Daripada `A’isyah radhiyallahu `anha, katanya:
دَخَلَ رَهْطٌ مِنَ الْيَهُودِ عَلَى رَسُولِ اللهِ ﷺ فَقَالُوا: “السَّامُ عَلَيْكُمْ”
Sekumpulan Yahudi masuk bertemu Rasulullah ﷺ, lalu mereka mengucapkan: “As-Samu `alaikum (Kecelakaan atas kalian).”قَالَتْ عَائِشَةُ: فَفَهِمْتُهَا فَقُلْتُ: “وَعَلَيْكُمُ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ”
Kata `A’isyah: Aku memahami ucapan mereka, lalu aku menjawabnya: “Wa `alaikum as-samu wa al-la`nat (Atas kalian juga kecelakaan dan laknat).”قَالَتْ: فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: “مَهْلاً يَا عَائِشَةُ، إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الأَمْرِ كُلِّهِ”
Kata `A’isyah lagi: Rasulullah ﷺ berkata (kepadaku): “Tenanglah wahai `A’isyah! Sesungguhnya Allah menyukai sikap lemah lembut dalam setiap perkara.”فَقُلْتُ: “يَا رَسُولَ اللهِ! وَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا؟”
Aku bertanya: “Ya Rasulullah! Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan?”قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: “قَدْ قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ”
Jawab Rasulullah ﷺ: “Bukankah aku telah menjawab: Atas kalian juga (kecelakaan)…”[HR Al-Bukhari no. 6024]
Ulasan:
1. Para `ulama’ berbeza pendapat tentang hukum memberi salam kepada non-muslim dan menjawab salam mereka:
(a) Sebahagian `ulama’ salaf berpendapat tidak boleh memberi salam kepada non-muslim, sedangkan sebahagian yang lain berpendapat harus memberi salam kepada mereka.
(b) Kata Al-Auza`i: “Sekiranya engkau memberi salam kepada mereka, golongan shalih sebelum ini telah pun memberi salam kepada mereka. Sekiranya engkau tidak memberi salam kepada mereka, golongan shalih yang lain sebelum ini juga tidak memberi salam kepada mereka.”
(c) Sekiranya non-muslim memberi salam dengan ucapan السلام عليكم (as-salamu `alaikum, kesejahteraan atas kalian), kita boleh menjawab dengan ucapan وعليكم السلام (wa `alaikum as-salam, kesejahteraan juga atas kalian). Ini berdasarkan adab yang diajarkan oleh Allah ﷻ:
وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا
Apabila diberikan penghormatan kepada kalian, hendaklah kalian membalas penghormatan yang lebih baik daripadanya, ataupun yang sama sepertinya. – Surah An-Nisa’, ayat 86.
(d) Sekiranya mereka mengucapkan ucapan السام عليكم (as-samu `alaikum, kecelakaan atas kalian), kita hendaklah menjawab sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ dalam hadits di atas: وعليكم (wa `alaikum, atas kalian juga).
2. Telah tersebar di media sosial satu mesej yang berbunyi: “Jangan guna ‘Salam’ kerana ‘Salam’ bermaksud ‘celakalah kamu’. Gunakan perkataan ‘As Salam’ sebagai singkatan bagi ‘Assalamualaikum’.”
(a) Ini merupakan salah satu kejahilan orang yang mula menyebarkan mesej tersebut. Ada juga kemungkinan individu tersebut telah tersalah faham dengan hadits di atas.
(b) Kalimah السلام (as-salam) dan سلام (salam) tidak jauh beza terjemahannya. Kedua-duanya membawa maksud “sejahtera”. Bahkah kalimah سلام yang kononnya membawa maksud “celaka” banyak kali disebutkan oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an, antaranya:
(i) Dalam ayat 58, surah Yasin:
سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ
(Dikatakan kepada penghuni syurga): “SALAM” sebagai ucapan daripada Rabb yang Maha Penyayang.
Cuba bayangkan, adakah logik Allah yang Maha Penyayang mengucapkan kalimah “CELAKA” kepada penghuni syurga?
(ii) Dalam ayat 69, surah Hud:
وَلَقَدْ جَاءتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَى قَالُواْ سَلاَماً قَالَ سَلاَمٌ فَمَا لَبِثَ أَن جَاء بِعِجْلٍ حَنِيذٍ
Para utusan Kami telah datang kepada Ibrahim dengan membawa berita gembira, lalu mereka berkata: “SALAM”. Jawab Ibrahim: “SALAM.” Tidak lama kemudian Ibrahim membawakan daging anak lembu yang dipanggang.
Cuba bayangkan sekali lagi, adakah logik para utusan Allah (yakni para malaikat) mengucapkan “CELAKA kepadamu Ibrahim!”, lalu Nabi Ibrahim `alaihi as-salam pula menjawab: “CELAKA.”
3. Oleh itu, berhati-hati ketika menyebarkan apa-apa mesej di media sosial. Niat baik kita untuk berkongsi “ilmu” belum tentu akan membuahkan pahala kepada kita.