HADITS MU`ALLAQ (الحديث المعلق) ialah hadits yang telah digugurkan perawi dalam sanadnya, sama ada seorang atau lebih, bahkan sampai ke akhir sanad.
Contoh hadits mu`allaq adalah apabila seseorang yang mengatakan: “Daripada `A’isyah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:…” atau “Daripada Ibn `Abbas, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:…”, yakni tanpa menyebutkan perawi-perawinya.
Bahkan, sesetengah periwayatan tidak menyebutkan siapakah sahabat – radhiyallahu `anhum – yang meriwayatkan hadits tersebut daripada baginda.
Hukum asal hadits mu`allaq adalah dha`if, kerana tidak memenuhi syarat hadits shahih (antara syarat hadits shahih adalah bersambungnya sanad antara perawi-perawi kepada Nabi ﷺ, sedangkan hadits mu`allaq adalah hadits yang gugur sanadnya).
Kita tahu bahawa dalam Shahih Al-Bukhari juga terkandung hadits-hadits mu`allaq, namun hadits-hadits ini bukanlah hadits Shahih Al-Bukhari yang sebenar. Oleh sebab itu, kita akan dapati hadits-hadits mu`allaq ini tidak diletakkan nombor.
Hadits mu`allaq dalam Shahih Al-Bukhari terbahagi kepada dua:
(a) hadits mu`allaq yang marfu`.
(b) hadits mu`allaq yang tidak marfu` (kata-kata sahabat, tabi`in, dan sebagainya).
Hadits mu`allaq yang marfu` (a) terbahagi kepada tiga:
(a.i) hadits mu`allaq yang shahih, diriwayatkan secara bersambung oleh Al-Bukhari sendiri dalam kitab shahihnya.
(a.ii) hadits mu`allaq yang shahih, diriwayatkan secara bersambung oleh muhaddits lain dalam kitab mereka.
(a.iii) hadits mu`allaq yang tidak shahih.
Contoh hadits mu`allaq untuk kategori (a.i) adalah:
مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ
Riwayat ini disebutkan secara mu`allaq oleh Al-Bukhari dalam Kitab: Ilmu (kitab ke-3), Bab: Ilmu sebelum perkataan dan amalan (bab ke-10).
Namun, Al-Bukhari juga meriwayatkan hadits ini secara bersambung dalam Kitab: Ilmu (kitab ke-3), Bab: Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan, Allah akan memberikannya kefaqihan dalam agama (bab ke-13), Nombor hadits: 71. Kata Al-Bukhari:
حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ عُفَيْرٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ، عَنْ يُونُسَ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ: قَالَ حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، سَمِعْتُ مُعَاوِيَةَ خَطِيبًا، يَقُولُ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ ﷺ يَقُولُ:
مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
Telah menceritakan kepada kami Sa`id bin `Ufair, katanya: Telah menceritakan kepada kami Ibn Wahb: Daripada Yunus: Daripada Ibn Syihab, katanya: Telah berkata Humaid bin `Abd Ar-Rahman: Aku mendengar Mu`awiyah berkhutbah, katanya: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan, Allah akan memberikannya kefaqihan dalam agama.”
Contoh hadits mu`allaq untuk kategori (a.ii) adalah:
وَكَانَ النَّبِيُّ ﷺ يَذْكُرُ اللهَ فِي كُلِّ أَحْيَانِهِ
Riwayat ini disebutkan secara mu`allaq oleh Al-Bukhari dalam Kitab: Haid (kitab ke-6), Bab: Wanita haid melaksanakan keseluruhan manasiknya kecuali thawaf di Baitullah (bab ke-7).
Al-Bukhari sendiri tidak meriwayatkan hadits ini secara bersambung dalam kitab shahihnya, namun hadits ini diriwayatkan secara bersambung oleh para muhadditsin lain, antaranya Muslim dalam kitab shahihnya, hadits nombor: 373. Kata Muslim:
حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ وَإِبْرَاهِيمُ بْنُ مُوسَى، قَالَا: حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي زَائِدَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ خَالِدِ بْنِ سَلَمَةَ، عَنِ الْبَهِيِّ، عَنْ عُرْوَةَ، عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ:
كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يَذْكُرُ اللهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ
Telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib Muhammad bin Al-`Ala’ dan Ibrahim bin Musa, kedua-duanya berkata: Telah menceritakan kepada kami Ibn Abi Za’idah: Daripada bapanya: Daripada Khalid bin Salamah: Daripada Al-Bahiy: Daripada `Urwah: Daripada `A’isyah, katanya: “Nabi ﷺ mengingati Allah dalam setiap keadaannya.”
Contoh hadits mu`allaq untuk kategori (a.iii) adalah:
وَيُذْكَرُ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَفَعَهُ: مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ رُخْصَةٍ وَلَا مَرَضٍ، لَمْ يَقْضِهِ صِيَامُ الدَّهْرِ وَإِنْ صَامَهُ
Riwayat ini disebutkan secara mu`allaq oleh Al-Bukhari dalam Kitab: Puasa (kitab ke-30), Bab: Apabila berjima` di bulan Ramadhan (bab ke-29).
Hadits ini tidak shahih, malah Al-Bukhari telah memberikan isyarat kedha`ifannya dengan penggunaan shighah tamridh (صيغة التمريض, dalam contoh ini shighah tamridh yang digunakan adalah lafaz يُذْكَرُ). Selain itu, At-Tirmidzi juga menyebutkan kritikan Al-Bukhari terhadap hadits ini, sebagaimana yang diriwayatkannya dalam kitab jami`nya, dalam Abwab: Puasa (abwab ke-4), Bab: Apa yang datang tentang berbuka puasa dengan sengaja (bab ke-27). Kata At-Tirmidzi:
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مَهْدِيٍّ، قَالَا: حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِي ثَابِتٍ، حَدَّثَنَا أَبُو الْمُطَوِّسِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ:
مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ رُخْصَةٍ وَلَا مَرَضٍ، لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ وَإِنْ صَامَهُ
قَالَ أَبُو عِيسَى: حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ هَذَا الْوَجْهِ، وسَمِعْت مُحَمَّدًا يَقُولُ: أَبُو الْمُطَوِّسِ اسْمُهُ يَزِيدُ بْنُ الْمُطَوِّسِ، وَلَا أَعْرِفُ لَهُ غَيْرَ هَذَا الْحَدِيثِ
Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basyar: Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Sa`id dan `Abd Ar-Rahman bin Mahdi, kedua-duanya berkata: Telah menceritakan kepada kami Sufyan: Daripada Habib bin Abi Tsabit: Telah menceritakan kepada kami Abu Al-Muthawwis: Daripada bapanya: Daripada Abu Hurairah, katanya: Sabda Rasulullah ﷺ: “Sesiapa yang berbuka puasa 1 hari dalam Ramadhan bukan kerana rukhsah atau sakit, puasanya tidak dapat diganti walaupun dia berpuasa setahun penuh.” Kata Abu `Isa (yakni At-Tirmidzi): Hadits Abu Hurairah tidak kami ketahui melainkan melalui jalur ini. Aku mendengar Muhammad (yakni Al-Bukhari) berkata: Abu Al-Muthawwis namanya ialah Yazid bin Al-Muthawwis, aku tidak mengetahuinya selain daripada hadits ini.
Sekian penjelasan ringkas tentang hadits mu`allaq dalam Shahih Al-Bukhari, beserta contoh-contohnya. Wallahu a`lam.
Untuk memuatturun fail .pdf, sila KLIK DI SINI.