Anak kedua tanpa suami yang sah

Posted: March 13, 2018 in Realiti Umat

ALHAMDULILLAH, baru ada kesempatan untuk menulis. Sekadar untuk dijadikan sebagai tauladan, ingin saya ceritakan satu kisah yang berlaku di klinik tempat saya bekerja pada hari Ahad yang lalu (11.03.2018).

 

Saya dapat satu kes untuk periksa seorang bayi yang berusia dua bulan (sepatutnya pemeriksaan dilakukan ketika bayi berumur 1 bulan). Seperti biasa, saya bertanya kepada si ibu tentang perkembangan si bayi, tentang penyusuannya, masalah kencing atau berak, demam atau selsema dan sebagaimana. Kemudian, saya tanya lagi tentang masalah kuning yang dihadapinya sewaktu bayi dilahirkan; adakah berpanjangan sehingga dua minggu atau lebih? Namun si ibu menjawab tidak tahu.

 

Jawapannya sangat menghairankan. Saya terus membelek buku kesihatan bayi, tiada satu pun catatan tentang pemeriksaan serum bilirubin. Rekod lawatan jururawat ke rumah juga tiada sama sekali. Saya bertanya kepada si ibu; adakah tiada jururawat yang melakukan lawatan ke rumah dua bulan yang lalu? Tidak, jawab si ibu. Saya semakin pelik.

 

Biasanya jururawat akan ke rumah untuk periksa keadaan ibu dan bayi; hari pertama, kedua, dan seterusnya. Jawab si ibu: “Saya tak lapor kelahiran ke klinik.” Jawapannya menjawab persoalan kenapa jururawat tidak melawat rumah, tapi timbul pula satu soalan baru: Kenapa tak lapor kelahiran?

 

Saya belek pula buku kandungan ibu. Akhirnya, saya mendapat sedikit gambaran tentang situasi yang sedang saya hadapi. Pada muka hadapan buku kandungan, hanya tertulis nama si ibu, sedangkan nama bapa dikosongkan. Dituliskan juga bahawa ini merupakan kandungan kedua si ibu (G2P1). Saya belek ke muka surat berikutnya; saya sangat terkejut.

 

Tarikh perkahwinan: Unmarried (Tidak berkahwin).

 

Saya bertanya lagi kepada si ibu dalam keadaan berbisik: Dah kahwin ke sekarang? Dia menggelengkan kepala.

 

Pertanyaan berikutnya: Bila plan untuk berkahwin? Dia menggelengkan kepala sekali lagi.

 

Pertanyaan berikutnya: “Anak sulung siapa yang jaga? Jaga sendiri atau orang lain jadikan anak angkat (memandangkan si ibu tidak pernah berkahwin secara formal)?” Si ibu menjawab dia sendiri yang menjaga anak sulungnya.

 

Pertanyaan berikutnya: “Sekarang tinggal dengan siapa?” Kata si ibu: “Abang kandung saya.”

 

Pertanyaan berikutnya: “Anak sulung dengan lelaki yang sama ke?” Dia menganggukkan kepalanya.

 

Saya berpura-pura membelek buku kandungan si ibu, dengan harapan pesakit yang sedang diberikan konsultasi oleh rakan saya selesai dan keluar dari bilik konsultasi kami (saya berkongsi bilik konsultasi dengan seorang doktor wanita).

 

Selepas pesakit tersebut keluar, barulah saya mengemukakan persoalan berikutnya: “Macam mana sampai dua kali mengandungkan anak daripada seorang lelaki yang sama (kekasihnya), tapi sampai sekarang belum berkahwin?”

 

Jawab si ibu: “Dia berjanji untuk jaga saya. Lepas bersalin anak sulung, dia jaga saya dan kami duduk bersama. Kemudian, dia tinggalkan saya. Tahu-tahu dah mengandung anak kedua. Saya pun tak perasan. Kalau doktor tengok buku saya, saya cuma sempat melakukan pemeriksaan di klinik sekali sahaja. Lepas tu, terus bersalin anak kedua ni.”

 

Saya menggelengkan kepala sambil menoleh kepada rakan saya. Dia juga menggelengkan kepala mendengar cerita si ibu.

 

Setelah selesai memeriksa si bayi, saya berikan beberapa nasihat kepada si ibu. Tentang kesalahan dan dosa yang dilakukannya, tentang masa depan anaknya yang tidak berdosa. Dan saya minta dia berjanji kepada saya; selepas ini, kalau dia datang untuk pemeriksaan kandungan, saya harap dia datang dengan suami yang sah. Itulah kata-kata saya yang terakhir sambil saya menghulurkan buku kesihatan bayi kepadanya. Si ibu hanya mengangguk, matanya sedikit berair. Mungkin dia sedar tentang kesilapan dan dosanya.

 

Setelah si ibu melangkah keluar, rakan saya berkata: Harap takde lagi masalah daripada dia lepas ni. Dah la muka cantik, umur muda lagi…

 

Inilah realiti hidup sebagai seorang doktor. Bukan hanya perlu nasihatkan pesakit untuk menjaga kesihatan diri, tapi kena sentuh juga aspek agama. Jujur saya katakan, ini bukanlah kes pertama yang saya temui. Sewaktu saya menjalani latihan sebagai pegawai perubatan siswazah (housemanship) di posting O&G, saya pernah bertemu dengan seorang wanita; yang mengandung anak ketiganya, tanpa suami yang sah.

 

Inilah realiti umat Islam hari ini. Masih banyak dakwah yang perlu dilakukan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s