Hari ini, 30 Disember 2016, sekali lagi kami singgah ke Kopitiam Kita untuk sarapan pagi. Antara menu yang kami pesan: Roti titab. SEDAP. Tapi MANIS.
Satu lagi isu dengan roti titab adalah cara makan. Tidak dapat dinafikan telah menjadi IJMA` seluruh umat bahawa roti titab ditelan melalui mulut, namun terdapat khilaf di kalangan umat dalam bab tangan mana yang menyuapnya ke dalam mulut; tangan KANAN atau tangan KIRI.
Alhamdulillah, saya dan isteri memilih pendapat yang mengatakan hendaklah menyuapnya dengan tangan KANAN. Pendapat ini juga dipilih oleh kedua-dua mertua saya, serta adik ipar saya (sebagaimana yang saya perhatikan tadi). Namun, di luar sana masih ada segelintir umat Islam yang memilih pendapat menggunakan tangan KIRI untuk menyuap. Mungkin kerana itulah etika ketika makan; pisau di tangan kanan dan garfu di tangan kiri.
Mengapa saya memilih tangan KANAN untuk menyuap? Sebab ada beberapa hadits dalam bab ini.
Pertama, hadits yang diriwayatkan oleh `Umar bin Abi Salamah radhiyallahu `anhuma (anak tiri Rasulullah ﷺ), beliau berkata: Rasulullah ﷺ pernah menegurku:
يَا غُلَامُ، سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ
“Wahai anak kecil! Sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah apa yang dekat denganmu.” – HR Al-Bukhari (no. 5376).
Kedua, hadits yang diriwayatkan oleh Ibn `Umar radhiyallahu `anhuma, katanya: Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ
“Apabila salah seorang daripada kalian makan, hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Apabila dia minum, hendaklah dia minum dengan tangan kanannya. Sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” – HR Muslim (no. 2020).
Ketiga, hadits yang diriwayatkan oleh Jabir bin `Abdillah radhiyallahu `anhu, katanya: Daripada Rasulullah ﷺ, sabdanya:
لَا تَأْكُلُوا بِالشِّمَالِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِالشِّمَالِ
“Janganlah kalian makan dengan tangan kiri. Sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya.” – HR Muslim (no. 2019).
Keempat, hadits yang diriwayatkan oleh Salamah bin Al-Akwa` radhiyallahu `anhu:
أَنَّ رَجُلًا أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ بِشِمَالِهِ، فَقَالَ: “كُلْ بِيَمِينِكَ”، قَالَ: “لَا أَسْتَطِيعُ”، قَالَ: “لَا اسْتَطَعْتَ” مَا مَنَعَهُ إِلَّا الْكِبْرُ، قَالَ: فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ
Seorang lelaki pernah makan di samping Rasulullah ﷺ dengan tangan kirinya, lalu baginda menegurnya: “Makanlah dengan tangan kananmu.” Lelaki tersebut menjawab: “Aku tidak mampu.” Baginda berdoa: “Semoga engkau tidak mampu makan dengan tangan kananmu.” Tiada yang menghalangnya makan dengan tangan kanannya melainkan kerana kesombongan. Sambungnya lagi: Selepas itu, lelaki tersebut tidak mampu lagi mengangkat tangan kanannya ke mulut. – HR Muslim (no. 2021).
Berdasarkan hadits-hadits di atas, adakah ini bererti menyuap dengan tangan KIRI hukumnya HARAM?
YA, menurut sebahagian `ulama’.
TIDAK, menurut sebahagian yang lain.
Inilah yang disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar Al-`Asqalani ketika mensyarahkan hadits `Umar bin Abi Salamah di atas (HR Al-Bukhari, no. 5376). Menurutnya, kebanyakan `ulama’ Asy-Syafi`iyyah (antaranya Al-Ghazali, An-Nawawi) berpendapat bahawa hukum makan dengan tangan kanan hanyalah DIANJURKAN, namun Asy-Syafi`i sendiri berpendapat hukumnya adalah WAJIB (sebagaimana yang disebutkan dalam kitabnya Ar-Risalah dan Al-Umm).
Oleh itu, silakan pilih pendapat mana yang anda sukai.
Namun, cuba anda fikirkan, kenapa Rasulullah ﷺ mengajarkan perkara ini kepada seorang kanak-kanak yang masih kecil? Kenapa pula Rasulullah ﷺ sanggup mendoakan keburukan kepada lelaki yang diceritakan dalam hadits Salamah bin Al-Akwa`?
Sekiranya tangan kanan kita memang tidak mampu untuk menyuap (cacat fizikal, kudung, patah, sakit, tidak dapat digerakkan), logiklah kalau kita gunakan tangan kiri untuk menyuap. Tapi, kalau tiada keuzuran sama sekali untuk menggunakan tangan kanan, kenapa kita memilih untuk menggunakan tangan kiri?
Bayangkan sekiranya Rasulullah ﷺ masih hidup di kalangan kita hari ini, agak-agaknya baginda akan doakan untuk kita macam baginda doakan lelaki tersebut tak?
Semoga bermanfaat.
Dr. Mohd Adli bin Abd Khalim
Pegawai Perubatan & Kesihatan
Klinik Kesihatan Permaisuri, Setiu