[Hadits] Larangan Menulis Hadits di Zaman Rasulullah

Posted: February 17, 2012 in Hadits, Manhaj Muhadditsin

SEORANG kawan bertanya tentang hukum menulis hadits Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam, kerana dia telah menjumpai beberapa hadits yang secara zahirnya bercanggah antara satu sama lain.

Berikut saya bawakan beberapa riwayat yang melarang penulisan hadits dan beberapa riwayat yang membenarkan penulisan hadits di zaman Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam.

PERTAMA: Riwayat-riwayat yang melarang penulisan hadits.

1.1 Riwayat Abu Sa`id Al-Khudri radhiyallahu `anhu:

لا تكتبوا عني . ومن كتب عني غير القرآن فليمحه . وحدثوا عني ، ولا حرج . ومن كذب علي – قال همام أحسبه قال – متعمدا فليتبوأ مقعده من النار.
الراوي: أبو سعيد الخدري المحدث: مسلم – المصدر: صحيح مسلم – الصفحة أو الرقم: 3004
خلاصة حكم المحدث: صحيح

Terjemahan: [Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam bersabda:] «Janganlah kalian menulis [apa-apa] daripadaku. Sesiapa yang menulis sesuatu daripadaku selain Al-Qur’an, hendaklah dia memadamnya. Dan sampaikahlah daripadaku, dan tiada dosa. Sesiapa yang berdusta atas namaku – kata Hammam [salah seorang perawi]: Aku anggap Zaid berkata: Dengan sengaja -, maka hendaklah dia menyiapkan tempatnya dalam neraka.»

1.2 Riwayat Al-Muththalib bin `Abdillah bin Hanthab:

دخل زيد بن ثابت على معاوية فسأله عن حديث فأمر إنسانا يكتبه فقال له زيد إن رسول الله صلى الله عليه وسلم أمرنا أن لا نكتب شيئا من حديثه فمحاه.
الراوي: المطلب بن عبدالله بن حنطب المحدث: أبو داود – المصدر: سنن أبي داود – الصفحة أو الرقم: 3647
خلاصة حكم المحدث: سكت عنه وقد قال في رسالته لأهل مكة كل ما سكت عنه فهو صالح

Terjemahan: [Kata Al-Muththalib bin `Abdillah bin Hanthab:] Zaid bin Tsabit masuk bertemu Mu`awiyah, lalu dia menanyakan tentang sebuah hadits dan memerintahkan seseorang untuk menuliskannya. Lalu berkata Zaid kepadanya: «Sesungguhnya Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam memerintahkan kami supaya kami tidak menuliskan haditsnya sedikit pun.» Lalu dia memadamnya.

* Riwayat Abu Dawud di atas didha`ifkan oleh Syu`aib Al-Arna’uth dan Al-Albani dalam tahqiq mereka terhadap Sunan Abi Dawud.

KEDUA: Riwayat-riwayat yang membenarkan penulisan hadits.

2.1 Riwayat Abu Hurairah radhiyallahu `anhu:

ما من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم أحد أكثر حديثا عنه مني ، إلا ما كان من عبد الله بن عمرو ، فإنه كان يكتب ولا أكتب.
الراوي: أبو هريرة المحدث: البخاري – المصدر: صحيح البخاري – الصفحة أو الرقم: 113
خلاصة حكم المحدث: صحيح

Terjemahan: [Kata Abu Hurairah radhiyallahu `anhu:] Tiada seorang pun daripada kalangan sahabat Nabi shallallahu `alaihi wasallam yang lebih banyak haditsnya daripadaku, melainkan `Abdullah bin `Amr, kerana dia mencatat [hadits-hadits Nabi], sedangkan aku tidak.

2.2 Riwayat Abu Hurairah radhiyallahu `anhu:

لما فتحت مكة قام النبي صلى الله عليه وسلم ، فذكر الخطبة – خطبة النبي صلى الله عليه وسلم – قال : فقام رجل من أهل اليمن ، يقال له : أبو شاه ، فقال : يا رسول الله ، اكتبوا لي ، فقال : اكتبوا لأبي شاه.
الراوي: أبو هريرة المحدث: أبو داود – المصدر: سنن أبي داود – الصفحة أو الرقم: 3649
خلاصة حكم المحدث: سكت عنه وقد قال في رسالته لأهل مكة كل ما سكت عنه فهو صالح

Terjemahan: [Kata Abu Hurairah radhiyallahu `anhu:] «Ketika Makkah dibuka, Nabi shallallahu `alaihi wasallam  berdiri dan dia membacakan khutbah – [yakni] khutbah Nabi shallallahu `alaihi wasallam -, katanya: Lalu berdiri seorang lelaki daripada ahli Yaman, yang dipanggil Abu Syah. Berkata Abu Syah: “Ya Rasulallah! Tuliskanlah untukku.” Lalu baginda bersabda: “Tuliskanlah untuk Abu Syah.”»

* Riwayat Abu Dawud di atas diriwayatkan juga oleh Al-Bukhari dan Muslim, dengan lafaz yang panjang.

2.3 Riwayat `Abdullah bin `Amr bin Al-`Ash radhiyallahu `anhuma:

كنت أكتب كل شيء أسمعه من رسول الله صلى الله عليه وسلم ، أريد حفظه ، فنهتني قريش ، وقالوا : أتكتب كل شيء تسمعه ورسول الله صلى الله عليه وسلم بشر يتكلم في الغضب والرضا ، فأمسكت عن الكتاب ، فذكرت ذلك لرسول الله صلى الله عليه وسلم ، فأومأ بأصبعه إلى فيه ، فقال : اكتب فوالذي نفسي بيده ، ما يخرج منه إلا حق.
الراوي: عبدالله بن عمرو بن العاص المحدث: أبو داود – المصدر: سنن أبي داود – الصفحة أو الرقم: 3646
خلاصة حكم المحدث: سكت عنه وقد قال في رسالته لأهل مكة كل ما سكت عنه فهو صالح

Terjemahan: [Kata `Abdullah bin `Amr bin Al-`Ash radhiyallahu `anhuma:] «Ada pun aku mencatat semua yang aku dengar daripada Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam, kerana aku ingin menghafaznya. Lalu aku dihalang oleh golongan Quraisy, lalu mereka berkata: “Adakah engkau menulis semua yang engkau dengar daripada Rasulullah, sedangkan Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam seorang manusia yang berkata-kata dalam keadaan marah mahu pun keadaan redha?” Lalu aku menahan diriku daripada mencatat. Kemudian aku menyebutkan masalah ini kepada Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam, lalu baginda berisyarat dengan meletakkan jarinya pada mulutnya, lalu baginda bersabda: “Tulislah! Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya! Tiada yang keluar daripadanya [yakni mulut baginda] kecuali kebenaran.”»

* Riwayat Abu Dawud di atas dishahihkan oleh Syu`aib Al-Arna’uth dan Al-Albani dalam tahqiq mereka terhadap Sunan Abi Dawud.


PENJELASAN:

  • Menurut Al-Qadhi `Iyadh, golongan salaf daripada kalangan sahabat dan tabi`in berbeza pendapat dalam permasalahan bolehkah menulis hadits Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam; sebahagian daripada mereka membencinya, sedangkan sebahagian yang lain membolehkannya.
  • Kemudian beliau membawakan beberapa pendapat dalam masalah ini, antaranya:
  • Pendapat pertama: Larangan ini untuk orang yang kuat hafalannya, sedangkan riwayat-riwayat yang membenarkan penulisan hadits adalah untuk orang yang tidak kuat hafalannya.
  • Pendapat kedua: Hadits larangan ini dimansukhkan [dibatalkan hukumnya] dengan hadits-hadits yang membenarkan penulisan hadits. Maksudnya: Larangan ini hanya berlaku ketika baginda shallallahu `alaihi wasallam bimbang berlakunya percampuran antara ayat-ayat Al-Qur’an dan hadits-hadits sekiranya kedua-duanya ditulis. Setelah kebimbangan itu hilang, maka baginda shallallahu `alaihi wasallam mengizinkan para sahabat untuk mencatat hadits-haditsnya.
  • Pendapat ketiga: Larangan ini sebenarnya bermaksud supaya para sahabat tidak menulis ayat-ayat Al-Qur’an dan hadits-hadits pada lembaran yang sama, sehingga mereka akan menjadi keliru.
  • Saya katakan: Saya lebih cenderung kepada pendapat kedua, memandangkan peristiwa Abu Syah [hadits 2.2] terjadi pada saat Fathu Makkah, yakni pada tahun-tahun terakhir kehidupan Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam, dan baginda mengizinkan para sahabat untuk mencatat khutbahnya.

Wallahu a`lam.

Oleh:

Adli Khalim
17 Februari 2012
Jakarta Barat, 19:05

Comments
  1. Ad-Dien says:

    Assalamualaikum, ziarah julung kali di teratak Akhi Adli..
    kenal ana tak?hehe..

    tak sangka akhi sudi buat satu entri khas mengenai topik yang ana bentangkan, (walaupun kita berdua je yang berdiskusi..hehe *jokes)
    syukran atas kesudian berkongsi ilmu dengan ana, ana perlu belajar banyak lagi..mohon tunjuk ajar ya..

    ana akan letakkan blog akhi sebagai bloglist di blog ana untuk rujukan, syukran

    p/s- button follow tak ada ka? tak biasa wordpress ni..hehe

  2. mrblinc says:

    وعليكم السلام

    Akh Ad-Dien,

    Sebenarnya dari dulu lagi saya berniat untuk bawakan beberapa perbahasan – sama ada saya sebagai TS atau pun yang menjawab pertanyaan – di AFN ke blog saya ni. At least nampak juga ada updatenya.

    Kalau nak bahas isu-isu lain, rasanya tak sempat, sebab sekarang memang agak sibuk sikit. Jadi, alang-alang dah mulakan perbahasan di AFN atau menjawab soalan-soalan di sana, baik saya bawakan perbahasan tu ke blog. Nak cari balik pun senang nanti.

  3. Ad-Dien says:

    ha bagus juga idea tu..saya Alhamdulillah dah lama juga mulakan penulisan berdasarkan topik yang dah dibincangkan di AFN..betul, senang kita nak rujuk bila dah dikumpulkan dalam bentuk tulisan yang ilmiah, moga Allah mudahkan untuk akhi..

    saya ada jumpa kajian dari buku kapten, mungkin akhi boleh rujuk disitu..

    buku Kaedah memahami hadith-hadith yang saling bercanggah..dalam tu ada banyak contoh hadith bercanggah salah satunya hadith yang kita berdua bincangkan aritu lah..hehe

    p/s- perbahasan tu kira dah habis ke??

  4. mrblinc says:

    Belum selesai ke perbahasan tu?

  5. Ad-Dien says:

    Kira dah habis ke? tak ada sape pun yang post selain akhi..huhu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s