Q&A: Berpaling selepas solat, doa selepas salam…

Posted: March 13, 2015 in Fiqh Solat

S1: Sekiranya kita menjadi imam solat, selepas memberi salam kita membaca wirid. Setelah habis membaca wirid kedua “La ilahailallah wahdahu La syarikalahu…”, kita disunatkan untuk mengalihkan kedudukan sedikit ke kanan. Betulkah?

 

S2: Sekiranya betul, ada orang mengatakan, Nabi selepas beralih arah dari kiblat, (ke kanan atau mengadap makmum), Nabi tidak berdoa kerana sudah tidak mengadap ke arah kiblat. Betulkah?

 

بسم الله الرحمـن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه، وبعد

 

J1: Apabila kita merujuk kepada beberapa riwayat yang berbeza, kita akan mendapati bahawa kadang-kadang Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam menghadap ke arah kanan, kadang-kadang ke arah kiri, kadang-kadang menghadap para ma’mum (yakni menghadap ke arah belakang), dan kadang-kadang baginda terus bangun meninggalkan tempat solat.

 

Dalil yang menunjukkan bahawa baginda ﷺ menghadap ke arah kanan adalah sebagaimana berikut:

عَنِ السُّدِّيِّ، قَالَ: سَأَلْتُ أَنَسًا: كَيْفَ أَنْصَرِفُ إِذَا صَلَّيْتُ، عَنْ يَمِينِي أَوْ عَنْ يَسَارِي؟ قَالَ: أَمَّا أَنَا، فَأَكْثَرُ مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يَنْصَرِفُ عَنْ يَمِينِهِ

Daripada As-Suddi, katanya: Aku bertanya kepada Anas: “Bagaimana aku harus berpaling selepas solat; ke arah kananku atau ke arah kiriku?” Anas menjawab: “Apa yang aku lihat Rasulullah ﷺ sering kali menghadap ke arah kanannya.”

Diriwayatkan oleh Muslim (708), An-Nasa’i (1359). Status: Shahih.

 

Dalil yang menunjukkan bahawa baginda ﷺ menghadap ke arah kiri pula adalah sebagaimana berikut:

قَالَ عَبْدُ اللهِ: لَا يَجْعَلْ أَحَدُكُمْ لِلشَّيْطَانِ شَيْئًا مِنْ صَلَاتِهِ، يَرَى أَنَّ حَقًّا عَلَيْهِ أَنْ لَا يَنْصَرِفَ إِلَّا عَنْ يَمِينِهِ، لَقَدْ رَأَيْتُ النَّبِيَّ ﷺ كَثِيرًا يَنْصَرِفُ عَنْ يَسَارِهِ

Kata `Abdullah (yakni Ibnu Mas`ud): “Janganlah kalian memberikan ruang kepada syaitan untuk mengganggu solatnya. Dia menganggap bahawa seseorang tidak boleh berpaling kecuali ke arah kanan. Aku melihat Nabi ﷺ banyak berpaling ke arah kirinya.”

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (852), Muslim (707), An-Nasai (1360).

 

Kedua-dua hadits di atas tidaklah saling bercanggahan. Pertama, kedua-dua sahabat Nabi ﷺ ini, iaitu Anas bin Malik dan `Abdullah bin Mas`ud – radhyillahu `anhuma – menyatakan apa yang mereka sendiri perhatikan. Kedua, kata-kata Ibnu Mas`ud di atas adalah sanggahan beliau terhadap pihak yang seolah-olah mewajibkan berpaling ke arah kanan sahaja.

 

Dalil yang menunjukkan bahawa baginda ﷺ menghadap ke arah ma’mum (menghadap ke belakang) pula adalah sebagaimana berikut:

 

عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدَبٍ، قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ ﷺ إِذَا صَلَّى صَلَاةً أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ

Daripada Samurah bin Jundab, katanya: “Ada pun Nabi ﷺ apabila selesai mengerjakan solat, baginda memalingkan wajahnya ke arah kami.”

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (845). Status: Shahih.

 

Dalil yang menunjukkan bahawa baginda ﷺ terus bangun daripada tempat solat pula adalah sebagaimana berikut:

عَنْ عُقْبَةَ، قَالَ: صَلَّيْتُ وَرَاءَ النَّبِيِّ ﷺ بِالْمَدِينَةِ الْعَصْرَ، فَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ مُسْرِعًا فَتَخَطَّى رِقَابَ النَّاسِ إِلَى بَعْضِ حُجَرِ نِسَائِهِ، فَفَزِعَ النَّاسُ مِنْ سُرْعَتِهِ، فَخَرَجَ عَلَيْهِمْ فَرَأَى أَنَّهُمْ عَجِبُوا مِنْ سُرْعَتِهِ، فَقَالَ: ذَكَرْتُ شَيْئًا مِنْ تِبْرٍ عِنْدَنَا، فَكَرِهْتُ أَنْ يَحْبِسَنِي، فَأَمَرْتُ بِقِسْمَتِهِ

Daripada `Uqbah, katanya: Aku pernah solat `Ashar di belakang Nabi ﷺ di Madinah. Selepas memberi salam, baginda bangkit secara tergesa-gesa, lalu melangkah bahu orang ramai menuju ke sebahagian bilik isterinya. Lalu orang ramai menjadi hairan dengan ketergesaan baginda. Lalu baginda keluar berjumpa dengan mereka, dan baginda melihat orang ramai berasa hairan dengan ketergesaannya, lalu baginda berkata: “Aku teringatkan sejongkong emas yang ada bersama kami, aku tidak suka perkara ini merisaukanku, jadi aku perintahkan supaya emas itu dibahagikan.

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (851), An-Nasa’i (1365). Status: Shahih.

 

Hadits `Uqbah ini menjadi dalil bahawa tidak mengapa sekiranya seseorang meninggalkan jama`ah sejurus setelah memberikan salam dalam solat, walaupun ini bukanlah menjadi amalan kebiasaan baginda ﷺ (kerana kejadian ini menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai).

 

Telah silap pihak yang mendakwa orang yang meninggalkan jama`ah tanpa berdoa bersama imam dianggap tidak menghormati Allah ﷻ, kerana sekiranya dibandingkan antara menghormati Allah dan bersedekah, sudah tentu menghormati Allah lebih diutamakan. Namun, perbuatan Rasulullah ﷺ menunjukkan sebaliknya.

 

J2: Wallahu a`lam, saya tidak mengetahui adanya doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ selepas salam. Apa yang sampai kepada kita hanyalah doa-doa yang diajarkan dalam tahiyyat yakni sebelum memberi salam, dan wirid-wirid yang dibaca selepas memberi salam.

 

Wallahu a`lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s