Hadits Dha`if? Betul ke Haram?

Posted: November 11, 2012 in Manhaj Muhadditsin, Renungan

SEORANG saudara kita yang beraliran “salafi” pernah mengatakan, haram hukumnya beramal dengan hadits dha`if.

 

Jujur saya katakan, saya tidak pernah tahu bahawa kita diharamkan beramal dengan hadits dha`if. Wallahu a`lam, boleh jadi beliau benar dalam bab ini. Lagipun saya hanyalah seorang budak yang baru belajar tentang hadits.

 

Tetapi, saya pernah membaca dalam kitab Ar-Risalah bahawa Imam Asy-Syafi`i menerima hadits mursal sekiranya memenuhi beberapa syarat.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan “hadits mursal”? Hadits mursal adalah apabila seorang tabi`in – sama ada kibar at-tabi`in (tabi`in senior) atau shighar at-tabi`in (tabi`in junior) – berkata: “Nabi bersabda…” Inilah pendapat yang paling masyhur di kalangan ahli hadits.

 

Ini bererti hadits mursal tidak memenuhi syarat hadits shahih, iaitu syarat bersambung sanadnya, kerana telah gugur “sahabat” dalam sanad tersebut. Namun, Asy-Syafi`i menerima hadits mursal dengan syarat-syarat tertentu.

 

Wallahu a`lam, mungkin imam mujtahid ini tersalah dalam ijtihadnya. Lagipun Al-Imam bukanlah seorang yang ma`shum.

 

Saya juga pernah mendengar bahawa Imam Ahmad lebih mengutamakan hadits dha`if (dengan syarat-syarat tertentu) berbanding qiyas.

 

Antara syarat yang ditetapkan oleh Al-Imam: (1) tiada hadits shahih dalam bab tersebut, (2) tiada hadits shahih yang menyanggahi hadits dha`if tersebut, dan (3) hadits dha`if tersebut bukanlah dha`if yang berat seperti maudhu`, munkar, khatha’ dan sebagainya.

 

Menurut syaikhuna, Tuan Hassan Tuan Lah (lebih dikenali sebagai “THTL” di dunia siber), pendapat ini disebutkan dalam “حكم العمل بالحديث الضعيف” karangan Dr. Asyraf bin Sa`id.

 

Nampaknya seorang lagi imam mujtahid tersalah ijtihadnya dalam bab penggunaan hadits dha`if. Namun kita harus sedar bahawa Al-Imam juga – sebagaimana Imam Asy-Syafi`i – bukanlah seorang yang ma`shum.

 

Saya juga pernah belajar tentang manhaj para ashab as-sunan dalam penyusunan kitab-kitab hadits mereka. Antara yang menarik perhatian saya ialah manhaj Al-Imam At-Tirmidzi dalam menyusun kitabnya, iaitu Sunan At-Tirmidzi.

 

Nama asal Sunan At-Tirmidzi ini cukup panjang, iaitu “Al-Jami` Al-Mukhtashar mina As-Sunan `an Rasulillah shallallahu `alaihi wasallam, wa Ma`rifat Ash-Shahih wa Al-Ma`lul, wa ma `Alaihi Al-`Amal.” Berdasarkan nama inilah, kita dapat mempelajari manhaj At-Tirmidzi.

 

«Wa Ma`rifat Ash-Shahih wa Al-Ma`lul» boleh diterjemahkan sebagai “Penjelasan tentang keshahihan dan kecacatan (hadits).” Ini kerana banyak hadits (bukan semua) yang dijelaskan statusnya oleh At-Tirmidzi, sebahagiannya shahih dan sebahagian yang lain tidak shahih.

 

«Wa ma `Alaihi Al-`Amal» pula boleh diterjemahkan sebagai “Apa yang diamalkan (fiqhnya).” Selepas menyebutkan hadits serta statusnya, menjadi kebiasaan At-Tirmidzi untuk menyebutkan amalan para `ulama’ (terdapat 6 orang `ulama’ yang sering disebutkan oleh At-Tirmidzi, iaitu Ats-Tsauri, Malik, Ibnu Al-Mubarak, Asy-Syafi`i, Ahmad dan Ishaq) terhadap fiqh hadits yang diriwayatkannya. Menurutnya lagi, semua hadits dalam kitabnya diamalkan fiqhnya oleh para `ulama’, kecuali 2 hadits sahaja.

 

Sekiranya kita perhatikan, pasti kita akan dapati banyak sekali hadits yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi didha`ifkan oleh beliau sendiri atau `ulama’ lain, namun hadits-hadits yang dha`if ini tetap diamalkan fiqhnya oleh para `ulama’ mutaqaddimin, termasuklah 6 orang `ulama’ yang saya sebutkan di atas.

 

Nampaknya sekali lagi kita melihat bukti bahawa golongan yang digelar sebagai `ulama’ menggunakan hadits dha`if dalam fiqh mereka. Namun, kita harus faham bahawa golongan yang bergelar `ulama’ ini bukanlah golongan yang ma`shum, dan tentu sahaja mereka boleh tersalah dalam ijtihad mereka.

 

Entahlah, saya pun tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan tindakan para a’immah kita yang menggunakan hadits dha`if dalam fatwa mereka, sedangkan hukum beramal dengan hadits dha`if adalah haram, sebagaimana yang disebutkan oleh saudara “salafi” kita.

 

Hanya ada satu penjelasan yang paling munasabah dalam kes ini: “Para a’immah kita bukanlah golongan yang ma`shum, dan kata-kata mereka belum tentu benar.” Tetapi, saya rasa perkara ini juga berlaku untuk saudara “salafi” kita, dan juga diri saya sendiri. Wallahu a`lam.

 

Ikhlas daripada seorang penuntut ilmu hadits…

Oleh:

Adli Khalim
11 November 2012
Kota Bharu, 09:50

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s