Isu kambing menyerupai manusia…

Posted: April 29, 2016 in Manhaj Umum, Realiti Umat

BEBERAPA hari yang lalu, saya menerima satu soalan berkenaan satu kejadian di Kota Tinggi, Johor, tentang kelahiran seekor anak kambing yang menyerupai manusia. Penanya bertanya tentang tatacara menguruskan bayi kambing tersebut.

Kambing

Sebelum saya menjawab soalan tersebut, izinkan saya membangkitkan beberapa persoalan.

PERTAMA: Adakah berita ini benar?

Berdasarkan pemerhatian saya, umat Islam di Malaysia sangat gemarkan perkara-perkara ajaib, kononnya inilah kuasa Allah ﷻ. Oleh sebab ini jugalah dapat kita lihat fenomena ceramah-ceramah yang bercerita tentang kehebatan wali itu dan wali ini, yang bercerita tentang keajaiban-keajaiban lebih banyak dihadiri berbanding ceramah-ceramah yang bersifat ilmiah.

Sedangkan Allah ﷻ telah mengajarkan kita supaya tidak mudah percaya apa-apa berita yang datang daripada golongan fasiq, sehinggalah kita selidiki terlebih dahulu. Firman Allah ﷻ:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kalian orang fasiq dengan satu berita, hendaklah kalian selidiki (tabayyun) supaya kalian tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, sehingga menyebabkan kalian menyesal atas perbuatan kalian.”

[Surah Al-Hujurat (surah 49), ayat 6]

Sehingga ke hari ini, saya belum lagi mendengar apa-apa ulasan daripada pihak berkuasa tempatan atau institusi agama tempatan mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang masalah ini. Menurut pendapat saya, tak logik berita seperti ini tidak sampai kepada pihak-pihak tersebut. Dan sekiranya perkara ini sudah sampai -seandainya kisah ini memang benar-benar berlaku-, kenapa pihak-pihak tersebut tidak memberikan apa-apa ulasan tentang kejadian ini, sedangkan masyarakat awam benar-benar ingini mengetahuinya?

KEDUA: Sekiranya kisah ini benar-benar berlaku, saya ingin mendengar penjelasan daripada pihak veterinar; adakah kejadian ini tidak mustahil untuk terjadi kepada kambing?

Sebagai seorang doktor, saya pernah menyaksikan beberapa penyakit yang aneh, namun jarang berlaku dalam masyarakat. Sebahagian orang akan menganggapnya pelik dan ajaib, namun bagi seorang doktor, penyakit tersebut memang wujud.

Saya ingin menyebut saya contoh mudah; cyclopia. Cyclopia adalah satu keadaan di mana bayi yang dilahirkan hanya mempunyai satu mata yang terletak di tengah-tengah. Saya pernah menonton satu video yang menunjukkan kelahiran bayi yang mengalami masalah ini di FB, bahkan diletakkan caption “kelahiran bayi Dajjal”. Memang kejadian cyclopia ini aneh, namun ia wujud dalam dunia perubatan.

Oleh sebab itu, bagi saya, pandangan seorang doktor perubatan veterinar sangat diperlukan dalam kes ini untuk menentukan sama ada adakah tidak mustahil bayi kambing begini dilahirkan hasil persetubuhan antara kambing jantan dan kambing betina, sekaligus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa bayi kambing ini adalah hasil persetubuhan manusia dan kambing betina.

KETIGA: Sekiranya kisah ini benar-benar berlaku, saya ingin mendengar penjelasan daripada pakar genetik; adakah tidak mustahil sel sperma seorang lelaki boleh bersenyawa dengan sel ovum kambing betina, lalu menghasilkan bayi kambing seperti ini?

Alhamdulillah, semalam saya telah membaca penjelasan seorang Pakar Biologi Molekul, Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, iaitu Professor Dr. Shaharum Shamsuddin (dikongsikan oleh Dr. Suhazeli Abdullah di FB). Secara ringkasnya, Prof. Dr. Shaharum menjelaskan bahawa kromosom kambing adalah 60, sedangkan kromosom manusia adalah 46. Apabila terbentuknya sel gamet (yakni sperma atau ovum), jumlah kromosom ini akan menjadi separuh (sel gamet kambing mengandungi 30 kromosom, manakala sel gamet manusia mengandungi 23 kromosom). Sekiranya kejadian ini benar-benar terjadi, ini bererti zigot (hasil persenyawaan) antara dua spesis ini akan memiliki 53 kromosom (30 kromosom daripada sel gamet kambing + 23 kromosom daripada sel gamet manusia).

Sambung Dr. Shaharum lagi, secara logiknya mana-mana ahli genetik haiwan akan berpendapat jumlah kromosom yang berangka ganjil adalah mustahil untuk berkembang dalam peraturan azali sistem pembiakan. Ini bererti zigot (hasil persenyawaan) tersebut akan mati, dan mustahil untuk dilahirkan sebagai makhluk hidup. Bahkan, Dr. Shaharum secara peribadi menganggap bayi kambing berkenaan adalah hasil persenyawaan antara kambing jantan dan kambing betina, cuma berlaku malformation (genetic defect), dan ini bukan kes pertama yang berlaku (cuma kita sahaja yang tidak pernah mendengarnya).

KEEMPAT: Kenapa kita cepat menghukum? Cuba anda lihat dalam gambar yang saya paparkan di atas, mesej tersebut dengan jelas menyebut haiwan yang “disetubuhi oleh manusia.”

Adakah anda benar-benar yakin kejadian ini terjadi hasil persetubuhan antara kambing dan manusia?

Adakah anda telah mendengar pendapat daripada doktor perubatan veterinar, selaku orang yang lebih berpengalaman menangani kes-kes seperti ini?

Adakah anda telah mendengar pendapat daripada pakar genetik sebelum anda menyebarkan berita ini di media sosial?

Sekiranya anda benar-benar beriman kepada Allah dan Kitab-Nya, kenapa anda tidak menyahut perintah Allah ﷻ supaya menyelidiki terlebih dahulu kes ini, dan bertanya kepada golongan pakar terlebih dahulu?

KELIMA: Tentang tatacara menguruskan bayi kambing berkenaan, jujur saya katakan saya tidak tahu. Bagi saya, kita serahkan urusan ini kepada para mufti dan pihak agama tempatan, dan kita tidak perlu sibukkan diri untuk memberikan apa-apa komen untuk kes ini.

Sekian.

Dr. Adli Khalim

29 April 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s