Archive for July 31, 2018

 

TAJUK: Hadis-Hadis Sahih Terbukti Masa Kini

PENULIS: Ashraf bin Suarin

TERBITAN: Kemilau Publika Sdn Bhd

 

Ini merupakan buku ke-8 yang berjaya saya tamatkan pembacaannya pada tahun 2018, alhamdulillah. Berdasarkan tajuk buku ini, saya kira para pembaca sudah boleh meneka topik perbahasan yang dimuatkan oleh penulis; iaitu kebenaran sabda Rasulullah ﷺ yang telah menjadi realiti hari ini. Cuma, ada 2 perkara yang membuatkan saya sedikit kurang senang; (1) penomboran yang digunakan dalam menyatakan sumber ḥadīth tidak menepati penomboran yang biasa digunakan, dan (2) ḥadīth selain riwayat al-Bukhārī dan Muslim tidak dinyatakan status keṣaḥīḥannya.

 

Antara tajuk yang menarik untuk dibaca:

  • Budaya gosip – dikaitkan dengan tayangan yang bergenre gosip yang tinggi ratingnya di saluran TV.
  • Kealiman dikalahkan oleh kejahilan – contoh yang diberikan adalah bagaimana kebergantungan para “penggiat dakwah” kepada para pemimpin atau orang kaya. Dakwah harus mengikut telunjuk golongang yang berpengaruh.
  • Islam menjadi agama terbesar di muka bumi – penulis telah membawakan statistik bagi membuktikan kenyataan ini.
  • Ketiadaan imam solat berjemaah – sukar untuk dicari imam-imam di masjid, sama ada desa atau kota, yang betul-betul layak dan memenuhi kriteria untuk menjadi imam. Kebanyakan “imam” terpaksa menjadi imam kerana tiada orang yang benar-benar alim yang ingin menjadi imam, bahkan sebahagian orang alim jarang solat berjemaah.
  • Harapan Rasulullah untuk umat terjawab – beberapa riwayat menyebutkan bahawa baginda berdoa kepada Allah ﷻ namun terdapat satu doa yang tidak dimakbulkan; iaitu permintaan baginda agar umat baginda tidak saling menyakiti dan tidak saling membinasakan antara satu sama lain. Dan penolakan doa baginda ini memang jelas terjadi pada zaman kini.