Daripada Abu Hurairah radhiyallahu `anhu, Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ مِنْ أَرْبَعٍ يَقُولُ
Apabila salah seorang daripada kalian bertasyahhud, hendaklah dia berlindung dengan Allah daripada 4 perkara, hendaklah dia berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Mu daripada azab Jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah Al-Masih Ad-Dajjal.”
[HR Muslim no. 588]
Ulasan:
1. Dalam hadits ini, Rasulullah ﷺ mengajarkan kita untuk berdoa dengan doa di atas sejurus selepas kita selesai membaca tasyahhud (yakni selepas selesai membaca إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ) dan sebelum memberi salam pertama.
2. Imam Muslim menyebutkan bahawa apabila Thawus (طاووس, seorang tabi`i) mengetahui bahawa anaknya tidak berdoa dengan doa tersebut dalam solatnya, beliau akan menyuruh anaknya untuk mengulang kembali solat tersebut. Ini menunjukkan bahawa:
(a) Doa ini dibaca sebelum memberi salam pertama. Sekiranya doa ini dianjurkan untuk dibaca selepas memberi salam, pasti Thawus hanya menyuruh anaknya membaca doa tersebut pada saat itu, tanpa perlu mengulangi solat.
(b) Kaum salaf sangat menitikberatkan doa ini dalam setiap solat mereka.
3. Hadits shahih ini juga menjadi dalil bahawa azab kubur adalah wujud, sekaligus menolak dakwaan golongan Al-Mu`tazilah (المعتزلة) yang menolak kewujudan azab kubur.
4. Fitnah kehidupan adalah ujian atau cubaan yang dihadapi oleh seseorang dalam kehidupannya, misalnya cubaan-cubaan yang membuatkan manusia lalai daripada menunaikan kewajipannya, atau musibah yang menimpa dirinya atau keluarganya. Sedangkan fitnah kematian adalah ujian ketika seseorang menghampiri penghujung usianya, dan ujian di kubur ketika ditanya oleh malaikat.
5. Kalimah FITNAH dalam bahasa `Arab mempunyai maksud yang sangat besar perbezaannya dengan kalimah FITNAH yang digunakan dalam bahasa Melayu. FITNAH dalam bahasa Melayu bererti tuduhan palsu terhadap seseorang. Sedangkan, FITNAH dalam bahasa `Arab bererti:
(a) ujian dan cubaan, sebagaimana firman Allah ﷻ:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya mengatakan: “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak DIUJI? – Surah Al-`Ankabut (29), ayat 1
(b) seksaan, sebagaimana firman Allah ﷻ:
ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ هَاجَرُوا مِن بَعْدِ مَا فُتِنُوا
Kemudian, sesungguhnya Rabb-mu (pelindung) bagi orang yang berhijrah selepas mereka DISEKSA… – Surah An-Nahl (16), ayat 110
(c) syirik, sebagaimana firman Allah ﷻ:
وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ
KESYIRIKAN lebih besar daripada pembunuhan. – Surah Al-Baqarah (2), ayat 191
(d) kesesatan, sebagaimana firman Allah ﷻ:
وَمَنْ يُرِدِ اللهُ فِتْنَتَهُ فَلَنْ تَمْلِكَ لَهُ مِنَ اللهِ شَيْئًا
Sesiapa yang diinginkan oleh Allah KESESATAN baginya, engkau sesekali tidak berkuasa (menolak) sesuatu apa pun (yang datang) daripada Allah untuknya. – Surah Al-Ma’idah (5), ayat 41
6. Oleh itu, apabila anda mendengar seseorang cuba menafikan fitnah (tuduhan palsu) terhadap dirinya dengan menggunakan ayat Al-Baqarah وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ, anda sepatutnya menegurnya kerana dia telah tersalah faham dengan maksud FITNAH dalam ayat Al-Baqarah tersebut.