TAJUK: Aku Muslim Sunni
PENULIS: Dr. Mohammad Nidzam Abd Kadir
TERBITAN: Telaga Biru Sdn Bhd
Buku ini merupakan satu bacaan ringkas yang sangat sesuai untuk para pembaca yang sibuk untuk meluangkan masa mereka. Penulis menyajikan perbahasan dalam buku ini dalam tajuk-tajuk kecil, hanya membawakan beberapa dalil yang berkaitan bagi setiap tajuk. Tiada perbahasan yang berbentuk perbandingan antara firqah-firqah dalam Islam, tetapi sekadar menyebutkan dalil yang menjadi hujah dalam mazhab Ahli Sunnah wa al-Jama`ah (akan disingkatkan menjadi ASWJ). Sebagaimana yang beliau sebutkan dalam segmen “Kata Pengarang”, penulis sama sekali tidak menyalahkan mana-mana firqah dalam Islam, dan beliau hanya akan menyebutkan pertentangan antara pegangan firqah tersebut dengan ASWJ.
Antara beberapa isu yang saya kurang bersetuju dengan penulis:
- Apabila beliau menyebutkan tentang ASWJ, beliau hanya merujuk kepada mazhab merujuk kepada mazhab al-Asyā`irah dan al-Māturīdiyyah tanpa tidak memasukkan mazhab al-salafiyyah (mazhab Imam Ahmad) dalam kelompok yang sama. Mungkin kerana mazhab al-Asyā`irah dan al-Māturīdiyyah merupakan mazhab ASWJ yang menjadi pegangan majoriti kaum muslimin hari ini.
- Beliau merujuk karya Shaykh `Abdullah al-Hararī, seorang tokoh yang kontroversi di dunia Islam hari ini pada beberapa tempat dalam buku ini. Sedangkan, tokoh ini dikritik oleh Dr. Yūsuf al-Qaraḍawī kerana sikapnya yang melampau dalam mengkafirkan tokoh muslimin yang lain, wallahu a`lam.
- Beliau juga menerima konsep bid`ah ḥasanah, dengan membawakan contoh bacaan Yasin pada malam Jumaat. Hujahnya adalah ada riwayat yang ṣaḥīḥ menyebut tentang perhimpunan untuk membaca al-Qur’ān. Walaupun isu bid`ah ḥasanah sebegini tidaklah sebesar isu bid`ah pada `aqīdah (Mu`tazilah, Shī`ah, Jabbariyyah, Khawārij)
Namun, secara umumnya, saya tetap menganggap buku ini bagus untuk rujukan orang awam yang ingin mendapatkan gambaran secara ringkas tentang prinsip-prinsip ASWJ. Adapun bagi mereka yang ingin mendalami mazhab ASWJ dengan lebih terperinci, mereka perlu merujuk kitab lain yang lebih terperinci perbahasannya.