HADITS yang dimaksudkan adalah sebagaimana berikut:
من وجدتموه يعمل عمل قوم لوط فاقتلوا الفاعل والمفعول به.
الراوي: عبدالله بن عباس المحدث: أبو داود – المصدر: سنن أبي داود – الصفحة أو الرقم: 4462
خلاصة حكم المحدث: سكت عنه وقد قال في رسالته لأهل مكة كل ما سكت عنه فهو صالح
STATUS HADITS:
Para `ulama’ berbeza pendapat tentang status hadits ini, pendapat yang lebih tepat adalah hadits ini dha`if sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Bukhari, Yahya bin Ma`in, dan selain kedua-duanya. Alasannya adalah `Amr bin Abi `Amr meriwayatkan hadits-hadits yang munkar daripada `Ikrimah, sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Bukhari ketika ditanya oleh At-Tirmidzi. Malah Yahya bin Ma`in secara spesifik mengatakan riwayat ini salah satu daripada hadits munkar yang diriwayatkan oleh `Amr bin Abi `Amr daripada `Ikrimah.
FIQH HADITS:
Kata At-Tirmidzi [selepas meriwayatkan hadits no. 1456 menurut penomboran Al-Albani, dan hadits no. 1523 menurut penomboran Syu`aib Al-Arna’uth]:
Para `ulama’ berbeza pendapat tentang hukuman orang yang meliwat. Sebahagian daripada mereka mewajibkan rajam, sama ada sudah berkahwin atau pun tidak. Ini adalah pendapat Malik, Asy-Syafi`i, Ahmad, dan Ishaq.
Berkata sebahagian `ulama’ yang lain daripada kalangan tabi`in, antaranya: Al-Hasan Al-Bashri, Ibrahim An-Nakha`i, `Atha’ bin Abi Rabah, dan selain mereka, mereka berkata: Hukuman orang yang meliwat adalah sama dengan hukum penzina. Ini adalah pendapat Ats-Tsauri dan ahli Kufah.
Kata Al-Khaththabi [sebagaimana yang disebutkan dalam nota kaki hadits no. 4462, Sunan Abi Dawud, tahqiq Syu`aib Al-Arna’uth]:
Mereka berkata: Hendaklah dibunuh secara rajam dengan batu sekiranya pelakunya sudah berkahwin, dan disebat 100 kali sekiranya belum menikah, dan tidak dibunuh. Ini adalah pegangan Sa`id bin Al-Musayyib, `Atha’ bin Abi Rabah, An-Nakha`i, Al-Hasan, Qatadah, dan ini adalah pendapat yang zahir daripada dua pendapat Asy-Syafi`i. Dan diriwayatkan seperti ini juga daripada Abu Yusuf dan Muhammad.
Kata Al-Auza`i: Hukumnya sebagaimana hukuman zina.
Kata Malik, Ahmad dan Ishaq bin Rahawaih: Hendaklah dirajam, sama ada sudah berkahwin atau pun belum. Diriwayatkan seperti ini juga daripada Asy-Sya`bi.
Kata Abu Hanifah: Hendaklah dita`zir, dan tidak dihukum berdasarkan hudud, ini kerana perbuatan ini bukanlah zina di sisi mereka.
Sekian, terima kasih.
Oleh:
Adli Khalim
11 November 2011
Jakarta Barat, 20:10