Archive for August 17, 2018

 

TAJUK: Oh, Begitu Rupanya Kisah Nabi Adam

PENULIS: Dr. Salah Abdul Fattah Al-Khalidi

TERBITAN: Al Khalidi Global Reosurces

 

Nama penulis buku ini saya kira sudah tidak asing lagi di kalangan pelajar-pelajar tafsir. Nama ini juga sering meniti di bibir-bibir para asātidhah kita apabila mereka ingin menukilkan pandangan-pandangan tentang suatu tafsiran ayat al-Qur’ān. Namun, inilah pertama kali saya berpeluang membaca karya beliau (dalam bentuk terjemahan), dan memang tak dapat saya nafikan kehebatan beliau sehingga beliau menjadi rujukan para asātidhah kita di Malaysia.

 

Fokus buku ini sangat mudah; mengolah semula kisah Nabi Adam `alayhi al-salām bermula dari zaman sebelum baginda diciptakan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah ﷻ. Namun, penulis telah memberikan satu perkara yang sangat penting sepanjang penulisan ini; kita tidak memerlukan riwayat Isrā’iliyyat dalam usaha untuk memahami kisah kehidupan Nabi Adam `alayhi al-salām berserta isteri baginda, Ḥawwā’, dan seteru utama baginda iaitu Iblīs.

 

Dalam karya ini, kita akan dapati dalam banyak tempat penulis akan menyebutkan betapa kita tidak memerlukan riwayat Isrā’iliyyat untuk menjawab persoalan-persoalan yang timbul di sepanjang hidup Nabi Adam, bahkan penulis akan membawakan beberapa kemungkinan yang lebih logik untuk mengisi “kelompongan” kisah tersebut. Penulis juga banyak mengkritik golongan yang suka memasukkan riwayat Isrā’iliyyat dalam penyampaian kisah Nabi Adam sehinggakan riwayat tersebut menjadi satu kepercayaan yang diturunkan dari generasi ke generasi kaum muslimin.

 

Antara persoalan menarik yang dilontarkan oleh penulis dalam karyanya:

  • Perbezaan antara jin, Iblīs, dan Shayṭān; ramai yang salah faham malah mencampuradukkan antara ketiga-tiga istilah ini.
  • Apakah sifat dan naluri manusia sehinggakan Allah memilih mereka untuk menjadi khalifah di muka bumi, dan bukan para malā’ikat?
  • Apakah titik kelemahan Nabi Adam `alayhi al-salām yang telah disaksikan oleh Iblīs sehingga dia dapat memanfaatkan maklumat tersebut di hari kemudian?
  • Benarkah dakwaan yang mengatakan para malā’ikat “mempersoalkan” penciptaan Nabi Adam `alayhi al-salām sedangkan diketahui umum bahawa mereka adalah golongan yang sangat taat, patuh, dan sangat beradab?
  • Bagaimanakah para malā’ikat mengetahui bahawa “khalifah” di bumi akan merosakkannya, dan saling menumpahkan darah?
  • Apakah kata-kata dan perbuatan pertama Nabi Adam `alayhi al-salām?
  • Apakah maksud ḥadīth “Adam diciptakan berdasarkan rupa bentuknya”?
  • Pengakuan Iblīs bahawa dia berasal daripada kalangan jin, dan bukannya kalangan malā’ikat sebagaimana yang dipercayai oleh sebahagian kaum muslimin.
  • Permintaan Iblīs untuk hidup kekal abadi tetapi tidak diizinkan oleh Allah ﷻ.
  • Penolakan riwayat Isrā’iliyyat yang mengatakan Ḥawwā’ diciptakan daripada tulang rusuk.
  • Bagaimana Nabi Adam `alayhi al-salām boleh terpedaya dengan Shayṭān sedangkan baginda telah diingatkan tentangnya?
  • Adakah benar Ḥawwā’ yang menggoda dan memujuk Nabi Adam `alayhi al-salām untuk memakan buah daripada pokok larangan?
  • Apakah perbezaan antara maksiat Nabi Adam `alayhi al-salām kepada Allah ﷻ dan maksiat Iblīs kepada Allah ﷻ?
  • Di manakah Nabi Adam `alayhi al-salām diturunkan, dan bilakah kejadian tersebut berlaku?