Maaf, Saya Bukan Salafi-Wahhabi!!

Posted: June 17, 2012 in Manhaj Umum, Realiti Umat

 

SETELAH lima minggu berada di salah satu hospital di Kota Bekasi, saya telah dituduh sebagai seorang Salafi-Wahhabi. Saya sendiri kurang tahu mengapa saya dituduh seperti itu.

 

 

Adakah kerana menurut individu tersebut dahi saya agak kehitaman? Saya katakan, memang warna kulit saya gelap secara keseluruhan, bukannya di bahagian dahi sahaja.

 

 

Adakah kerana menurut individu tersebut saya memakai celana gantung [baca: seluar singkat]? Saya katakan, seluar yang saya pakai sehari-hari tidaklah singkat atau lebih tinggi daripada buku lali saya.

 

 

Adakah kerana menurut individu tersebut saya menyimpan janggut? Saya katakan, individu tersebut sendiri yang mengaku bahawa menyimpan janggut adalah sunnah Rasul, mengapa perlu dipersoalkan orang yang ingin mengamalkan sunnah Rasul? Tambahan, janggut saya bukanlah lebat, malah sangat tipis.

 

 

Adakah kerana menurut individu tersebut ekspresi muka saya berubah setiap kali dia memberikan kami nasihat? Saya katakan, memang saya tidak pandai menyembunyikan ekspresi muka apabila mendengar sesuatu yang bercanggah dengan pegangan saya selama ini. Apa lagi, bukan seorang dua ustaz yang mengajarkan sesuatu yang jelas bertentangan dengan nasihat-nasihat individu tersebut.

Bagaimana pula menurut ANDA, apabila seseorang mengatakan bahawa Allah bukan untuk ditakuti, tetapi sebenarnya untuk didekati?

 

 

Saya tidak tahu apa jawapan ANDA, namun menurut saya, Allah memang sepatutnya didekati, tetapi dalam masa yang sama, harus juga ditakuti. Banyak ayat Al-Qur’an yang menyebutkan tentang masalah ini, antaranya:

 

Dalil pertama: Surah Al-Baiyinah, surah 98, ayat 7 [sila klik di sini] dan ayat 8 [sila klik di sini]:

آية 7: إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ

آية 8: جَزَاؤُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ذَلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ

Ayat 7: Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal shalih, mereka adalah sebaik-baik makhluk.

Ayat 8: Ganjaran mereka di sisi Rabb mereka adalah syurga `Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha mereka, dan mereka kepadaNya. Demikian adalah ganjaran bagi orang yang takutkan Rabbnya.

 

Dalil kedua: Surah Yasin, surah 36, ayat 11 [sila klik di sini]:

آية 11: إِنَّمَا تُنْذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكْرَ وَخَشِيَ الرَّحْمَنَ بِالْغَيْبِ فَبَشِّرْهُ بِمَغْفِرَةٍ وَأَجْرٍ كَرِيمٍ

Ayat 11: Sesungguhnya engkau hanya mampu memberikan peringatan kepada orang yang ingin mengikuti peringatan dan takut kepada Ar-Rahman dalam keadaan tidak dilihat [oleh orang lain]. Maka sampaikanlah khabar gembira kepadanya dengan ampunan dan ganjaran yang mulia.

 

Dalil ketiga: Surah Fathir, surah 35, ayat 28 [sila klik di sini]:

آية 28: وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Ayat 28: Dan antara manusia, haiwan yang bertebaran di muka bumi dan haiwan ternakan, warna mereka berbeza-beza. Sesungguhnya golongan yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-hambaNya adalah orang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Pengampun.

 

Dalil keempat: Surah At-Taubah, surah 9, ayat 13 [sila klik di sini]:

آية 13: أَلا تُقَاتِلُونَ قَوْمًا نَكَثُوا أَيْمَانَهُمْ وَهَمُّوا بِإِخْرَاجِ الرَّسُولِ وَهُمْ بَدَءُوكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ أَتَخْشَوْنَهُمْ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ تَخْشَوْهُ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Ayat 13: Mengapa kalian tidak memerangi suatu kaum [yakni kaum musyrikin] yang melanggar sumpah mereka, dan mereka berazam untuk mengusir Rasul [dari Makkah], dan mereka jugalah yang mula-mula memerangi kalian? Adakah kalian takutkan mereka? Allah lebih berhak untuk kalian takuti, sekiranya kalian orang yang beriman.

 

 

Bagaimana pula menurut ANDA, apabila seseorang mengatakan bahawa Allah bukan di langit, tetapi Allah berada di mana-mana?

 

 

Saya tidak tahu apa jawapan ANDA, namun menurut saya, konsep bahawa Allah berada di mana-mana cukup sukar untuk diterima. Adakah konsep ini bermakna Allah juga berada di tempat-tempat maksiat seperti disko, rumah pelacuran, dll? Bagaimana pula di tandas-tandas? Maha Suci Allah daripada apa yang disifatkan oleh golongan yang jahil. Berdasarkan pengetahuan saya, ayat-ayat yang menyebutkan tentang Allah di langit cukup banyak dan cukup jelas, antaranya:

 

Dalil pertama: Surah Fushshilat, surah 41, ayat 11 [sila klik di sini]:

آية 11: ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ وَهِيَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلأَرْضِ ائْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ

Ayat 11: Kemudian Allah menuju ke langit, dan langit masih berupa asap, lalu Dia mengatakan kepada langit dan bumi: “Kedua-dua datang kepadaKu dengan patuh atau terpaksa.” Kata kedua-duanya: “Kami datang dengan patuh.”

 

Dalil kedua: Surah Al-Mulk, surah 67, ayat 16 [sila klik di sini] dan 17 [sila klik di sini]:

آية 16: أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ

آية 17: أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ

Ayat 16: Adakah kalian berasa aman bahawa Dzat yang di langit tidak akan menenggelamkan kalian ke dalam bumi apabila bumi bergoncang?

Ayat 17: Adakah kalian berasa aman bahawa Dzat yang di langit tidak akan mengirimkan kepada kalian hujan batu? Maka kalian akan tahu bagaimana peringatanKu.

 

Dalil ketiga: Hadits Mu`awiyah bin Al-Hakam radhiyallahu `anhu dalam Shahih Muslim [sila klik di sini]:

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ الْحَكَمِ السُّلَمِيِّ، قَالَ: وَكَانَتْ لِي جَارِيَةٌ، تَرْعَى غَنَمًا لِي قِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ، فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ، فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ، آسَفُ كَمَا يَأْسَفُونَ، لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ! أَفَلَا أُعْتِقُهَا؟ قَالَ: ائْتِنِي بِهَا، فَأَتَيْتُهُ بِهَا، فَقَالَ لَهَا: أَيْنَ اللهُ؟ قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ، قَالَ: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ رَسُولُ اللهِ، قَالَ: أَعْتِقْهَا، فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ

Daripada Mu`awiyah bin Al-Hakam As-Sulmi, katanya: «Aku memiliki seorang hamba perempuan, yang mengembala kambing untukku di depan gunung Uhud dan Al-Jawwaniyyah. Pada suatu hari aku memeriksanya, ternyata seekor serigala telah membawa seekor kambing gembalaanku. Aku hanyalah seorang lelaki biasa daripada keturunan Adam. Aku marah sebagaimana mereka marah. Namun aku telah menamparnya. Lalu aku datang kepada Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam, dan baginda menganggap kejadian tersebut sesuatu yang besar. Aku bertanya: “Ya Rasulallah! Tidakkah aku patut memerdekakannya?” Jawab baginda: “Bawakan hamba itu kepadaku.” Lalu aku membawakannya kepada baginda, lalu baginda bertanya kepadanya: “Di mana Allah?” Hamba perempuan tersebut menjawab: “Di langit.” Baginda bertanya lagi: “Siapa aku?” Jawabnya: “Engkau adalah Rasulullah.” Kata Rasulullah: “Merdekakan hamba ini, seseungguhnya dia seorang yang beriman.”

 

 

Bagaimana pula menurut ANDA, apabila seseorang bertanya “Sekiranya tiada syurga dan neraka, adakah kita masih menyembah Allah?”

 

 

Saya tidak tahu apa jawapan ANDA, namun menurut saya, tidak boleh wujud pertanyaan “Sekiranya tiada syurga dan neraka…” kerana Allah telah menciptakan kedua-duanya. Kewujudan kedua-duanya menjadi motivasi bagi manusia untuk terus beribadah kepada Allah. Cuba ANDA bayangkan sekiranya semua ayat yang menyebut tentang syurga-neraka dan pahala-dosa dihilangkan daripada surah-surah Makkiyyah [surah yang diturunkan sebelum peristiwa Hijrah], maka apa sahaja yang tinggal dalam surah-surah tersebut? Memberikan motivasi tentang syurga-neraka dan pahala-dosa memang diaplikasikan dalam Al-Qur’an dan hadits, antaranya:

 

Dalil pertama: Surah Al-Baqarah, surah 2, ayat 201 [sila klik di sini]:

آية 201: وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ayat 201: Dan antara mereka ada yang mengatakan: “Wahai Rabb kami. Berikan kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat. Dan peliharalah kami daripada azab neraka.”

 

Dalil kedua: Hadits `Utsman bin `Affan radhiyallahu `anhu dalam Shahih Muslim [sila klik di sini]:

عَنْ عُثْمَانَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ

Daripada `Utsman, katanya: Sabda Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam: “Sesiapa yang mati dan dia mengetahui bahawa tiada ilah melainkan Allah, dia pasti akan masuk syurga.”

 

Dalil ketiga: Hadits Abu Hurairah radhiyallahu `anhu dalam Shahih Al-Bukhari [sila klik di sini]:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَبِرَسُولِهِ، وَأَقَامَ الصَّلَاةَ، وَصَامَ رَمَضَانَ، كَانَ حَقًّا عَلَى اللهِ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ جَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللهِ، أَوْ جَلَسَ فِي أَرْضِهِ الَّتِي وُلِدَ فِيهَا، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، أَفَلَا نُبَشِّرُ النَّاسَ؟ قَالَ: إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللهِ، مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ، فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ، وَأَعْلَى الْجَنَّةِ أُرَاهُ فَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu `anhu, katanya: Sabda Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan RasulNya, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, maka menjadi hak Allah untuk memasukkannya ke dalam syurga, sama ada dia berjihad di jalan Allah atau pun hanya duduk di tanah airnya.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulallah! Bolehkah kami menyampaikan khabar gembira ini kepada manusia?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga ada seratus darjah yang disediakan oleh Allah untuk mujahidin fi sabilillah. Jarak antara dua darjah tersebut adalah sebagaimana jarak antara langit dan bumi. Apabila kalian meminta kepada Allah, maka mintalah syurga Al-Firdaus. Sesungguhnya itu adalah tengahnya syurga dan yang paling tinggi. Aku pernah diperlihatkan bahawa di atas Al-Firdaus adalah `Arasy Ar-Rahman.”

 

 

Bagaimana pula menurut ANDA, apabila seseorang mengatakan jangan kita mengikuti kelompok minoriti, tetapi ikutlah kelompok majoriti kerana majoriti tidak mungkin sesat?

 

 

Saya tidak tahu apa jawapan ANDA, namun menurut saya, kebenaran harus diukur dengan wahyu, bukannya ramai atau sedikit yang mengikutinya. Sekiranya jumlah yang menjadi ukuran, bererti “kebenaran” bersifat relatif. Di Indonesia majoriti penduduknya adalah muslim, maka Islam adalah agama yang benar di Indonesia. Bagaimana dengan sebuah negara yang majoriti penduduknya Kristian, adakah di sana Islam bukan agama yang benar? Adakah ini juga bererti pada permulaan Islam, memandangkan pengikut Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam masih sedikit, bererti Islam bukan merupakan agama yang benar pada waktu tersebut? Setelah Islam mula diterima oleh orang ramai, barulah Islam menjadi agama yang benar? Sekiranya di sebuah kota yang majoriti penduduknya meninggalkan solat, adakah itu bererti amalan meninggalkan solat adalah suatu amalan yang benar? Bagaimana pula nasib para Rasul dan Nabi yang ditolak da`wah mereka oleh kaum masing-masing, adakah bererti da`wah mereka salah? Ketahuilah bahawa jumlah bukanlah kayu ukur kebenaran. “Kebenaran” diukur berdasarkan wahyu.

 

Dalil pertama: Surah Al-An`am, surah 6, ayat 116 [sila klik di sini]:

آية 116: وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عن سَبِيلِ اللهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ

Ayat 116: Dan sekiranya engkau mentaati kebanyakan orang di muka bumi, pasti mereka akan menyesatkan engkau daripada jalan Allah. Tiadalah yang mereka ikuti selain sangkaan, dan mereka tidak lain hanyalah berkira-kira.

 

Dalil kedua: Hadits Ibnu `Abbas radhiyallahu `anhuma dalam Shahih Al-Bukhari [sila klik di sini]:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، قَالَ: خَرَجَ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا، فَقَالَ: عُرِضَتْ عَلَيَّ الْأُمَمُ فَجَعَلَ يَمُرُّ النَّبِيُّ مَعَهُ الرَّجُلُ، وَالنَّبِيُّ مَعَهُ الرَّجُلَانِ، وَالنَّبِيُّ مَعَهُ الرَّهْطُ، وَالنَّبِيُّ لَيْسَ مَعَهُ أَحَدٌ

Daripada Ibnu `Abbas radhiyallahu `anhuma, katanya: Nabi shallallahu `alaihi wasallam keluar kepada kami pada suatu hari, lalu bersabda: “Dibentangkan kepadaku beberapa umat. Maka nampaklah seorang Nabi bersama seorang pengikut, dan seorang Nabi bersama dua orang pengikut, dan seorang Nabi bersama sekelompok pengikut, dan seorang Nabi yang tiada seorang pengikut pun.”

 

 

Memang saya akui, setiap kali individu tersebut mengungkapkan nasihat-nasihat tersebut, saya agak sukar untuk menyembunyikan perasaan tidak senang, apa lagi saya bimbang beberapa orang teman yang hadir dalam sesi tersebut akan menerima seratus peratus nasihat-nasihat itu. Namun, alhamdulillah, beberapa orang teman pernah mengungkapkan rasa tidak senang dengan nasihat-nasihat tersebut dan menyifatkannya sebagai “ilmu yang aneh.”

 

 

Adakah saya layak dituduh Salafi-Wahhabi hanya kerana saya tidak bersetuju dengan ajaran-ajaran individu tersebut?

 

 

Adakah saya berada di pihak yang salah hanya kerana saya menolak kata-kata seorang individu yang mendakwa mendalami ajaran Sufi, malah saya lebih memilih untuk berpegang dengan Al-Qur’an dan Hadits?

 

 

Adakah saya dituduh Salalfi-Wahhabi supaya teman-teman saya tidak terpengaruh dengan tindakan saya yang menolak ajaran-ajaran tersebut?

 

 

Wallahu a`lam, saya sendiri tidak tahu mengapa individu tersebut menuduh saya Salafi-Wahhabi. Bagi saya, apa yang penting adalah teman-teman saya mampu menilai kebenaran ajaran tersebut, dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran tersebut.

 

 

Saya rasa cukup sekian entry untuk kali ini. Sebelum saya akhiri entry ini, saya ingin tegaskan bahawa saya bukan SALAFI-WAHHABI, saya hanyalah seorang calon doktor yang ingin mendalami hadits dan fiqh untuk diamalkan dalam kehidupan seharian saya. Saya tidak memerlukan gelaran Salafi untuk belajar hadits, cukuplah saya menggelarkan diri saya seorang MUSLIM.

 

 

#SayaBukanSalafi

Wallahu a`lam.

 

Oleh:

Adli Khalim
17 Jun 2012
Jakarta Barat, 13:20

Advertisements
Comments
  1. dentistsupermuslim says:

    sabar ya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s