Tegur Pun Salah?!

Posted: November 12, 2013 in Manhaj Umum, Realiti Umat, Renungan

Artis tengah marah

Seorang artis wanita Muslim melenting apabila seorang peminat menegur gambar seksinya yang dimuat naik ke Instagram. Malah artis tersebut menyalahkan peminat tersebut kerana “menjaga di tepi kain orang.” Katanya lagi wanita bertudung belum tentu lebih baik daripada wanita tidak bertudung.

Pertama: Kita kena sedar bahawa sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh lari daripada undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala. Islam bermaksud Al-Istislam (berserah diri). Bagaimana seorang yang mengaku beragama Islam tetapi tidak mahu berserah sepenuhnya kepada undang-undang yang ditetapkan oleh Allah? Tidakkah anda yakin bahawa perintah untuk menutup aurat datangnya daripada Allah Yang Maha Bijaksana? Kalau benar anda meyakininya, mengapa anda tidak mahu tunduk kepada peraturan tersebut?

Bukankah prinsip yang dipegang oleh orang beriman adalah sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 285 surah Al-Baqarah?

وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

Terjemahan: Dan mereka (golongan beriman) berkata: “Kami dengar, dan kami patuh. Ampunilah kami wahai Rabb kami. KepadaMu tempat (kami) kembali.” – [Al-Baqarah, 2: 285]

 

Kedua: Kenapa kita perlu menyalahkan orang yang menegur, sekiranya perkara yang ditegur memang satu kesalahan yang kita lakukan dan teguran tersebut bukanlah suatu teguran yang menghina atau kasar? Bukankah Allah memerintahkan kita untuk saling tegur-menegur dan mengingatkan antara satu sama lain?

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ المُؤْمِنِينَ

Terjemahan: Dan berilah peringatan! Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada golongan beriman. – [Adz-Dzariyat, 51: 55]

Begitu juga dengan hadits Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam yang memerintahkan kita untuk mengubah kemungkaran apabila kita melihatnya.

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

Terjemahan: (Daripada Abu Sa`id Al-Khudhri radhiyallahu `anhu, Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam bersabda:) “Sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu (mengubah dengan tangannya), hendaklah (dia mengubahnya) dengan lisannya. Sekiranya tidak mampu (mengubah dengan lisannya), hendaklah (dia mengubahnya) dengan qalbunya dan ini adalah selemah-lemah iman.” – [HR Muslim, no. 49]

Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam juga mengingatkan kita bahawa azab akan ditimpakan kepada seluruh kaum sekiranya tiada orang yang melarang perbuatan maksiat yang dilakukan dalam kaum tersebut.

مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا ، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا ، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ ، فَقَالُوا : لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا ، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا ، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا

Terjemahan: (Daripada An-Nu`man bin Basyir radhiyallahu `anhu, daripada Nabi shallallahu `alaihi wasallam:) Perumpamaan golongan yang menegakkan hukum-hukum Allah dan golongan yang melanggarnya adalah seperti suatu kaum yang mengambil tempat dalam sebuah kapal. Sebahagian daripada mereka berada di tingkat atas, dan sebahagian yang lain berada di tingkat bawah. Golongan yang berada di tingkat bawah, apabila mereka dahaga, mereka akan melintasi golongan yang berada di tingkat atas. lalu mereka (golongan yang berada di bawah) berkata: “Kalaulah kami boleh melubangi kapal ini untuk mendapatkan bahagian kami, sehingga kami tidak perlu menyusahkan orang yang berada di atas kami.” Sekiranya golongan yang berada di atas membiarkan sahaja apa yang diinginkan oleh golongan yang di bawah, pasti mereka semua akan binasa. Sekiranya mereka menghalang mereka, pasti mereka semua akan selamat. – [HR Al-Bukhari, no. 2493]

Ketiga: Ketahuilah bahawa Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam pernah memberikan khabar gembira kepada kaumnya, bahawa mereka semua akan diampuni oleh Allah, kecuali golongan yang berbangga-bangga dengan dosa mereka, dan tanpa segan silu menggembar-gemburkan maksiat yang mereka lakukan.

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ ، وَإِنَّ مِنَ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ ، فَيَقُولَ : يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا ، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Terjemahan: (Daripada Abu Hurairah radhiyallahu `anhu, Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam bersabda:) Setiap umatku akan dimaafkan kesalahan mereka, kecuali golongan yang suka menampak-nampakkan. Antara perbuatan menampak-nampakkan adalah seorang lelaki yang melakukan suatu amalan (maksiat) pada waktu malam, kemudian tiba waktu pagi – sedangkan Allah telah menutupi amalan tersebut (daripada pandangan manusia lain), lalu lelaki itu berkata: “Wahai Fulan! Aku telah melakukan ini dan ini.” Padahal pada malam hari tersebut, dosanya telah ditutupi oleh Rabbnya, lalu pada pagi hari dia sendiri yang telah membuka apa yang ditutupi oleh Allah. – [HR Al-Bukhari, no. 6069]

Tidakkah anda tahu bahawa perbuatan mendedahkan aurat, apatah lagi menayangkan sebahagian anggota tubuh yang boleh menaikkan syahwat seorang lelaki adalah suatu perbuatan maksiat? Lebih dahsyat apabila aurat anda tersebut bukan sahaja boleh dilihat oleh orang yang berada di sekitar anda, malah juga oleh individu yang berada di seluruh pelusuk dunia.

Keempat: “Wanita bertudung bukan semuanya baik.” Jujur saya katakan, sudah puas saya mendengar hujah ini dilemparkan, terutama apabila terjadinya perselisihan antara wanita yang bertudung dan wanita yang tidak bertudung. “Buat apa pakai tudung kalau tak ikhlas?” “Ramai juga perempuan bertudung, tapi bercouple juga.” “Tak semua perempuan bertudung tu baik, tak semua perempuan yang tak bertudung tu tak baik.”

Memang tidak dapat kita nafikan, bukan semua wanita bertudung baik. Saya sendiri akui bahawa sebahagian wanita bertudung hanyalah atas nama fesyen semata-mata. Namun, apabila seseorang wanita bertudung mengikut sesuatu dengan syari`at, ini bererti dia telah pun menunaikan salah satu suruhan agama. Mungkin dia mempunyai kekurangan dalam aspek lain, namun dalam aspek berpakaian, dia telah menjalani syari`at Islam.

Bertudung bukanlah bererti secara automatik menjadi ahli syurga. Tidak bertudung pula bukanlah bererti secara automatik menjadi ahli neraka. Tetapi bertudung boleh menambahkan berat timbangan kebaikan seseorang di Akhirat kelak. Ingatlah firman Allah Ta`ala dalam ayat 6-11 surah Al-Qari`ah (surah 101):

فَأَمَّا مَنْ ثَقُلَتْ مَوَازِينُهُ * فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ * وَأَمَّا مَنْ خَفَّتْ مَوَازِينُهُ * فَأُمُّهُ هَاوِيَةٌ * وَمَا أَدْرَاكَ مَا هِيَهْ * نَارٌ حَامِيَةٌ

Terjemahan: Sesiapa yang berat timbangannya, * dia berada kehidupan yang senang. * Sesiapa yang ringan timbangannya, * maka tempat kembalinya ada Hawiyah. * Tahukah engkau apakah itu Hawiyah? * Itu adalah api yang panas. – [Al-Qari`ah, 101: 6-11]

Rasanya cukup sekian untuk kali ini. Semoga bermanfaat untuk diri sendiri dan juga orang lain yang membaca entri ini. Mohon maaf sekiranya terdapat sedikit sebanyak kesilapan dalam penulisan kali ini. Wallahu a`lam.

Oleh:

Adli Khalim
12 November 2013
Kota Bharu, 20:30

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s