Salah ke Saya Tak Ucapkan Sayyidina?

Posted: March 28, 2015 in Manhaj Umum, Realiti Umat

ISU penambahan sayyidina dalam solat muncul lagi. Kali ini dibangkitkan oleh sekumpulan asatidzah. Katanya sebahagian `ulama’ Asy-Syafi`iyyah mengharuskan, atas dasar hormat dan adab kepada Rasulullah ﷺ. Jadi amalan ini termasuk dalam khilaf yang dibenarkan. Tidak mengapalah kalau begitu. Namun, saya tetap memilih untuk tidak menyebut sayyidina dalam solat. Mengapa?

Sebelum membahas lanjut tentang isu ini, ingin saya jelaskan bahawa saya sedar bahawa saya bukanlah seorang yang bergelar ustaz, bukanlah seorang yang memiliki segulung sijil dalam bidang agama. Saya hanyalah seorang pegawai perubatan (atau doktor perubatan) yang masih baru dalam mengenal hadits dan sunnah Rasulullah ﷺ.

Namun, saya juga sedar bahawa kita memang dituntut untuk menghormati dan beradab dengan baginda ﷺ. Cuma saya mempunyai definisi tersendiri tentang “menghormati” dan “beradab” dengan baginda ﷺ. Berikut adalah penjelasannya.

PERTAMA: Apabila kita berbicara tentang masalah menghormati Rasulullah ﷺ serta beradab dengan baginda, sudah pasti kita tahu bahawa golongan yang paling menghormati baginda serta paling menjaga adab dengan baginda adalah golongan para sahabat radhiyallahu `anhum ajma`in.

Namun, kita akan dapati bahawa tiada seorang pun sahabat Nabi ﷺ yang meriwayatkan lafaz tahiyyat dengan penambahan sayyidina. Adakah ini bermakna para sahabat tidak menghormati Nabi ﷺ? Sudah pasti tidak!

Sekiranya benar definisi “menghormati baginda ﷺ” bererti kita harus menambah lafaz sayyidina dalam solat, sangatlah tidak logik para sahabat ini langung tidak ditegur oleh Allah ﷻ, sedangkan Al-Qur’an masih lagi diturunkan pada waktu tersebut.

KEDUA: Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Al-Bara’ bin `Azib radhiyallahu `anhu, beliau menyebutkan bahawa ketika Rasulullah ﷺ mengajarkannya sunnah-sunnah ketika tidur (yakni berwudhu’, mengiring pada rusuk kanan, dan mengucapkan doa), beliau mengucapkan: “Ya Allah! Aku beriman dengan kitabMu yang Engkau turunkan, dan dengan RasulMu…” lantas baginda ﷺ menegurnya: “Tidak! (Sebutlah) dengan NabiMu…” – hadits ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari (no. hadits 247).

Peristiwa ini mengajarkan kita bahawa Rasulullah ﷺ sangat memelihara setiap lafaz yang diajarkan olehnya kepada para sahabat. Sudah pasti pula para sahabat radhiyallahu `anhum akan menjaga lafaz tersebut, tanpa penambahan atau pengurangan.

Berdasarkan kisah ini juga, boleh kita katakan bahawa lafaz tahiyyat tanpa penambahan sayyidina adalah lafaz yang terpelihara daripada baginda ﷺ. Timbul pula satu lagi persoalan: Sekiranya baginda ﷺ masih bersama kita pada hari ini, adakah baginda akan membiarkan penambahan sayyidina dilakukan dalam tahiyyat?

KETIGA: Sekiranya kita menggunakan alasan menghormati Rasulullah ﷺ untuk menambah kalimah sayyidina dalam solat, kenapa kita tidak menggunakan penambahan yang sama dalam ayat Al-Qur’an dan azan?

Contohnya ayat 29 surah Al-Fath: (مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاء عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاء بَيْنَهُمْ), kenapa tidak ditambah kalimah sayyidina di hadapan kalimah Muhammad dalam ayat tersebut? Begitu juga dengan ayat 144 surah Ali `Imran: (وَمَا مُحَمَّدٌ إِلاَّ رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ), kenapa tiada penambahan?

Mungkin ada yang menjawab: “Itu wahyu, tidak boleh ditokok tambah.” Persoalannya, bukankah hadits juga wahyu? Allah ﷻ berfirman dalam surah An-Najm ayat 3-4: (وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَى، إِنْ هُوَ إِلاَّ وَحْيٌ يُوحَى). Rasulullah ﷺ bersabda dalam sebuah hadits tentang pendebungaan tamar: “Jika yang demikian itu (yakni pendebungaan tamar) bermanfaat buat mereka, mereka sepatutnya melakukannya. Sebenarnya itu hanya pendapat peribadiku, jadi janganlah salahkan aku kerana pendapatku. Tetapi sekiranya aku beritahu kalian tentang sesuatu daripada Allah, hendaklah kalian menerimanya, kerana aku tidak pernah mendustakan Allah.” – hadits ini diriwayatkan oleh Muslim (no. hadits 2363).

Jika wahyu dalam bentuk Al-Qur’an tidak boleh ditokok tambah, walaupun dengan hanya perkataan sayyidina, mengapa pula wahyu dalam bentuk hadits boleh diberikan penambahan? Adakah ini bererti kita hanya menghormati baginda ﷺ dalam solat sahaja, sedangkan kita tidak menghormati baginda ﷺ ketika membaca Al-Qur’an?

Saya rasa TIGA HUJAH ini sudah cukup bagi saya untuk memilih tidak menambah lafaz sayyidina dalam solat. Namun, saya tahu bahawa ada `ulama’ Asy-Syafi`iyyah yang mengharuskannya. Siapalah saya untuk dibandingkan dengan para `ulama’ tersebut. Tetapi ini tidak bererti saya tidak boleh memilih pendapat yang berbeza dengan pegangan mereka, kerana saya tahu di luar sana masih ramai `ulama’ yang tidak mengharuskan penambahan sayyidina dalam solat.

Bak kata para asatidzah yang membangkitkan isu ini: “Ini bab khilaf, kenapa perlu membesar-besarkannya?” Bukan niat saya untuk membesar-besarkannya, namun setiap kali saya menyatakan pendirian saya, pasti ada yang memandang serong, seolah-olah saya terlalu keras dalam bab khilafiyyah, seolah-olah saya tidak berpegang dalam mazhab Asy-Syafi`i dalam bab ini.

Namun, saya tahu bahawa Imam Asy-Syafi`i rahimahullah ketika menyebutkan riwayat-riwayat berselawat, beliau tidak menambah lafaz sayyidina (sila rujuk Al-Umm, Kitab (3): Ash-Sholat, Bab (64): At-Tasyahhud dan Ash-Sholat `ala An-Nabi ﷺ). Bahkan, kata An-Nawawi rahimahullah: Ada pun selawat yang paling ringkas, kata Asy-Syafi`i dan ashabnya: “Allahumma shalli `ala Muhammad.” (sila rujuk Al-Majmu` Syarh Al-Muhadzdzab, jilid 3, halaman 448). Ini sudah cukup bagi saya.

Wallahu a`lam.

@ Adli Khalim @ 29.03.2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s