HFMD

Posted: August 19, 2016 in Perubatan

HARI ini (19 Ogos 2016) saya diberikan amanah untuk memberi taklimat tentang HFMD (Hand, Foot, and Mouth Disease – Penyakit Tangan, Kaki, dan Mulut) di Masjid Kg. Saujana (Setiu) kerana terdapat peningkatan mendadak kes HFMD di daerah Setiu. Selain saya, empat (4) orang staf yang lain turut diamanahkan untuk memberikan taklimat di 4 buah masjid yang terpilih di daerah Setiu.

 

Saya telah menyentuh tentang beberapa point, antaranya:

 

Point (1): HFMD dan penyakit kuku dan mulut (yang menyerang lembu) adalah dua penyakit yang berbeza. Saya pernah diajukan soalan; “Bagaimana penyakit lembu boleh kena pada manusia?”

 

Sebenarnya kedua-dua penyakit ini disebabkan oleh dua virus yang berbeza. Menurut laman web CDC (HFMD), penyakit yang menyerang manusia (HFMD) tidak akan menyerang haiwan, dan penyakit yang menyerang haiwan (penyakit kuku dan mulut) tidak akan menyerang manusia.

 

Point (2): HFMD disebabkan oleh virus. Oleh itu, pesakit tidak memerlukan rawatan antibiotik. Bahkan, HFMD bersifat self-limiting (pesakit akan sembuh walaupun tidak diberikan apa-apa ubat).

 

Point (3): Golongan yang berisiko adalah kanak-kanak, terutamanya yang berusia 5 tahun dan ke bawah. Terdapat juga kes yang melibatkan kanak-kanak yang lebih tua.

 

HFMD juga boleh menjangkiti golongan dewasa (walaupun individu tersebut tidak menunjukkan apa-apa simptom, tetapi individu tersebut tetap boleh menyebarkan virus kepada orang lain).

 

Point (4): Tanda-tanda jangkitan adalah:

  • Bintik-bintik merah (maculopapular rash) di kaki dan tangan, atau gelembung berisi air (vesicle).
  • Ulser di dalam mulut (di bibir, lidah, atau bahagian dalam pipi).
  • Demam.
  • Kurang selera makan.
  • Letih.

 

Untuk mendiagnosa seseorang individu terkena HFMD, perlu ada memenuhi definisi kes, iaitu:

Mana-mana kanak-kanak yang mempunyai:

(1) Bintik-bintik merah di kaki dan tangan,

(2) DAN ulser di dalam mulut,

(3) DAN/ATAU demam.

 

Point (5): Virus HFMD disebarkan melalui:

  • Kontak secara langsung, contohnya kanak-kanak yang berada di pusat asuhan, atau adik-beradik
  • Batuk dan bersin pesakit.
  • Najis pesakit.

 

Point (6): HFMD biasanya tidak berbahaya, namun terdapat beberapa kes terpencil yang dilaporkan mengalami komplikasi masalah jantung, saraf, bahkan boleh menyebabkan kematian (komplikasi seperti ini sangat jarang).

 

Point (7): Rawatan untuk HFMD hanyalah bersifat simptomatik (berdasarkan simptom); pesakit akan diberikan ubat sapu untuk bintik-bintik di tangan dan kaki, ubat untuk ulser (untuk menghilangkan rasa sakit), dan ubat demam sekiranya perlu.

 

Point (8): Tindakan pencegahan sangat penting untuk mengawal penyakit ini daripada merebak.

  • Elakkan daripada membawa anak-anak ke tempat awam, seperti pasar raya, taman permainan.
  • Selalu mencuci tangan dengan sabun sebelum dan selepas makan, selepas ke tandas, selepas menyalin lampin anak.
  • Tutup mulut ketika batuk atau bersin.
  • Sekiranya anak-anak anda mempunyai simptom-simptom yang disebutkan di atas, segera bawa anak anda ke klinik berdekatan untuk pengesahan. Jangan bawa anak-anak anda ke pusat asuhan atau tempat-tempat awam sehingga sembuh.

 

Oleh:

Dr. Mohd Adli bin Abd Khalim

Pegawai Perubatan & Kesihatan UD 44

Unit Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), Setiu

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s