Bid’ah Ke Solat Tarawih 20 Rakaat?

Posted: August 29, 2009 in Fiqh Puasa & Ramadhan, Realiti Umat

BID’AHKAH mengerjakan solat tarawih 20 rakaat?


Jawapan:

Mengerjakan solat tarawih (solat malam) sebanyak 20 rakaat tidak termasuk dalam kategori bid’ah, kerana tiada hadits dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menetapkan bilangan rakaat solat tarawih.


Terjemahan:

Dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang solat malam. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “(Solat malam itu dikerjakan) dua rakaat – dua rakaat. Apabila salah seorang antara kalian bimbang akan masuknya waktu Subuh, maka solatlah satu rakaat (witir).”

[Muttafaqun ‘alaihi].


Sekiranya benar solat tarawih tidak boleh dikerjakan lebih daripada lapan rakaat (sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian pihak), maka sudah tentu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam akan bertegas dalam perkara ini dengan menjawab: “Solat malam tidak boleh lebih daripada lapan rakaat, dan hendaklah dikerjakan dua rakaat – dua rakaat.” Namun, itu bukanlah jawapan baginda.


Selain itu, sekiranya kita melihat fiqh ulama-ulama terdahulu, mereka tidak pernah mengatakan bid’ahnya mengerjakan solat malam lebih daripada lapan rakaat. Imam At-Tirmidzi rahimahullah pernah menyebutkan kalimah berikut dalam kitab Jami’nya (atau lebih dikenali sebagai nama Sunan At-Tirmidzi):

Para ulama berbeza pendapat dalam masalah solat malam bulan Ramadhan.

Sebahagian daripada mereka berpendapat solat malam jumlahnya 41 rakaat bersama witir, ini adalah pendapat ulama Madinah. Dan mereka melakukan seperti ini di Madinah.

Kebanyakan ulama – sebagaimana yang diriwayatkan dari ‘Ali, ‘Umar dan selain kedua-duanya daripada para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam – berpendapat jumlahnya 20 rakaat. Ini adalah pendapat Sufyan Ats-Tsauri, Ibnu Al-Mubarak dan Asy-Syafi’i rahimahumullah. Kata Asy-Syafi’i: “Dan inilah yang aku dapati di kota kami, Makkah. Mereka solat sebanyak 20 rakaat.”

Kata Ahmad: “Dalam masalah ini, ditemukan banyak riwayat yang masing-masing tidak perlu diperdebatkan.”

Kata Ishaq: “Tetapi, kami memilih 41 rakaat, berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab.”


Mungkin ada pihak yang akan berkata: Bukankah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah melakukan solat malam melebihi lapan rakaat? Bukankah sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam?


Saya katakan: Saya bersetuju dengan anda apabila anda menyebutkan perkataan anda itu. Tiada petunjuk melainkan petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Tetapi adakah dengan solat dua rakaat – dua rakaat sebanyak 20 rakaat bererti kita menyanggahi petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam?


Dan anda mengatakan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, lantas anda mengatakan solat lapan rakaat lebih mengikuti sunnah, dan solat lebih daripada itu tidak menepati sunnah? Saya katakan: Sebelum anda lupa, izinkan saya untuk mengingatkan anda bahawa dalam Shahih Muslim, terdapat riwayat dari Hudzaifah radhiyallahu ‘anhu yang mengatakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membaca surah Al-Baqarah sehingga selesai, kemudian baginda menyambung bacaannya dengan surah An-Nisa sehingga selesai, dan kemudiannya baginda menyambung bacaannya dengan surah Ali ‘Imran sehingga selesai. Semuanya dibaca dalam satu rakaat. Oleh itu, saya mencadangkan kepada anda untuk melakukan perkara yang sama dalam solat tarawih anda. Sekiranya anda benar-benar mengikuti cadangan saya ini, insya-Allah cukuplah bagi anda solat lapan rakaat tersebut, tanpa perlu menambah solat tarawih anda menjadi 20 atau pun 41 rakaat.


Nasihat saya untuk para pembaca sekalian, jangan terlalu mudah kita membid’ahkan sesuatu amalan. Pastikan terlebih dahulu, adakah amalan tersebut benar-benar bercanggah dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jangan sampai kita menyesal di kemudian hari. Wallahu a’lam.


Oleh: Adli Khalim [Jakarta Barat]

Advertisements
Comments
  1. Hani says:

    Assalamu’alaikum wbkth

    “Sekiranya anda benar-benar mengikuti cadangan saya ini, insya-Allah cukuplah bagi anda solat lapan rakaat tersebut, tanpa perlu menambah solat tarawih anda menjadi 20 atau pun 41 rakaat.”

    Maafkan saya, sekadar bertanya, bolehkah saudara huraikan cadangan saudara ni dengan lebih lanjut?

    Adakah pernyataan ini umum atau ditujukan kepada golongan yang membid’ahkan solat tarawikh 20 Rakaat yang merasakan dirinya sahaja yang betul2 ikut sunnah?

    Setahu saya, bilangan rakaat solat tarawikh tidak terhad dan begitu juga dengan bacaan di dalam solat, terserah kepada kemampuan masing-masing.
    Cukupkah sekadar itu? Atau mungkin ada pendapat yang lebih kukuh untuk menyokong cadangan saudara tersebut?

    Dan, saya nak minta pendapat penulis, yang manakah lebih afdhal antara menumpukan perhatian pada tempat sujud ketika solat ataupun memegang mushaf dan membacanya ketika solat?

    -Terima kasih-

  2. mrblinc says:

    Salam.

    Maafkan saya, sekadar bertanya, bolehkah saudara huraikan cadangan saudara ni dengan lebih lanjut?

    Adakah pernyataan ini umum atau ditujukan kepada golongan yang membid’ahkan solat tarawikh 20 Rakaat yang merasakan dirinya sahaja yang betul2 ikut sunnah?

    Setahu saya, bilangan rakaat solat tarawikh tidak terhad dan begitu juga dengan bacaan di dalam solat, terserah kepada kemampuan masing-masing.
    Cukupkah sekadar itu? Atau mungkin ada pendapat yang lebih kukuh untuk menyokong cadangan saudara tersebut?

    Cadangan tersebut saya tujukan buat mereka yang mendakwa hanya solat tarawih 8 rakaat yang menepati sunnah, sedangkan menurut mereka, solat tarawih 20 rakaat atau 41 rakaat tidak menepati sunnah. Alasan mereka adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah solat lebih daripada 8 rakaat. Mereka berhujah seakan-akan mereka tidak tahu bahawa solat Rasulullah 8 rakaat, tetapi dengan bacaan yang cukup panjang.

    Oleh itu, saya mencadangkan mereka untuk solat dengan membaca sebagaimana panjangnya bacaan Rasul, supaya mereka boleh mendapat gambaran betapa lama solatnya Rasul sehingga mungkin kita sudah tidak sempat untuk menambah rakaat menjadi 20 atau 41.

    Dan, saya nak minta pendapat penulis, yang manakah lebih afdhal antara menumpukan perhatian pada tempat sujud ketika solat ataupun memegang mushaf dan membacanya ketika solat?

    Wallahu a’lam. Mungkin soalan seperti ini boleh ditanyakan kepada yang lebih arif.

  3. Hani says:

    Izinkan saya bertanya satu lagi persoalan supaya hal ini dapat dipelajari bersama.

    Sebagaimana kita sedia maklum, terdapat pelbagai alternatif yang ditunjukkan oleh sunnah dalam mendirikan solat tarawikh, adakah kita perlu konsisten hanya dengan satu cara atau kita boleh mempelbagaikan cara tersebut.

    Contohnya, hari pertama kita dirikan 4+4+3, manakala hari kedua 2+2+2+2+2+1, hari berikutnya 8+5 dan lain2..(utk solat 11/13 rakaat).

    Soalan ini mungkin applicable untuk imam solat jemaah ataupun mereka yang solat sendirian di rumah, kerana tugas makmum hanyalah mengikut imam.

    Maafkan saya kalau sekiranya soalan agak remeh.

    -Terima kasih-

  4. mrblinc says:

    Sebagaimana kita sedia maklum, terdapat pelbagai alternatif yang ditunjukkan oleh sunnah dalam mendirikan solat tarawikh, adakah kita perlu konsisten hanya dengan satu cara atau kita boleh mempelbagaikan cara tersebut.

    Contohnya, hari pertama kita dirikan 4+4+3, manakala hari kedua 2+2+2+2+2+1, hari berikutnya 8+5 dan lain2..(utk solat 11/13 rakaat).

    Maaf, saya tidak pernah tahu adanya alternatif sebagaimana yang disebutkan. Setahu saya hadits dalam entry di atas sudah cukup untuk menggambarkan tatacara solat malam: “Solat malam (dikerjakan) dua rakaat – dua rakaat.”

    Ada pun hadits yang menyebutkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan empat rakaat – empat rakaat, sebahagian ulama menafsirkan kalimah “4 rakaat” sebagai empat rakaat dengan dua salam (yakni masih dua rakaat – dua rakaat).

    Dalam hadits tersebut juga mengajarkan kita boleh solat witir satu rakaat, tetapi dalam hadits lain disebutkan Rasulullah menunaikan witir sebanyak tiga rakaat.

    Ada pun riwayat yang mengatakan Rasulullah mengerjakan solat malam 13 rakaat, penjelasannya adalah sebagaimana berikut: dua rakaat yang ringan (sebagai permulaan) + lapan rakaat (empat salam) + tiga rakaat witir.

    Wallahu a’lam.

  5. nasai says:

    assalamu’alaikum

    minta izin link blog saya dengan wordpress saudara, sekadar untuk menimba ilmu

  6. mrblinc says:

    assalamu’alaikum

    minta izin link blog saya dengan wordpress saudara, sekadar untuk menimba ilmu

    Silakan, tak jadi masalah. Kalau tak keberatan, mungkin saudara juga boleh sertakan link blog saudara di sini. Mungkin saya juga boleh belajar daripada saudara.

  7. nasai says:

    ini dia link blognya. kalau saudara ada pendapat y lagi baik atau lg kuat, sy mmg prlukn sgt utk pembaikan pndapat sy. kalau ada y perlu dperbaiki, itu lg sy perlukan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s