As-Sajdah dan Al-Insan Bukan Satu Kewajipan

Posted: December 9, 2017 in Fiqh Solat, Manhaj Umum

TIMBUL satu persoalan daripada seorang guru Maahad Tahfiz. Beliau ingin menggalakkan pelajarnya untuk membaca surah As-Sajdah dan Al-Insan ketika mengimami solat Subuh di pagi Juma`at untuk melazimi sunnah Rasul ﷺ, dan sesekali beliau akan meminta pelajarnya untuk memilih surah lain supaya amalan tersebut tidak dianggap sebagai suatu kewajipan. Sehinggalah baru-baru ini, seorang ahli jama`ah menegur dan meminta agar tidak lagi dibaca surah As-Sajdah dan Al-Insan dalam solat Subuh di pagi Juma`at kerana sebahagian ahli jama`ah terpaksa berkejar untuk keluar bekerja. Beliau bertanya, adakah salah sekiranya beliau menolak permintaan ahli jama`ah tersebut dan mencadangkannya untuk solat Subuh di pagi Juma`at di surau lain, atau solat Subuh di rumah sahaja pada hari Juma`at? Bagi beliau, tidak patut sunnah sebegini ditinggalkan hanya untuk memuaskan hati seorang dua yang boleh memilih alternatif lain jika tidak mahu mengejar sunnah bersama mereka.

.

Jawapan saya:

Untuk menjadi imam solat, seseorang perlu faqih dalam memahami sunnah Rasul ﷺ. Dalam menjadi imam solat, sunnah Rasul ﷺ bukan hanya tertakluk kepada bacaan dalam solat, tetapi juga memahami keadaan para ma’mum.

.

Daripada Abu Mas`ud Al-Anshari radhiyallahu `anhu: Rasulullah ﷺ bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ، فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ فِيهِمُ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ

Wahai manusia! Kalian membuatkan orang lari. Sesiapa yang menjadi imam solat, hendaklah dia memendekkan solat. Sesungguhnya ada di kalangan ma’mum yang sakit, lemah, dan mempunyai keperluan. – HR Al-Bukhari no. 90

.

Mu`adz bin Jabal pernah solat `Isya’ bersama Rasulullah ﷺ, kemudian beliau pulang kepada kaumnya, dan menjadi imam mereka untuk solat `Isya’. Namun, beliau telah memilih satu yang panjang, iaitu surah Al-Baqarah, sehingga salah seorang daripada ma’mumnya mufaraqah dan mengadu kepada Rasulullah ﷺ tentang masalah tersebut.

.

Daripada Jabir radhiyallahu `anhu: Rasulullah ﷺ bersabda:

أَتُرِيدُ أَنْ تَكُونَ فَتَّانًا يَا مُعَاذُ! إِذَا أَمَمْتَ النَّاسَ فَاقْرَأْ بِالشَّمْسِ وَضُحَاهَا، وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى، وَاقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ، وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَى

Adakah engkau mahu menimbulkan fitnah wahai Mu`adz! Apabila engkau mengimami orang ramai, hendaklah engkau baca surah Asy-Syams, surah Al-A`la, surah Al-`Alaq, dan surah Al-Lail. – HR Muslim no. 465

.

Adapun tentang persoalan patutkah kita tinggalkan sunnah membaca As-Sajdah dan Al-Insan hanya untuk memuaskan hati seorang dua, bagi saya imam solat perlu pandai melihat keadaan di sekitarnya. Memang tidak dapat kita nafikan bahawa kedua-dua surah tersebut adalah sunnah dibaca dalam solat Subuh pada hari Juma`at, tapi sekiranya ada ma’mum yang keberatan kerana terpaksa tergesa-gesa untuk ke tempat kerja, mungkin imam boleh memilih untuk tidak melazimi bacaaan tersebut pada setiap hari Juma`at. Rasulullah ﷺ sendiri, apabila mendengar bayi menangis, baginda akan memendekkan solat kerana bimbang ibunya yang seadng solat berasa susah hati dan tidak tenang.

.

Daripada Abu Qatadah Al-Anshari radhiyallahu `anhu: Sabda Rasulullah ﷺ:

إِنِّي لأَقُومُ إِلَى الصَّلاَةِ وَأَنَا أُرِيدُ أَنْ أُطَوِّلَ فِيهَا، فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ، فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلاَتِي كَرَاهِيَةَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمِّهِ

Apabila aku mengimami solat dan aku ingin memanjangkannya, lalu aku mendengar tangisan seorang kanak-kanak, aku akan memendekkan solatku kerana aku tidak suka ibunya berasa berat. – HR Al-Bukhari no. 868

.

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, boleh saya simpulkan bahawa untuk menjadi seorang imam solat, seseorang individu memang perlu faqih dan memahami keadaan ma’mumnya. Bukanlah bererti kita tinggalkan langsung bacaan surah As-Sajdah dan Al-Insan, tetapi kita hendaklah pandai memilih masa dan pandai menjelaskan kepada para ma’mum supaya mereka juga faham tentang sunnah tersebut.

.

Saya akhiri entry kali ini dengan nukilan daripada laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan tentang permasalahan ini:

Berdasarkan kata-kata Ibn Hajar al-Asqalani di atas, jelaslah kepada kita bahawa Nabi SAW seringkali membaca dua surah ini di dalam solat Subuhnya pada hari Jumaat. Akan tetapi, Nabi SAW tidak melakukannya pada setiap minggu. Di samping itu juga, kita juga boleh membaca surah-surah yang lain dan ini melihat kepada fiqh imam itu sendiri kerana imam yang akan membuat pilihan dengan meraikan orang-orang yang solat dibelakangnya. Ini kerana, di dalam sebuah hadith, Nabi SAW telah memberi panduan bagi setiap orang yang ingin solat bersama manusia. Antaranya adalah:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِلنَّاسِ، فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ مِنْهُمُ الضَّعِيفَ وَالسَّقِيمَ وَالكَبِيرَ، وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِنَفْسِهِ فَلْيُطَوِّلْ مَا شَاءَ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu solat bersama manusia maka ringankanlah (pendekkan bacaan). Ini kerana, ada di antara mereka orang yang lemah, sakit dan tua. Dan jika salah seorang daripada kamu solat secara bersendirian maka panjangkanlah mengikut kemahuannya.” [Riwayat al-Bukhari (703)]”

[Tamat nukilan]

.

Untuk bacaan lengkap, sila layari: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-al-hadith/1795-irsyad-al-hadith-siri-ke-215-membaca-surah-al-sajadah-dan-al-insan-pada-pagi-jumaat

.

Wallahu a`lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s