Tajuk: Dosa Halimunan di Media Sosial
Penceramah: Ustaz Abdullah Bukhari
Tarikh: 10 April 2016
Video asal: https://www.youtube.com/watch?v=SCab4-uYGlI
Tempoh video: 1 jam 2 minit 53 saat
.
DEFINISI DOSA
.
عَنِ النَّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانَ الأَنْصَارِيِّ، قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ عَنِ الْبِرِّ وَالإِثْمِ ، قَالَ: الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ، وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ
Daripada An-Nawwas bin Sam`an Al-Anshari, sabda Rasulullah ﷺ tentang kebaikan dan dosa, katanya: “Kebaikan itu adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah apa yang menyesakkan dadamu, dan engkau tidak suka diketahui oleh manusia.”
– HR Muslim (2553), At-Tirmidzi (2389)
.
Dosa purba senang dilihat; membunuh, mencuri, berzina, memberi dan mengambil rasuah.
.
Dosa moden banyak yang berbentuk halimunan; perlu ada ilmu untuk mengenali dosa-dosa tersebut. Kebanyakan dosa yang terjadi di media sosial dalam bentuk piramid atau MLM.
.
TANGAN BERCAKAP, KAKI BERSAKSI?
.
Firman Allah ﷻ:
ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍ لِلْعَبِيدِ
Demikian itu disebabkan oleh perbuatan TANGAN kalian sendiri. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.
– Surah A-l-Anfal, ayat 51.
.
Firman Allah ﷻ:
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Pada hari ini, Kami kunci mulut-mulut mereka, dan TANGAN-TANGAN mereka akan berkata-kata, sedangkan KAKI-KAKI mereka akan memberikan penyaksian terhadap apa yang mereka lakukan.
– Surah Yasin, ayat 65.
.
Kenapa tangan bercakap, kaki bersaksi? Sebab kebanyakan dosa yang kita buat di dunia dilakukan oleh tangan, kaki hanya bawa kita ke tempat-tempat tersebut. Dosa moden juga banyak dilakukan dengan tangan; contoh: ‘share‘ atau ‘forward‘ mesej dan post di media sosial.
.
DOSA-DOSA DI MEDIA SOSIAL
.
Dosa pertama: Sebar aib atas alasan pengajaran.
.
Contoh, gambar sepasang suami isteri yang baru diijabkabul menunaikan solat sunat di masjid. Gambar ini disebarkan berserta dengan kritikan terhadap kedua-dua pengantin. Antara kritikannya adalah kedudukan ma’mum wanita sepatutnya di belakang imam, bukannya di sebelah kanan imam sebagaimana yang dilakukan oleh pasangan tersebut, pengantin wanita yang berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh.
.
Sekiranya anak perempuan atau adik perempuan kita melakukan perkara yang sama, kemudian ada pihak yang mengambil gambarnya dan menyebarkannya, adakah kita suka dengan perkara tersebut? Adakah kita sendiri sanggup menyebarkannya?
.
Ini bukan bererti kita tak boleh tegur kesilapan orang lain, tapi tegur secara umum tanpa perlu menyertakan gambar yang mengaibkan tersebut.
.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ: مَنْ سَتَرَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ سَتَرَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ كَشَفَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ كَشَفَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ حَتَّى يَفْضَحَهُ بِهَا فِي بَيْتِهِ
Daripada Ibn `Abbas, Nabi ﷺ bersabda: “Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang muslim, Allah akan menutup aibnya di Hari Qiyamah. Sesiapa yang mendedahkan aib saudaranya yang muslim, Allah akan mendedahkan aibnya sehingga dia terhina di rumah sendiri.”
– HR Ibn Majah (2546). Riwayat ini dha`if, namun lafaz pertama (sesiapa yang menutup aib saudaranya yang muslim…) turut diriwayatkan oleh Al-Bukhari (2442) dan Muslim (2699).عَنْ ابْنِ عُمَرَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يَقُولُ: إِنَّ اللَّهَ يُدْنِي الْمُؤْمِنَ فَيَضَعُ عَلَيْهِ كَنَفَهُ، وَيَسْتُرُهُ فَيَقُولُ: أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا؟ أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا؟ فَيَقُولُ: نَعَمْ أَىْ رَبِّ، حَتَّى إِذَا قَرَّرَهُ بِذُنُوبِهِ وَرَأَى فِي نَفْسِهِ أَنَّهُ هَلَكَ، قَالَ: سَتَرْتُهَا عَلَيْكَ فِي الدُّنْيَا، وَأَنَا أَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ، فَيُعْطَى كِتَابَ حَسَنَاتِهِ
Daripada Ibn `Umar: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Allah akan mendekatkan seorang mu’min kepada-Nya, lalu diletakkan di atasnya tirai dan bertanya kepada hamba tersebut: “Adakah engkau masih ingat dosa yang ini? Adakah engkau masih ingat dosa yang itu?” Jawab hamba tersebut: “Ya, wahai Rabb.” Lalu Allah mengulang pertanyaan dengan dosa-dosa yang lain, sehingga hamba tersebut merasakan bahawa dirinya pasti akan binasa, Allah berkata: “Aku telah tutup untukmu dosa-dosa ini di dunia (daripada diketahui oleh orang lain), dan Aku akan ampunkan bagimu pada hari ini.” Lalu, diberikan kepadanya kitab amalannya yang hanya mengandungi kebaikan.
– HR Al-Bukhari (2441) dan Muslim (2768).
.
Dosa kedua: Berbangga dengan dosa yang telah dilakukan di media sosial.
.
Dosa ketiga: Meletakkan gambar mana-mana individu dengan ‘caption’ yang direka-reka.
.
Contoh, gambar seorang wanita dengan ‘caption’: “Abang, balik awal, malam ni malam Jumaat.” Mungkin ada yang menganggap perbuatan ni hanya sekadar untuk suka-suka atau untuk hilangkan stress. Tapi sanggupkah kita edit gambar anak perempuan kita atau isteri kita, kemudian letak ‘caption’ sebegini, dan sebarkan di media sosial dengan tujuan suka-suka atau menghilangkan stress?
.
Contoh lain, gambar seorang mak cik yang sedang berdoa di Perhimpunan Agung UMNO. Apabila harga minyak atau barangan naik, gambar mak cik ini akan diubah dengan ‘caption’ yang sesuai pada masa tersebut. “Ya Allah! Syukur, harga gula sudah naik.”
.
Dosa keempat: Mengadakan sesi mengumpat dan mengejek di media sosial.
.
Dosa kelima: Batu api atau cybertroopers.
.
Dosa keenam: Menyebarkan hadis palsu.
.
Dosa ini merupakan salah satu daripada dosa besar. Bukti yang menunjukkan bahawa dosa sebegini adalah dosa besar adalah perbuatan ini diancam dengan ancaman berat daripada Nabi ﷺ.
عَنِ الْمُغِيرَةِ، قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ ﷺ يَقُولُ: مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Daripada Al-Mughirah, katanya: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, tetaplah tempatnya di neraka.”
– HR Al-Bukhari (1291). Hadis ini juga diriwayatkan daripada sahabat Nabi yang lain selain Al-Mughirah bin Syu`bah sehingga dikatakan riwayat ini adalah mutawatir; antaranya Abu Bakr As-Siddiq, Anas bin Malik, Ibn `Abbas, Al-Buraidah Al-Hasib Al-Aslami, `Ali bin Abi Talib, Ibn Mas`us, `Uqbah bin `Amir, Abu Hurairah, `Abdullah bin `Amr, Jabir bin `Abdillah, `Abdullah bin Az-Zubair, Abu Sa`id Al-Khudri.
.
PERINGATAN! Mana-mana ungkapan yang tersebar di media sosial, yang disandarkan kepada Nabi ﷺ, hendaklah kita anggap sebagai hadis palsu yang diancam dengan neraka sekiranya kita tetap sebarkan, KECUALI dinyatakan sumber rujukan (tambahan penulis: maksudnya adalah daripada kitab hadis BERSANAD yang manakah hadis ini dinukilkan).
.
Walau bagaimanapun, menjadi trend masa kini, orang mula berdusta atas nama IMAM AL-BUKHARI dan IMAM MUSLIM. Banyak ‘hadis’ yang dikatakan riwayat AL-BUKHARI dan MUSLIM tetapi sebenarnya hanyalah dusta semata-mata.
.
Ada juga orang yang sebarkan ‘firman Allah’ yang palsu. Contohnya, pada hari wanita sedunia, telah tersebar dialog antara Allah dan malaikat mengenai rahsia penciptaan wanita. “Ya Allah, kenapa Engkau mengambil masa yang lama untuk mencipta seorang wanita?”
.
Apabila orang menyandarkan ungkapan sebegini kepada Allah, sepatutnya hanya ada dua kemungkinan; sama ada ini merupakan ayat Al-Qur’an atau ini merupakan hadis qudsi. Kalau ini ayat Al-Qur’an, dari surah manakah dialog ini dirakam dalam Al-Qur’an? Kalau dikatakan hadis qudsi, dalam kitab hadis manakah diriwayatkan hadis ini?
.
Firman Allah ﷻ:
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَوْ قَالَ أُوحِيَ إِلَيَّ وَلَمْ يُوحَ إِلَيْهِ شَيْءٌ
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang berkata: “Telah diwahyukan kepada aku”, padahal tidak ada diwahyukan sesuatu pun kepadanya.
– Surah Al-An`am, ayat 93.
.
Ayat ini merupakan ayat yang ditujukan kepada Musailamah Al-Kazab yang mendakwa mendapat wahyu daripada Allah.
.
Dosa ketujuh: Pergaduhan dan putus silaturrahim di media sosial.
.
PANDUAN MUDAH UNTUK MENYELAMATKAN DIRI DI MEDIA SOSIAL
.
Panduan pertama: Mendalami ilmu agama.
.
Contohnya, dalam bab hadis palsu, kita harus tahu bahawa ancaman menyebarkan hadis palsu sangat berat, walaupun tujuannya baik. Dalam agama, matlamat tidak menghalalkan cara.
.
Panduan kedua: Semak dahulu berita sebelum kita sebarkan.
.
Firman Allah ﷻ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kalian orang fasik membawa suatu berita, sedilikilah dengan teliti agar kalian tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kalian menyesal atas perbuatan kalian.
– Surah Al-Hujurat, ayat 6.
.
Panduan ketiga: Berbaik sangka.
.
Firman Allah ﷻ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
Wahai orang-orang yang berima! Jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian prasangka adalah dosa.
– Surah Al-Hujurat, ayat 12.
.
Panduan keempat: Berkata yang baik atau diam.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Alah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata-kata yang baik, atau dia diam.
– HR Al-Bukhari (6018), Muslim (47).
.
Panduan kelima: Munculkan rasa jijik terhadap dosa media sosial.
.
Panduan keenam: Bertaubat, jangan diulang kembali perbuatan tersebut.
.
PENUTUP
.
Hindarilah dosa-dosa murah di media sosial.
.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda: “Cukuplah seseorang dikatakan berdusta, jika ia menceritakan setiap yang dia dengar.”
– HR Muslim dalam Muqaddimah (6). Namun, Imam Muslim telah mendahulukan riwayat mursal daripada Hafs bin `Asim.
.
Sekian.