Archive for November, 2018

 

TAJUK: Bahaya Memahami Hadits Tanpa Melihat Konteks

PENULIS: Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

TERBITAN: Lentera Jaya Abadi (Jakarta Timur)

 

Buku ini merupakan buku pertama yang ditulis oleh Ṣāḥib al-Ṣamāḥah Mufti Negeri Perlis Dr. MAZA dalam bahasa Inggeris (tajuk asal: The Importance of Understanding the Text and the Context of Hadith), yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Ustadz Teguh Iman Perdana.

 

Fokus utama buku ini adalah kepentingan memahami sabab al-wurud (sebab yang menyebabkan munculnya sesuatu ḥadīth). Ketidakmampuan seseorang untuk memahami elemen ini akan menyebabkan pemahaman terhadap ḥadīth tersebut tidak selari dengan ruh shari`ah Islam yang sebenar. Penulis telah membawakan banyak sekali contoh untuk memahamkan para pembaca tentang point-point yang beliau ingin gariskan.

 

Antara contoh yang menarik:

  • Kenapa sebahagian `ulamā’ berpendapat boleh menjawab salam orang kafir sebagaimana kita menjawab salam orang Islam?
  • Kenapa Nabi ﷺ membenarkan seorang lelaki tua mencium isteri dalam keadaan berpuasa, sedangkan baginda melarang seorang pemuda melakukan perbuatan yang sama?
  • Adakah menjadi sunnah berbekam pada bila-bila masa sahaja?
  • Mengapa wujudnya ḥadīth yang melarang meminta jawatan, sedangkan dalam al-Qur’ān dirakamkan kisah Nabi Yūsuf `alayhi al-salām yang meminta jawatan?
  • Adakah kita dilarang daripada menyimpan daging kurban lebih daripada 3 hari?
  • Mengapa sebahagian `ulamā’ lebih cenderung kepada kaedah hisab berbanding kaedah ru’yah sedangkan ḥadīth jelas mengajarkan kita penentuan awal Ramaḍān adalah melalui kaedah ru’yah?
  • Kebijaksanaan al-Imām al-Shāfi`ī dalam mentafsirkan ḥadīth “Biarkan burung-burung tetap di sarangnya” sehingga tafsiran tersebut dipersetujui oleh 2 `ulamā’ ḥadīth besar (al-Imām Waki` dan al-Imam Aḥmad).
  • Perlukah kita menyimpan kurma di rumah kita, berdasarkan ḥadīth “Rumah yang tidak mempunyai kurma maka penghuninya akan kelaparan”?