PERJALANAN kita di bulan Sya`ban bakal berakhir dalam beberapa hari sahaja lagi. Namun, kemeriahan sambutannya tidak begitu dirasai berbanding tahun-tahun yang lalu kerana berlakunya perubahan yang mengejutkan dalam lanskap politik negara kita.
.
Saya tidak berniat untuk berbicara tentang politik. Fokus penulisan saya kali ini adalah ibadah sepanjang Ramadhan.
.
Minat saya untuk mendalami hukum-hakam fiqh puasa bermula pada tahun 2015. Saya banyak meluangkan masa untuk mencari perbahasan tentang bab ini dalam kitab fiqh, fatwa kontemporari, isu yang dimuatkan dalam akhbar tempatan, dan soalan yang diajukan kepada para asatizah di media sosial.
.
Berdasarkan pemerhatian saya, boleh saya katakan bahawa tidak sedikit kaum muslimin di Malaysia yang menjadikan ibadah di bulan Ramadhan sebagai adat semata-mata. Bulan yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran, kelebihan, bahkan pengampunan, seolah-olah tidak dihargai dan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sehinggakan apabila disebut “bulan Ramadhan”, kita hanya membayangkan lapar, dahaga, dan juadah berbuka puasa.
.
Panduan Rasulullah ﷺ
.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu `anhu: Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, diampuni dosanya yang telah lalu.(1)
.
Hadits ini sering diucapkan dalam ceramah-ceramah dan sering juga dikongsikan di media sosial, tetapi hakikatnya tidak ramai kaum muslimin yang benar-benar mengamalkannya. Kita berpuasa sepanjang Ramadhan, seolah-olah hanya berlapar dan dahaga semata-mata, tanpa meluangkan masa untuk mengerjakan ibadah-ibadah sunat seperti tilawah Al-Qur‘an, berzikir.
.
Malah, ada yang mengisi waktu lapang mereka di siang hari Ramadhan dengan aktiviti “membawang” dan mencaci maki orang lain. Kadang-kadang kita sengaja mencampakkan diri ke dalam perbahasan yang kurang bermanfaat seperti berapakah jumlah raka`at solat tarawih; 8 raka`at atau 20 raka`at, seolah-olah keputusan perbahasan kita inilah yang akan menentukan sama ada ibadah tersebut akan diterima oleh Allah ﷻ atau pun tidak (sedangkan para fuqaha’ terdahulu berlapang dada dalam masalah ini).
.
Ada yang pula individu muslim yang menjadikan hadits dha`if “Tidur orang yang berpuasa adalah ibadah”(2) sebagai pegangan. Sedangkan kaum salaf menghabiskan waktu mereka untuk mengkhatam Al-Qur‘an berpuluh-puluh kali sepanjang Ramadhan.
.
Ibadah tokoh salaf
.
Imam Abu Hanifah dan Imam Asy-Syafi`i misalnya, mereka mengkhatam Al-Qur‘an sebanyak 60 kali sepanjang Ramadhan di luar solat. An-Nakha`i (seorang tabi`i) pula mengkhatam Al-Qur‘an setiap 2 malam pada 10 hari terakhir Ramadhan, sedangkan pada hari-hari lain, beliau akan mengkhatam bacaannya dalam masa 3 hari. Qatadah (seorang tabi`i) biasanya akan mengkhatam bacaan Al-Qur’an setiap 7 hari, namun sepanjang Ramadhan, beliau akan mengkhatam setiap 3 hari. Pada 10 hari terakhir, beliau akan mengkhatam bacaan Al-Qur’an setiap malam.(3)
.
Saya pernah mendengar sebahagian pihak mempertikaikan amalan-amalan di atas, dengan alasan mustahil bagi seorang manusia biasa untuk melakukannya. Namun, kita harus sedar bahawa para imam menghafaz Al-Qur‘an sehingga mereka tidak perlu melihat kepada mushaf dan mereka boleh membacanya dalam keadaan apa sekali pun.
.
Kita fikir perkara itu mustahil kerana kita membandingkan kemampuan para imam dengan kebiasaan kita (mungkin sebahagian daripada kita mengambil masa yang lama untuk menghabiskan bacaan satu helaian Al-Qur‘an). Tetapi, cuba kita perhatikan berapa juzu’ bacaan yang perlu diulang oleh pelajar tahfiz dalam masa sehari. Mungkin ada yang sempat mengulang sebanyak 5 juzu’, mungkin ada pula yang sempat mengulang sebanyak 10 juzu’. Ini belum termasuk waktu yang mereka luangkan untuk aktiviti lain (menghadiri kelas dan lain-lain). Ini membuktikan bahawa amalan para imam tersebut tidaklah mustahil bagi mereka.
.
Kesalahan Solat Tarawih
.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu `anhu: Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Sesiapa yang mendirikan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, diampuni dosanya yang telah lalu.(4)
.
Solat tarawih merupakan satu ibadah yang cukup istimewa buat kaum muslimin. Ibadah ini merupakan satu bonus yang menjanjikan pengampunan bagi mereka yang sanggup mengerjakannya dengan penuh keimanan dan pengharapan. Namun, tidak ramai kaum muslimin yang memahami hakikat sebenar solat ini, sehingga mereka melakukan beberapa kesalahan ketika melaksanakannya.
.
Pertama: Mengutamakan solat tarawih berbanding solat fardhu. Mereka berpusu-pusu hadir ke masjid untuk solat tarawih, tetapi tidak untuk solat-solat fardhu yang lain. Malah, ada segelintir umat Islam yang tidak mengerjakan solat fardhu, tetapi hadir untuk solat tarawih secara berjama`ah pada setiap malam.
.
Kedua: Solat tarawih kilat. Sewaktu berada di Sunway University College, saya pernah solat tarawih di sebuah surau berdekatan. Kelebihan surau tersebut sehingga menjadi pilihan ramai pelajar Melayu adalah bacaan imam yang cepat sehinggakan solat tarawih 20 raka`at mampu diselesaikan sebelum pukul 10 malam. Di masjid yang lain pula, kita akan dapati sebahagian imam cuba menyelesaikan bacaan surah Al-Fatihah dalam satu nafas sahaja. Ini tidak menepati sunnah Rasulullah ﷺ.
.
Daripada Anas bin Malik radhiyallahu `anhu: Beliau ditanya tentang bacaan Nabi ﷺ, lalu beliau menjawab:
كَانَتْ مَدًّا، ثُمَّ قَرَأَ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، يَمُدُّ بِبِسْمِ اللهِ، وَيَمُدُّ بِالرَّحْمَنِ، وَيَمُدُّ بِالرَّحِيمِ
Bacaan baginda panjang-panjang. Kemudian Anas membaca Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim, dengan memanjangkan Bismillah, memanjangkan Ar-Rahman, dan memanjangkan Ar-Rahim.(5)
.
Lebih hebat lagi apabila tular satu rakaman video yang berasal dari Jawa Timur (Indonesia) yang menunjukkan para jama`ah menyelesaikan solat tarawih 20 raka`at dalam tempoh 7 minit. Secara purata, satu raka`at dalam tempoh 21 saat. Bolehkah anda bayangkan betapa lajunya pergerakan para jama`ah? Sudah pasti thuma’ninah juga tidak terpelihara.
.
Ketiga: Bacaan yang terlalu pendek. Saya pernah membaca satu keratan akhbar yang menceritakan kebiasaan sebuah masjid di Kuala Terengganu yang meringkaskan bacaan solat tarawihnya dengan hanya membaca 1 ayat Al-Qur‘an selepas selesai membaca Al-Fatihah pada setiap raka`at.(6) Menurut imam tersebut, tradisi ini sudah diamalkan sejak zaman arwah datuknya, kemudian diikuti oleh bapanya.
.
Ini berbeza dengan “tradisi” Rasulullah ﷺ, yang mana bacaan baginda sangatlah panjang. Berdasarkan riwayat Hudzaifah Al-Yaman radhiyallahu `anhu, baginda ﷺ pernah menghabiskan surah Al-Baqarah, diikuti dengan surah An-Nisa’, kemudian diakhiri dengan surah Ali `Imran, kemudian baru baginda ruku` untuk raka`at pertamanya.(7)
.
Penutup
.
Saya rasa cukup sampai di sini dulu artikel saya kali ini. Semoga bermanfaat untuk para pembaca sekalian. Mari sama-sama kita berdoa agar Ramadhan kita kali ini bukan sekadar kita jalani sebagai ADAT, tetapi kita jalani dengan penuh keimanan dan pengharapan. Wallahu a`lam.
.
Nota kaki:
- Al-Bukhari (38), Muslim (760), Abu Dawud (1371), Ibn Majah (1326), An-Nasa’i (2204).
- Dha`if menurut Al-Baihaqi dalam Syu`ab Al-Iman (5/421-423).
- Latha’if Al-Ma`arif, halaman 318.
- HR Al-Bukhari (2009), Muslim (759), Abu Dawud (1371), At-Tirmidzi (808).
- HR Al-Bukhari (5046).
- Harian Metro: Tarawih Ekspres. Pautan: https://www.hmetro.com.my/utama/2017/05/233671/tarawih-ekspres-metrotv
- HR Muslim (772,), An-Nasa’i (1664).