Archive for June, 2018

 

TAJUK: Keajaiban Bahasa Al-Quran

PENULIS: Ustaz Mohamad Zulkifli Abd Rahman

TERBITAN: Telaga Biru Sdn Bhd

 

Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan bacaan buku ke-7 untuk tahun 2018. Kali ini saya memilih buku yang bertemakan tadabbur Al-Qur’ān. Jujur saya katakan, ketika pertama kali saya membelek buku ini, saya teragak-agak untuk membelinya; faktor utamanya adalah kerana saya tidak mengenali penulisnya, tidak pernah mendengar nama beliau, dan tidak mengetahui manhaj beliau.

 

Namun, apabila saya halaman yang menyenaraikan isi kandungan buku, saya ternampak satu bab yang agak menarik, iaitu rahsia perbezaan kalimah خالدين فيها (mereka kekal di dalamnya) dengan خالدا فيها (dia dalam keadaan kekal di dalamnya). Saya belek ke halaman yang dimaksudkan dan saya berasa terpegun dengan perbahasan yang beliau bawakan dalam bab tersebut. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli buku ini, hanya dengan membaca bab pendek tersebut.

 

Alhamdulillah, tindakan membeli buku ini bukanlah satu kesilapan. Pelbagai rahsia ungkapan yang Allah ﷻ gunakan dalam kitab suci-Nya dibongkarkan oleh penulis, dan setiap perbahasannya pula dirujuk kepada tafsir-tafsir mu`tabar, sama ada tafsir klasik (Tafsīr Ibn Kathīr, Tafsīr al-Qurṭubī, Fatḥ al-Qadīr karya al-Shawkānī, Tafsīr al-Zamakhsharī), mahupun tafsir moden (Aḍwā’ al-Bayān karya al-Shanqīṭī, Ma`a Qaṣaṣ al-Sabiqīn karya Dr. Ṣalāḥ `Abd al-Fattāḥ al-Khālidī).

 

Antara tajuk yang menarik untuk dibaca:

 

  • Mengapa Allah menyebut ayat فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا, kemudian Dia mengulanginya: إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا?

 

  • Mengapa ketika berbicara tentang penghuni syurga, Allah menggunakan ungkapan: خَالِدِينَ فِيهَا (mereka kekal di dalamnya) sedangkan ketika berbicara tentang penghuni neraka, Allah menggunakan ungkapan: خَالِدًا فِيهَا (dia dalam keadaan kekal di dalamnya)?

 

  • Apakah perbezaan antara kalimah (كَسَبَتْ) dan (اكْتَسَبَتْ) dalam ayat: لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ?

 

  • Mengapa perkataan kegelapan didatangkan dalam bentuk plural (الظُّلُمَاتِ) sedangkan perkataan cahaya didatangkan dalam bentuk singular (النُّورَ)?

 

  • Ketika malaikat datang bertemu Nabiyullah Ibrāhīm `alayhi al-salam, mereka memberi salam dengan ungkapan (سَلَامًا), sedangkan baginda menjawab dengan ungkapan (سَلَامٌ). Tahukah anda, apakah mesej yang cuba disampaikan oleh Allah ﷻ tentang sifat Nabi Ibrāhīm melalui sepotong ayat ini?

 

Selamat membaca.

 

TAJUK: Fiqh Hadith Imam Al-Syāfi`ī

PENULIS: Ustaz Umar Muhammad Noor

 

Ini merupakan buku ke-6 yang telah saya habiskan bacaannya untuk tahun 2018. Satu buku yang sangat menarik, mengumpulkan pendapat-pendapat Al-Imām Al-Mujtahid Asy-Syāfi`ī (walaupun bukan semua pendapat Al-Imām menjadi pandangan muktamad mazhab). Penulis memang menyebutkan bahawa fokus utama beliau menuliskan buku ini adalah untuk menjelaskan pandangan dan hujah Al-Imām, serta cara beliau berfikir dan mengeluarkan pendapat. Penulis membahagikan buku ini kepada 2 bahagian. Bahagian 1 membahaskan tentang beberapa prinsip dan kaedah penting (termasuklah guru-guru Al-Imām, karya Al-Imām, Qawl Qadīm dan Qawl Jadīd, maksud ucapan Al-Imām “Ḥadīth Ṣaḥīḥ adalah mazhabku”). Bahagian 2 pula membahaskan tentang pandangan-padangan fiqh Al-Imām. Uniknya, kita akan dapati beberapa pendapat Al-Imām yang sangat berbeza dengan apa yang tersebar dalam masyarakat. Namun, kita harus tahu bahawa pandangan-pandangan yang disebutkan oleh penulis inilah yang benar-benar menggambarkan pandangan sebenar Al-Imām memandangkan penulis banyak merujuk riwayat-riwayat daripada murid-murid Al-Imām sendiri. Antara pandangan fiqh Al-Imām yang agak menarik untuk diketahui adalah:

* Adakah hukum kencing bayi lelaki dan perempuan berbeza di sisi Al-Imām?

* Mengapa Al-Imām berpandangan menyentuh lawan jenis membatalkan wuḍu’ sedangkan `Ā’ishah pernah menyebut bahawa Rasūlullah pernah menciumnya lalu tidak berwuḍu’ kembali?

* Mengapa Al-Imām menganggap bacaan basmalah perlu dijahrkan dalam solat sedangkan riwayat Imām Muslim jelas menyebutkan bahawa Anas raḍiyallahu `anhu menafikan Nabi, Abu Bakr, `Umar, dan Uthmān membaca basmalah secara jahr dalam solat?

* Qunūt Ṣubuḥ tidak bid`ah bahkan Al-Imām berhujah dengan ḥadīth ṣaḥiḥ ketika menetapkan sunatnya berqunūt ketika solat Ṣubuḥ.

* Hukum bercakap ketika khutbah Juma`at tidaklah haram di sisi Al-Imām.

* Benarkah Al-Imām membenarkan seorang bapa zina berkahwin dengan anak hasil perzinaannya sendiri? Atau ini merupakan salah faham pengikut mazhab beliau semata-mata?

Selamat Hari Raya (1439H)

Posted: June 11, 2018 in Uncategorized