Entry ni sepatutnya dipost minggu lepas:
Hari ini, 8 Disember 2016, saya diminta untuk menyampaikan satu tazkirah dalam perhimpunan bulanan Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, di hadapan staf-staf daripada semua unit. Saya dimaklumkan tentang tugasan ini 2 hari yang lepas. Dalam kepala saya, muncul beberapa topik yang boleh saya sampaikan dalam sesi tazkirah tersebut. Agak pening untuk memilih topik yang menarik.
Akhirnya saya membuat keputusan untuk memilih ayat 2 surah Al-Baqarah sebagai point utama saya. Saya mulakan tazkirah dengan membaca ayat tersebut, kemudian saya bacakan pula terjemahannya.
“Kitab ini (Al-Qur’an) tiada keraguan padanya, PETUNJUK BAGI ORANG YANG BERTAQWA.”
Kemudian, saya lontar beberapa persoalan:
- Umat Islam di Malaysia kebanyakannya telah diperkenalkan kepada Al-Qur’an dalam usia yang muda, kenapa sebahagian daripada kita seolah-olah langsung tidak mendapat petunjuk daripadanya?
- Kita diajarkan membaca Al-Qur’an sejak kecil, tetapi kenapa apabila meningkat dewasa, iman kita seolah-olah tidak bertambah? Bahkan, sebahagian daripada kita semakin teruk perangainya.
- Kenapa orang yang dibesarkan dalam agama Kristian, atau Buddha, atau Hindu, apabila mereka memeluk Islam, mereka lebih mantap pegangan agamanya berbanding kita, yang dibesarkan dalam agama Islam? Sekiranya dibandingkan, sudah pasti tempoh kita berinteraksi dengan Al-Qur’an lebih lama berbanding mereka.
- Adakah Al-Qur’an yang kita gunakan berbeza dengan Al-Qur’an yang mereka gunakan, sehingga mereka menjadi lebih mantap imannya?
“Orang kita tidak berusaha untuk memahami dan mengkaji isi kandungan Al-Qur’an,” saya memberikan pandangan peribadi. Sebahagian hadirin mengangguk-ngangguk.
Kemudian saya bawakan DUA contoh mudah.
Contoh PERTAMA, saya katakan sehingga ke hari ini, masih ramai umat Islam yang men-foward-kan mesej yang mengatakan SUAMI akan menanggung dosa ISTERI, ADIK-BERADIK PEREMPUAN, dan ANAK PEREMPUANnya.
Sedangkan dalam Surah At-Tahrim, Allah menyebutkan bahawa ISTERI Nabi Nuh dan ISTERI Nabi Luth kafir kepada Allah. Adakah ini bererti Nabi Nuh dan Nabi Luth turut menanggung dosa kekafiran tersebut? Adakah ini bererti kedua-dua Nabi Allah ini akan dimasukkan ke neraka kerana menanggung dosa isteri mereka masing-masing?
Bahkan dalam Al-Qur’an terdapat 1 ayat yang Allah ulang sebanyak 5 kali:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ
“Seseorang tidak akan memikul dosa orang lain.”
Walau bagaimanapun, dalam sesi tazkirah tadi, saya tidak menyebut secara detail dalam ayat manakah Allah menyebutkan ayat tersebut. Berikut adalah kelima-lima tempat tersebut:
- Surah Al-An`am (6), ayat 164
- Surah Al-Isra’ (17), ayat 15
- Surah Fathir (35), ayat 18
- Surah Az-Zumar (39), ayat 7
- Surah An-Najm (53), ayat 38
Ayat Al-Qur’an ini jelas menyebutkan bahawa setiap orang hanya menanggung dosa masing-masing, namun masih ada umat Islam di Malaysia yang percaya seseorang LELAKI akan menanggung dosa ISTERI, ADIK-BERADIK PEREMPUAN, dan ANAK PEREMPUANnya.
Contoh KEDUA, saya masih lagi menerima mesej yang di-forward di media-media sosial: “Janganlah kamu ucapkan perkataan SALAM, kerana SALAM bererti CELAKA. Tapi ucapkanlah AS-SALAM, kerana AS-SALAM bererti SEJAHTERA.”
Saya katakan, umat Islam di Malaysia, sehingga ke hari ini masih lagi mengamalkan bacaan Yasin setiap malam Juma`at, namun sedikit pun mereka tidak cuba memahami isi kandungan surah tersebut.
Saya tanyakan kepada para hadirin, pernahkah mereka mendengar ayat:
سَلَامٌ قَوْلاً مِن رَّبٍّ رَّحِيمٍ
Semuanya mengangguk. “Tahukah tuan puan, apakah maksud ayat tu?” Tiada jawapan yang diberikan, semua mata tertumpu kepada saya.
“Allah berfirman kepada penghuni syurga: {SALAM, demikianlah ucapan Rabb yang Maha Penyayang}. Cuba tuan puan bayangkan, kalau kita terjemah perkataan SALAM seperti yang disebutkan dalam mesej tersebut: {CELAKALAH, demikianlah ucapan Rabb yang MAHA PENYAYANG.}”
Bayangkan, Allah yang disifatkan dengan sifat Ar-Rahim dalam ayat tersebut, menyeru penghuni syurga: “CELAKALAH wahai penghuni syurga.” Ini sangat janggal bunyinya, bahkan ucapan ini sangat berlawanan dengan sifat AR-RAHIM.
Namun, sekiranya kita menterjemah perkataan SALAM kepada SEJAHTERA, bunyinya sangat logik dan sangat bersesuaian dengan sifat AR-RAHIM. Ini menunjukkan bahawa perkataan SALAM dan AS-SALAM membawa maksud yang sama.
Setelah itu, saya bawakan pula satu analogi:
Seorang jejaka yang mendakwa mencintai seorang gadis, setiap hari dia menyebutkan perasaannya terhadap gadis tersebut di hadapan rakan-rakan serumahnya.
Pada suatu hari, dia mendapat sepucuk surat daripada gadis tersebut. Tak dapat dibayangkan betapa gembira dan terujanya jejaka tersebut, sehinggakan dia berbangga-bangga sambil menunjuk-nunjuk surat tersebut kepada semua rakan serumahnya.
Setelah semua rakannya mengetahui tentang surat tersebut, jejaka tadi telah meletakkan surat tersebut di atas mejanya tanpa membuka dan membaca isi kandungannya. Setelah beberapa bulan, surat tersebut masih berada di atas mejanya.
Suatu hari, ketika rakan sebiliknya sedang mengemas bilik, dia ternampak surat tersebut dan mengambilnya untuk dibuang, namun jejaka tersebut memarahinya.
Namun, apabila rakannya bertanya untuk apa disimpan surat tersebut, jejaka tersebut semakin marah. Apabila ditanya apakah isi surat tersebut memandangkan surat tersebut belum dibuka selepas berbulan-bulan, jejaka itu tidak dapat menjawabnya, namun dia hanya memarahi rakan sebiliknya itu.
Begitulah sebahagian umat Islam hari ini; mushaf Al-Qur’an hanya disimpan di rak atau di dalam almari. Kita tidak pernah tahu pun apa isi kandungannya. Tetapi apabila ada orang kafir yang membakar Al-Qur’an atau menghinanya, kita marah dan protes.
Bukanlah bererti kita patut membiarkan mereka membakar atau menghina Al-Qur’an, tetapi janganlah kita seolah-olah hanya menyanjung dan menghormati mushaf, namun kita tidak pernah peduli pun tentang isi kandungan Al-Qur’an. Ingatlah, di zaman Rasulullah ﷺ, mushaf seperti yang ada di tangan kita hari ini belum wujud, namun baginda dan para sahabatnya sangat menyanjung isi kandungan Al-Qur’an, bahkan mereka menjadikan isi kandungannya sebahagian daripada hidup mereka.
Pesanan saya ketika mengakhiri tazkirah saya:
Seramai-ramai umat Islam di dunia hari ini, namun sebahagian sahaja antara mereka yang memiliki Al-Qur’an.
Seramai-ramai umat Islam yang memiliki Al-Qur’an, namun sebahagian sahaja antara mereka yang membacanya.
Seramai-ramai umat Islam yang membaca Al-Qur’an, namun sebahagian sahaja antara mereka yang tahu terjemahannya.
Seramai-ramai umat Islam yang tahu terjemahan Al-Qur’an, namum sebahagian sahaja antara mereka yang menghayati maksudnya.
Seramai-ramai umat Islam yang menghayati maksud Al-Qur’an, namun sebahagian sahaja antara mereka yang mempraktikkannya.
Muhasabah diri kita sendiri, dalam golongan manakah kita berada. Sekiranya kita berada dalam golongan yang mempraktikkannya, alhamdulillah, mungkin kita termasuk dalam golongan yang bertaqwa, yang mendapat petunjuk daripada Al-Qur’an, sebagaimana yang Allah sebutkan dalam surah Al-Baqarah ayat 2.
Namun, sekiranya kita tidak berada dalam golongan tersebut, mungkin inilah masa yang sesuai untuk memulakan langkah awal kita. Semoga suatu hari nanti, sebelum ruh meninggalkan jasad kita, kita akan termasuk dalam golongan yang mempraktikkan Al-Qur’an dalam kehidupan seharian kita, insya’allah.
Dr. Mohd Adli bin Abd Khalim
Pegawai Perubatan & Kesihatan
Klinik Kesihatan Permaisuri, Setiu