APAKAH yang perlu dilakukan sekiranya seseorang tidak memperolehi air untuk berwudhu’ atau pun tanah untuk bertayammum?
Berikut adalah hadits yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari pada beberapa tempat dalam kitab shahihnya, antaranya bawah bab: باب إذا لم يجد ماء ولا ترابا – Jika Seseorang Tidak Mempunyai Air atau pun Tanah.
عن عائشة: أنها استعارت من أسماء قلادة فهلكت، فبعث رسول الله صلى الله عليه وسلم رجلا فوجدها، فأدركتهم الصلاة وليس معهم ماء، فصلوا، فشكوا ذلك إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، فأنزل الله آية التيمم، فقال أسيد بن حضير لعائشة: جزاك الله خيرا، فوالله ما نزل بك أمر تكرهينه، إلا جعل الله ذلك لك وللمسلمين فيه خيرا
الراوي: عائشة المحدث: البخاري – المصدر: صحيح البخاري – الصفحة أو الرقم: 336
خلاصة حكم المحدث: صحيح
Terjemahan: Daripada `Aisyah: Dia pernah meminjam kalung Asma’, kemudian kalung tersebut hilang. Maka Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam mengutus seorang lelaki untuk mencarinya sehinggalah kalung tersebut ditemui. Kemudian masuk waktu solat sedangkan mereka tidak mempunyai air, lalu mereka solat. Kemudian, mereka mengadukan peristiwa itu kepada Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam, lalu Allah menurunkan ayat tentang syari`at tayamum. Kata Usaid bin Hudhair kepada `Aisyah: “Semoga Allah membalasmu dengan segala kebaikan. Demi Allah! Tidaklah terjadi satu peristiwa menimpamu yang tidak engkau sukai melainkan Allah menjadikannya untukmu dan untuk kaum Muslimin sebagai kebaikan.”
Berdasarkan periwayatan hadits ini bawah bab yang disebutkan di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa Al-Bukhari berpendapat sekiranya seseorang yang tidak memperolehi air atau pun tanah, dia boleh solat tanpa wudhu’ dan tanpa tayammum. Ini kerana sahabat yang diutuskan oleh Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam juga solat tanpa berwudhu’ [kerana ketiadaan air] dan tanpa tayammum [kerana ketika itu ayat tentang tayammum belum diwahyukan]. Namun, setelah ayat tersebut diturunkan, Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam tidak memerintahkan mereka untuk mengulangi solat.
Wallahu a`lam.
Oleh:
Adli Khalim
29 April 2011
Jakarta Barat, 17:30