Telah tersebar satu hadits palsu yang melarang pengantin wanita daripada 4 jenis makanan; susu, cuka, ketumbar, dan epal masam.
KRITIKAN DARI SEGI SANAD:
Hadits ini diriwayatkan oleh Ibn Al-Jauzi dalam Al-Maudhu`at (kitab yang mengumpulkan hadits-hadits maudhu`), dalam bab: “Apa yang dilakukan oleh isteri ketika masuk menemui suaminya.” Kata Ibn Al-Jauzi selepas membawakan hadits ini: “Kata Ibn Hibban: `Abdullah bin Wahab (salah seorang perawi hadits) adalah syaikh dajjal, dia memalsukan hadits.”
KRITIKAN DARI SEGI MATAN:
Hadits ini juga merendah-rendahkan darjat seorang wanita. Ini sangat bercanggah dengan ruh ajaran Islam yang mengangkat darjat seorang wanita.
PERINGATAN:
1. Tidak halal bagi sesiapa untuk menyebarkan hadits ini, melainkan untuk diterangkan kepalsuannya kepada orang awam.
2. Ketahuilah, sesiapa yang menyebarkan hadits ini tanpa menerangkan kepalsuannya termasuk dalam ancaman Rasulullah ﷺ: “Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya dalam neraka.” – Hadits diriwayatkan oleh Al-Bukhari (no. 3461).
3. Bagi sesiapa yang menyaksikan penyebaran hadits ini tanpa penjelasan tentang kepalsuannya, hendaklah menasihati orang yang menyebarkannya. Sabda Rasulullah ﷺ: “Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu, hendaklah mengubahnya dengan lisannya. Sekiranya tidak mampu, hendaklah mengubahnya dengan qalbunya dan inilah selemah-lemah iman.” – Hadits diriwayatkan oleh Muslim (no. 49).
Wallahu a`lam.
@ Adli Khalim – 29.03.2015