iaitu:

  1. Nafi (نافي), iaitu penafian bahawa tiada Tuhan yang disembah (لا إله).
  2. Itsbat (إثبات), iaitu pensabitan atau penetapan bahawa yang berhak disembah hanyalah Allah (إلا الله).


SYARAT PERTAMA: ILMU


Ilmu merupakan perkara yang cukup ditekankan dalam Islam. Banyak ayat Al-Quran dan hadits Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan keutamaan golongan yang berilmu. Bahkan, ayat Al-Quran pertama yang diturunkan menyentuh perihal ilmu. Berikut saya bawakan dua dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadits yang menunjukkan kepentingan ilmu.


Terjemahan:

Maka, ketahuilah bahawa tiada ilah (sembahan) melainkan Allah, dan mohonlah keampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mu’min, lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kalian berusaha dan tempat kalian tinggal.

[Muhammad, 47: 19].


Terjemahan:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mati sedangkan dia mengetahui bahawa tiada ilah melainkan Allah, melainkan dia akan memasuki syurga.”

[HR Muslim].


Kenapa ilmu merupakan syarat diterimanya syahadah? Ini kerana sekiranya seseorang menyebutkan sesuatu tanpa mengetahui apakah yang disebutkannya, dia mungkin akan melakukan sesuatu yang menyanggahi kata-katanya itu. Di bawah akan saya bawakan beberapa contoh.


Pertama, betapa ramai di kalangan umat Islam yang jahil mengenai konsep syahadah ini begitu mudah untuk mengungkapkan ucapan “Merry Christmas” kepada kaum Kristian pada perayaan Krismas. Ada sesetengah pihak menganggap bahawa perkara ini dibolehkan atas dasar sekadar meraikan mereka atau untuk da’wah dan sebagainya. Saya katakan, dalam isu aqidah tiada toleransi dengan agama lain.


Terjemahan:

Bagi kalian agama kalian, dan bagiku agamaku.

[Al-Kafirun, 109: 6].


Oleh itu, apabila anda mendakwa diri anda sebagai seorang muslim dengan mengucapkan kalimah syahadah, anda tidak boleh lagi mengakui kewujudan sembahan lain selain Allah. Sedangkan perayaan Krismas pula adalah perayaan untuk meraikan kelahiran “anak Tuhan” yang diimani oleh kaum Kristian, iaitu Jesus Christ. Bagaimana anda boleh mengatakan tiada sembahan selain Allah tetapi dalam masa yang sama anda seolah-olah “turut meyakini” bahawa Jesus itu patut disembah?


Contoh kedua adalah mengenai Islam Liberal yang mengangkat slogan Pluralisme (konsep yang mengatakan semua agama akan sampai kepada Tuhan). Ini juga merupakan salah satu bentuk kejahilan umat Islam yang telah dijajah pemikiran mereka oleh pihak musuh. Cuba anda bayangkan, bukankah dengan mengatakan semua agama akan diterima di sisi Tuhan itu bererti kita juga mengiktiraf sembahan-sembahan Buddha, Hindu, Kristian, dll? Kalau begitu, apakah gunanya anda bersyahadah dengan mengatakan bahawa Tuhan yang layak disembah hanyalah Allah?


Inilah dua contoh kejahilan yang ada dalam masyarakat Islam hari ini, yang saban hari mengungkapkan kalimah syahadah dalam solat mereka, tetapi di luar solat mereka telah mengakui (walau pun tidak sampai ke peringkat menyembah Tuhan tersebut) adanya Tuhan lain selain Allah. Oleh itu, ILMU memainkan peranan yang cukup penting dalam memastikan bahawa kita benar-benar mengEsakan Allah subhanahu wa ta’ala, dan tidak mengiktiraf (lebih-lebih lagi menyembah) Tuhan lain selainNya. Wallahu a’lam.


Oleh: Adli Khalim [Jakarta Barat]


Bahagian Kedua: Mungkin yang Lain pun Benar


Bahagian Ketiga: Cintaku Bukan Untuk Manusia


Bahagian Keempat: Di Hati Ini Hanya Tuhan yang Tahu

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s