TREND baru di kalangan orang yang suka menyebarkan petua REKAAN yang kelihatan ISLAMIK adalah:
Perbuatan + Ayat Al-Qur’an atau Selawat atau Zikir (dengan bilangan tertentu) + Niat
“INSYA’ALLAH” hajat akan dimakbulkan oleh Allah ﷻ
HEBAT! Hanya berbekalkan kalimah “Insya’allah”, semua perkara boleh diamalkan.
Contohnnya banyak, antaranya:
- Baca surah Thaha kepada anak yang sedang tidur, INSYA’ALLAH hatinya menjadi lembut, degilnya akan berkurang.
- Baca surah Yusuf ketika mengandung, INSYA’ALLAH anak akan jadi handsome macam Nabi Yusuf.
- Baca ayat 31 surah Ali `Imran, INSYA’ALLAH hati suami hanya akan terpikat kepada kita (para isteri).
- Baca surah Al-Masad kalau tangan terkena api, INSYA’ALLAH sakit akan kurang.
- Baca ayat 9 surah Yasin, INSYA’ALLAH rumah kita akan “dipagar” daripada pencuri.
Banyak lagi petua yang tersebar di kalangan umat Melayu, yang menggunakan ayat Al-Qur’an, zikir atau selawat, namun TIADA SANDARAN daripada nas-nas yang shahih, cukup sekadar ucapan INSYA’ALLAH sebagai penghalalnya.
NASIHAT saya:
- Berusahalah untuk memahami isi kandungan Al-Qur’an.
- Orang yang memahami ayat 31 surah Ali `Imran pasti tahu bahawa ayat tersebut bukannya bercerita tentang kecintaan antara suami isteri atau pasangan kekasih.
- Orang yang memahami surah Al-Masad pasti tahu bahawa surah itu menceritakan tentang azab yang akan ditimpakan kepada Abu Lahab dan isterinya. Bagaimana mungkin kisah yang menceritakan tentang azab boleh digunakan sebagai PETUA untuk mengurangkan sakit?
- Orang yang memahami surah Yusuf pasti tahu bahawa fokus surah tersebut bukanlah tentang ketampanan Nabi Yusuf `alaihi as-salam. Surah tersebut menceritakan tentang bagaimana Nabi Yusuf dikhianati oleh adik-beradiknya sendiri, bagaimana baginda terpisah jauh daripada bapanya (Nabi Yaqub `alaihi as-salam), bagaimana baginda difitnah oleh isteri Al-`Aziz, dan bagaimana baginda diperjarakan. Inilah kisah perjalanan Nabi Yusuf yang sepatutnya dijadikan PETUNJUK oleh umat Islam, namun hanya bab KETAMPANAN Yusuf sahaja yang menarik minat umat Melayu.
- Sekiranya anda mempunyai hajat tertentu, ber-DOA-lah kepada Allah ﷻ dengan bahasa apa sekalipun. Namun, sekiranya DOA tersebut ada asasnya daripada mana-mana ayat Al-Qur’an atau hadits-hadits shahih (atau hadits dha`if yang ringan), sudah pasti menggunakan DOA daripada Al-Qur’an atau DOA daripada hadits adalah lebih utama.
- Tidak salah mengambil berkat daripada ayat-ayat Al-Qur’an, namun janganlah kita menetapkan SURAH tertentu dengan BILANGAN tertentu untuk HAJAT tertentu. Ambillah berkat daripada Al-Qur’an secara umum.
Sekian.