Antara Post Call, Rasulullah, Khidhir, Al-Bukhari, dan An-Nawawi…

Posted: January 15, 2014 in Manhaj Umum

Sebenarnya hari ini saya post call (semalam mula berkerja pukul 10 malam, pagi tadi bertugas di klinik pakar kanak-kanak sehingga ke tengah hari). Pulang ke rumah, niat di hati ingin melelapkan mata. Namun apabila tiba di rumah dan login Facebook, ada satu perbahasan yang menarik perhatian saya. Perbahasan ini berkisar tentang adakah Khidhir masih hidup hingga ke hari ini.

Sedar tak sedar, sampai ke `Ashar juga saya melayan diskusi – yang katanya – ilmiah. Memang cukup panjang perbahasannya, di sini saya cuma ingin sebutkan beberapa point yang dapat saya simpulkan daripada diskusi – yang katanya – ilmiah tadi.

PERTAMA:

Apabila An-Nawawi menaqalkan suatu pandangan dan tidak disusuli dengan bantahan daripadanya, maka itu menunjukkan persetujuannya.

Namun pemahaman ini berbeza dengan apa yang saya pelajari sebelum ini. Setahu saya, tidak semua nukilan para `ulama’ menunjukkan persetujuan mereka. Cuba kita lihat manhaj (methodology) Ath-Thabari dalam penyusunan kitabnya, Tarikh Al-Umam wa Al-Muluk (yang lebih terkenal dengan nama Tarikh Ath-Thabari). Ath-Thabari dalam kitabnya itu, hanya sekadar menaqalkan riwayat-riwayat yang diterimanya tanpa sebarang tapisan. Ini kerana manhaj beliau adalah untuk merekodkan riwayat-riwayat yang sampai kepadanya, tanpa mengira sama ada kisah tersebut shahih ataupun tidak.

Perkara yang sama juga dilakukan oleh para `ulama’ yang lain. Pengarang-pengarang kitab Sunan yang empat juga tidak pernah meletakkan syarat hadits yang mereka sebutkan dalam kitab mereka hanyalah terdiri daripada hadits-hadits yang shahih sahaja. Dalam Sunan Ibni Majah misalnya, dikatakan terdapat beberapa hadits yang bertaraf maudhu` (hadits palsu). Adakah dengan meriwayatkan hadits maudhu` dalam kitabnya bererti Ibnu Majah – rahimahullah – menganggapnya sebagai sabda Nabi shallallahu `alaihi wasallam? Sudah pasti jawapannya TIDAK. Ibnu Majah hanya sekadar meriwayatkannya, bukan bererti beliau bersetuju untuk mengatakan riwayat tersebut berasal daripada Nabi shallallahu `alaihi wasallam.

KEDUA:

Apabila bertembung antara hadits Nabi shallallahu `alaihi wasallam (yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dengan riwayat yang shahih) dengan pengalaman “golongan yang tsiqah” yang pernah bertemu Khidhir, maka kita boleh menerima pendapat yang mengatakan bahawa Khidhir masih hidup kerana perkara ini tidak mustahil di sisi Allah.

Saya agak terkejut dengan point yang dibawakan ini dalam diskusi – yang katanya – ilmiah tadi. Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari (no 601) jelas menyebutkan bahawa Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam bersabda: “Tidakkah kalian lihat malam kalian ini? Ketahuilah, sesungguhnya setelah seratus tahun, tidak akan ada seorang pun di muka bumi pada hari ini, akan hidup.” Hadits ini menjadi hujah Al-Bukhari dalam mengatakan bahawa Khidhir sudah meninggal dunia.

Namun masih ada pihak yang – seolah-olah – berpaling daripada hadits ini, hanya kerana ada “golongan yang tsiqah” – merujuk kepada golongan sufi – yang mendakwa pernah bertemu dengan Khidhir. Pernyataan tersebut seolah-olah telah menghilangkan sifat wahyu yang ada pada hadits Nabawi. Seolah-olah Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam tidak mengetahui bahawa masih ada seorang insan yang bakal hidup 100 setelahnya. Cuba anda bayangkan, seorang Rasul yang mampu menceritakan peristiwa-peristiwa akhir zaman, yang mampu memberikan sedikit gambaran tentang syurga dan neraka, namun tidak tahu bahawa akan ada seorang lelaki yang ada hidup 100 tahun selepas kewafatannya?

KETIGA:

Sifat tsiqah merupakan salah satu kriteria yang membolehkan sesuatu riwayat diterima.

Apabila kita berbicara tentang penerimaan suatu riwayat, kita akan menilai riwayat tersebut dari 2 aspek; riwayah dan dirayah. Maafkan saya sekiranya saya tersilap, “tsiqah” bukanlah salah satu kriteria yang harus dipenuhi bagi seorang perawi untuk diterima periwayatannya. Setahu saya, kriteria yang digariskan oleh para `ulama’ adalah `adil dan dhabith (ingatan yang tepat). Sekiranya kita banyak membaca jarh wa at-ta`dil yang dilakukan oleh para `ulama’ hadits, kita akan menemui kata-kata “Dia seorang yang tsiqah, tetapi dha`if”, ataupun “Tsiqah tetapi banyak melakukan kesalahan (dalam periwayatan).” Ini bererti tsiqah tidak semestinya tepat ingatannya. Ini dari segi riwayah.

Adapun dari segi dirayah, kita boleh mengkritik matan sesuatu riwayat. Contoh dalam isu Khidhir masih hidup ataupun tidak, memandangkan sudah jelas daripada Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam bahawa tiada seorang pun yang hidup pada zamannya akan tetap hidup selepas 100 tahun – melainkan anda menolak riwayat Al-Bukhari ini -, secara automatik pendapat yang mengatakan Khidhir masih hidup berdasarkan pengalaman-pengalaman “golongan yang tsiqah” adalah tertolak.

KEEMPAT:

Tidak menerima pendapat Khidhir masih hidup hingga ke saat ini seolah-olah ingin mempertikaikan kekuasaan Allah `Azza wa Jalla dalam menghidupkan dan mematikan makhluk.

Point ini yang agak susah untuk saya terima. Sepanjang perbahasan tadi, tiada seorang pun yang mempertikaikan kekuasaan Allah dalam menghidupkan dan mematikan makhluk. Persoalan yang dibangkitkan adalah “Adakah Khidhir masih hidup hingga ke saat ini?” Apa pula kaitannya dengan mempertikaikan kekuasaan Allah? Ini seolah-olah kita mengemukakan pendapat tidak batalnya wudhu’ apabila bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan, lalu ada pihak menuduh kita sesat sebab kita mengatakan tidak berdosa bersentuhan antara lelaki dan perempuan (saya memang pernah dituduh seperti ini ketika saya berada di Jakarta).

Saya rasa cukup sekian dulu untuk entry kali ini. Letih night duty pun tak hilang lagi, tambah pula dengan letih melayan diskusi -yang katanya – ilmiah.

Oleh:

Adli Khalim
15 Januari 2014 @ 2240H

Advertisements
Comments

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s