Archive for June 22, 2018

 

TAJUK: Fiqh Hadith Imam Al-Syāfi`ī

PENULIS: Ustaz Umar Muhammad Noor

 

Ini merupakan buku ke-6 yang telah saya habiskan bacaannya untuk tahun 2018. Satu buku yang sangat menarik, mengumpulkan pendapat-pendapat Al-Imām Al-Mujtahid Asy-Syāfi`ī (walaupun bukan semua pendapat Al-Imām menjadi pandangan muktamad mazhab). Penulis memang menyebutkan bahawa fokus utama beliau menuliskan buku ini adalah untuk menjelaskan pandangan dan hujah Al-Imām, serta cara beliau berfikir dan mengeluarkan pendapat. Penulis membahagikan buku ini kepada 2 bahagian. Bahagian 1 membahaskan tentang beberapa prinsip dan kaedah penting (termasuklah guru-guru Al-Imām, karya Al-Imām, Qawl Qadīm dan Qawl Jadīd, maksud ucapan Al-Imām “Ḥadīth Ṣaḥīḥ adalah mazhabku”). Bahagian 2 pula membahaskan tentang pandangan-padangan fiqh Al-Imām. Uniknya, kita akan dapati beberapa pendapat Al-Imām yang sangat berbeza dengan apa yang tersebar dalam masyarakat. Namun, kita harus tahu bahawa pandangan-pandangan yang disebutkan oleh penulis inilah yang benar-benar menggambarkan pandangan sebenar Al-Imām memandangkan penulis banyak merujuk riwayat-riwayat daripada murid-murid Al-Imām sendiri. Antara pandangan fiqh Al-Imām yang agak menarik untuk diketahui adalah:

* Adakah hukum kencing bayi lelaki dan perempuan berbeza di sisi Al-Imām?

* Mengapa Al-Imām berpandangan menyentuh lawan jenis membatalkan wuḍu’ sedangkan `Ā’ishah pernah menyebut bahawa Rasūlullah pernah menciumnya lalu tidak berwuḍu’ kembali?

* Mengapa Al-Imām menganggap bacaan basmalah perlu dijahrkan dalam solat sedangkan riwayat Imām Muslim jelas menyebutkan bahawa Anas raḍiyallahu `anhu menafikan Nabi, Abu Bakr, `Umar, dan Uthmān membaca basmalah secara jahr dalam solat?

* Qunūt Ṣubuḥ tidak bid`ah bahkan Al-Imām berhujah dengan ḥadīth ṣaḥiḥ ketika menetapkan sunatnya berqunūt ketika solat Ṣubuḥ.

* Hukum bercakap ketika khutbah Juma`at tidaklah haram di sisi Al-Imām.

* Benarkah Al-Imām membenarkan seorang bapa zina berkahwin dengan anak hasil perzinaannya sendiri? Atau ini merupakan salah faham pengikut mazhab beliau semata-mata?