Di Hati Ini Hanya Tuhan yang Tahu

Posted: August 16, 2009 in Realiti Umat

SYUKUR ke hadrat ilahi, atas kurniaan yang diberikanNya kepada kita, dapat lagi kita melangsungkan kehidupan kita hingga ke hari ini. Walau pun kebelakangan ini saya agak sibuk, namun alhamdulillah, akhirnya ada juga waktu yang terluang untuk saya menulis entry kali ini, yang akan membahas mengenai dua syarat terakhir diterimanya syahadah.


SYARAT KEENAM: PELAKSANAAN


Antara konsekuensi mengucapkan kalimah Tauhid adalah semua hukum yang telah ditetapkan oleh Allah akan berlaku atas kita. Ibadah-ibadah fardhu seperti solat, zakat, puasa, dll, wajib kita laksanakan semampu kita. Malah, dalam Al-Quran, kita akan mendapati banyak ayat yang menyebutkan kalimah “beriman” diiringi kalimah “melakukan amal shalih.” Ini memberikan satu isyarat bahawa iman dan amal tidak boleh dipisahkan.


Terjemahan:

Dan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedangkan dia adalah orang yang berbuat baik, maka dia telah berpegang pada simpulan tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allah kesudahan segala urusan.

[Luqman, 31: 22].


Namun ada segelintir umat Islam yang jahil tentang perkara ini, lantas mengasingkan antara iman dan amal. Misalnya seorang wanita yang tidak bertudung, yang mana apabila ditanya tentang perkara itu, dia lantas menjawab: “Dari luaran memang awak nampak camni, tapi di hati ini hanya Tuhan yang tahu. Siapa tahu iman saya lebih tinggi daripada iman awak.” Kita katakan, memang iman di qalbu seseorang hanya Tuhan yang mengetahuinya, namun bukankah melaksanakan perintah Allah merupakan ciri-ciri orang yang beriman?


Terjemahan:

Dan tidak patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi wanita yang beriman, apabila Allah dan RasulNya menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.

[Al-Ahzab, 33:  36].


SYARAT KETUJUH: PENERIMAAN


Salah satu makna kalimah ISLAM adalah AL-ISTISLAM yang bererti berserah diri. Dengan kata lain, apabila kita mengucapkan kalimah Tauhid, kita telah menyerahkan segala urusan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menerima apa sahaja yang telah ditetapkan untuk kita.


Terjemahan:

Dan tidak patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi wanita yang beriman, apabila Allah dan RasulNya menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.

[Al-Ahzab, 33:  36].


Namun ada sebahagian umat Islam yang menyandarkan diri mereka pada Islam, tetapi tidak mahu menerima dan menolak hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, sama ada dalam kitabNya mahu pun melalui sunnah RasulNya.


Misalnya, golongan Islam Liberal yang banyak mempertikaikan hukum-hakam yang telah termaktub dalam Al-Quran. Antara lain, hukum pembahagian harta pusaka yang disebutkan dalam surah An-Nisa, bahawa untuk anak lelaki dua bahagian sedangkan untuk anak perempuan satu bahagian. Begitu juga dengan isu poligami yang kuat ditentang oleh kelompok ini. Tidak lupa isu “kuasa talak di tangan suami.” Tidakkah mereka sedar bahawa semua ini bukanlah hukum-hakam ciptaan manusia, tetapi ini adalah hukum-hakam yang termaktub dalam Kitabullah? Tidakkah mereka tahu bahawa Allah yang menciptakan manusia, pasti Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk umat manusia?


Kita juga mengenal satu kelompok yang digelar sebagai Golongan Anti-Hadith yang menolak hadits-hadits Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan hanya mahu berpegang pada Al-Quran. Tidakkah mereka tahu bahawa dalam Al-Quran, Allah ‘Azza wa Jalla menyuruh kita untuk mengikuti sunnah Rasul? Malah orang yang tidak mahu menerima apa-apa yang telah diputuskan oleh Rasul tidak dipandang sebagai orang yang beriman.


Terjemahan:

Demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak beriman (pada hakikatnya) sehingga mereka menjadikan engkau sebagai hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak berasa berat dalam jiwa mereka terhadap apa yang engkau putuskan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.

[An-Nisa, 4: 65].


Secara logiknya, adakah golongan-golongan yang menolak hukum-hakam Allah ini boleh dianggap sebagai orang yang berserah diri? Adakah golongan seperti ini benar-benar memperhambakan diri mereka kepada Allah sekiranya mereka tidak mahu mengikuti segala perintahNya? Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita semua agar tidak termasuk dalam golongan yang menolak hukum-hakam Allah.


Mungkin sampai di sini sahaja entry saya untuk kali ini, yang juga merupakan bahagian terakhir artikel Syarat Diterimanya Syahadah. Semoga entry ini dan sebelumnya benar-benar memberikan manfaat kepada kita dalam memastikan bahawa syahadah kita akan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Wallahu a’lam.


Oleh: Adli Khalim [Jakarta Barat]


Bahagian Pertama: Saya Tak Sembah Pun


Bahagian Kedua: Mungkin yang Lain pun Benar


Bahagian Ketiga: Cintaku Bukan Untuk Manusia

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s