[Solat] Ringkasan Kajian Hadits Masbuq Dalam Solat

Posted: April 14, 2012 in Fiqh Solat, Hadits, Manhaj Muhadditsin

BERIKUT saya bawakan ringkasan kajian hadits Masbuq dalam Solat oleh Dr. Mahir Yasin Al-Fahl.

Kajian ini berkisar sekitar hadits berikut:

 

 

إذا سمعتم الإقامة فامشوا إلى الصلاة ، وعليكم بالسكينة والوقار ، ولا تسرعوا ، فما أدركتم فصلوا ، وما فاتكم فأتموا
الراوي: أبو هريرة المحدث: البخاري – المصدر: صحيح البخاري – الصفحة أو الرقم: 636
خلاصة حكم المحدث: صحيح

Terjemahan: [Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam bersabda:] «Apabila kalian mendengar iqamah (dikumandangkan), maka hendaklah kalian berjalan ke (tempat) solat, dan hendaklah kalian berjalan dengan tenang, dan janganlah kalian tergesa-gesa. Apa yang kalian sempat (bersama imam), maka ikutilah. Apa yang kalian tidak sempat, maka sempurnakanlah.»

 

Namun, dalam sebahagian riwayat yang lain, perkataan فأتموا (iaitu: sempurnakanlah) diganti dengan perkataan فاقضوا (iaitu: qadha’lah).

Kemudian Dr. Mahir membahas sanad-sanad yang terlibat – sila rujuk skema di bawah –.

 

 

PERBAHASAN TENTANG STATUS HADITS:

  • Riwayat dengan lafaz فأتموا lebih banyak daripada lafaz فاقضوا.
  • Riwayat dengan lafaz فأتموا adalah shahih daripada riwayat Az-Zuhri, sedangkan Ibnu `Uyainah daripada Az-Zuhri riwayat dengan lafaz فاقضوا adalah kesalahan Ibnu `Uyainah sendiri, sebagaimana yang disebutkan oleh Muslim dalam kitabnya At-Tamyiz.
  • Tambahan daripada saya [Adli Khalim]: Kata Abu Dawud selepas meriwayatkan hadits dengan lafaz فأتموا [hadits no. 572]: Demikianlah yang disebut oleh Az-Zubaidi, Ibnu Abi Dzi`b, Ibrahim bin Sa`d, Ma`mar dan Syu`aib bin Abu Hamzah, daripada Az-Zuhri: وما فاتكم فأتموا. Dan Ibnu `Uyainah menyebutkan daripada Az-Zuhri – bersendirian –: وما فاتكم فاقضوا.

 

PERBAHASAN TENTANG FIQH HADITS:

  • Para `ulama’ berbeza pendapat tentang solat ma’mum masbuq; Adakah raka`at yang sempat diikutinya bersama imam merupakan awal solatnya atau akhir solatnya? Adakah raka`atnya selepas salam merupakan awal solatnya atau akhir solatnya?
  • Pendapat Pertama: Raka`at yang sempat diikutinya bersama imam adalah awal solatnya, sedangkan raka`atnya selepas salam adalah akhir solatnya. Ini adalah pendapat `Umar, `Ali, Abu Darda’, `Atha’, Makhul, `Umar bin `Abdu Al-`Aziz, Az-Zuhri, Al-‘Auza`i, Ishaq, Abu Tsaur, Dawud, Ibnu Al-Mundzir, ini juga diriwayatkan daripada Al-Hasan Al-Bashri, Ibnu Sirin. Ini juga pegangan Asy-Syafi`i, salah satu daripada riwayat Malik, Ahmad. Dalil mereka adalah hadits Abu Hurairah dengan lafaz فأتموا.
  • Pendapat Kedua: Raka`at yang sempat diikutinya bersama imam adalah awal solatnya dari segi pergerakan, tetapi akhir solatnya dari segi bacaan. Ini merupakan pendapat Ibnu Mas`ud, Ibnu `Umar, An-Nakha`i, Mujahid, Asy-Sya`bi, Ats-Tsauri, dan ini juga diriwayatkan daripada Al-Hasan Al-Bashri, Ibnu Sirin. Pendapat ini merupakan pendapat yang masyhur daripada mazhab Malik, Ahmad dan Ibnu Hazm. Dalil mereka adalah hadits Abu Hurairah dengan lafaz فاقضوا.
  • Pendapat Ketiga: Raka`at yang sempat diikutinya bersama imam adalah akhir solatnya dari segi pergerakan dan bacaan. Ini juga merupakan salah satu riwayat daripada Malik dan Ahmad.

 

Saya katakan: Saya lebih cenderung kepada pendapat pertama kerana dalilnya cukup kuat, iaitu hadits dengan lafaz  فأتموا diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam kitab shahihnya, sedangkan riwayat dengan lafaz فاقضوا dikritik oleh Muslim dan Abu Dawud.

Wallahu a`lam.

Oleh:

Adli Khalim
14 April 2012
Cilegon, 11:20

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s