About Me


Nama saya Mohd Adli bin Abd Khalim, berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam ABIM Al-Hikmah, Kota Bharu (1993-1998). Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu (1999-2003).

Setelah itu, saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke Australia dan perlu menjalani program persediaan AUSMAT (Australian Matriculation) di Sunway University College (2004-2005). Walau bagaimanapun, saya tidak mendapat tempat di mana-mana universiti di Australia, dan memilih untuk menyambung pelajaran di Fakultas Kedokteran Universitas Trisakti, Jakarta (2006-2012).

Walaupun pada awalnya, saya berasa sedikit kecewa kerana harapan untuk belajar di Australia tidak kesampaian, namun perancangan Allah ﷻ adalah yang TERBAIK. Di Jakarta, saya dan rakan-rakan serumah mengenali seorang senior yang berasal dari Pulau Pinang, yang juga merupakan anak murid kepada Shahib As-Samahah Mufti Perlis Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (pada waktu tersebut, beliau menjadi Mufti Perlis pada kali pertama).

Melalui senior inilah, saya mula mengenali manhaj salafi. Saya juga mula mengenali kitab-kitab `​ulama’ yang mu`tabar (banyak kitab dalam bahasa `Arab yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia, dan senang didapati di Jakarta). ​Tidak dinafikan, mungkin kerana kurang bimbingan daripada para asatidzah, saya cenderung kepada pendapat yang agak keras (seperti membid`ahkan amalan qunut Subuh, berpegang kuat kepada pendapat-pendapat daripada tokoh Salafiyyah). Setelah beberapa tahun mengenali manhaj ini, saya berkenalan pula dengan forum Al-Fikrah.net (AFN).

Setelah mengenali AFN, saya mula membaca dan belajar tentang manhaj mutaqaddimin. Pegangan saya mula berubah; dari segi pemilihan penilaian hadits dan pengamalannya. Saya mula menarik balik pendapat saya tentang bid`ahnya qunut Subuh, bid`ahnya berzikir dengan menggunakan tasbih, larangan mengamalkan hadits dha`if secara mutlak, dan beberapa masalah yang lain. Saya juga mula belajar tentang keluasan fiqh perbandingan mazhab sehingga saya mula berasa lapang dada untuk menerima pendapat orang lain walaupun saya tetap berasa pendapat yang saya pilih lebih tepat.

Sepanjang menjalani latihan pegawai perubatan siswazah (2013-2014), saya menjalani fasa-fasa gelap dalam kehidupan saya sejak saya mengenali manhaj dalam beragama. Dengan kehidupan yang agak tidak teratur (jadual kerja dan oncall), saya tidak dapat meluangkan masa sedikit pun untuk belajar agama pada waktu tersebut. Hanya pada akhir tahun 2014, saya mula mengenali platform Universiti Islam Telegram Online (UiTO) yang bergerak di media sosial Telegram.

Pada tahun 2015, saya telah melapor diri di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, dan ditempatkan di Pejabat Kesihatan Daerah Setiu. Saya ditugaskan di Unit Kesihatan Sekolah selama 4 bulan, kemudian dipindahkan ke Klinik Kesihatan Permaisuri (KKP). Sehingga kini (2018), saya masih berkhidmat di KKP. Hubungan saya dengan UiTO sedikit terjejas apabila saya banyak mengkritik golongan salafi yang berada dalam paltform yang sama. Ketidaksepakatan antara saya dengan beberapa individu yang sedikit keras telah menimbulkan kontorversi beberapa kali. Semoga Allah ﷻ memberikan petunjuk yang terbaik untuk saya; sama ada terus berada di platform yang sama atau meninggalkannya.

 

[14 Mac 2018]