Archive for the ‘Hadits’ Category
SOALAN:
“Diamlah wahai Uhud! Sesungguhnya di atasmu ini ada seorang Nabi, seorang shiddiq, dan dua orang syahid.” Apakah yang dimaksudkan dengan dua orang syahid tersebut?
JAWAPAN:
Hadits ini adalah hadits shahih, diriwayatkan oleh Al-Bukhari (3675, 3686, 3699), Abu Dawud (4651), At-Tirmidzi (3697/4030). Hadits ini menceritakan tentang kisah Nabi ﷺ berjalan di atas Bukit Uhud bersama Abu Bakar, `Umar dan `Utsman –radhiyallahu `anhum–. Tiba-tiba Bukit Uhud bergegar, lalu baginda menghentakkan kaki baginda dan mengucapkan lafaz di atas.
Sebagaimana yang diketahui, gelaran ash-shiddiq memang cukup sinonim dengan Abu Bakar `Abdullah bin Abu Quhafah. Oleh itu, gelaran syahidan (dua orang syahid) sudah pasti merujuk kepada `Umar Al-Khaththab dan `Utsman bin `Affan.
Persoalannya, mengapakah `Umar dan `Utsman digelar sebagai dua orang syahid? Perkara ini dijelaskan oleh Al-Mubarakfuri dalam kitabnya Tuhfat Al-Ahwadzi, ketika mensyarahkan hadits no. 3697. Menurutnya, syahid yang dimaksudkan dalam hadits ini adalah syahid akhirat (mendapat ganjaran syahid di akhirat), dan katanya lagi telah tsabit bahawa sesiapa yang dibunuh secara zalim adalah syahid.
Sebagaimana yang kita ketahui, `Umar radhiyallahu `anhu telah dibunuh oleh Abu Lu’lu’ah Al-Farisi Al-Majusi ketika sedang mengerjakan solat Subuh. Sedangkan `Utsman radhiyallahu `anhu pula telah dibunuh oleh pemberontak pada zamannya.
Selain itu, Al-Mubarakfuri juga mengatakan bahawa hadits ini merupakan salah satu mu`jizat Rasulullah ﷺ kerana mampu mengkhabarkan bahawa `Umar dan `Utsman akan meninggal dalam keadaan syahid.
Wallahu a`lam.
@ Adli Khalim – 18.03.2015
[Puasa] Status FB # Siwak Bagi Orang Berpuasa
Posted: July 27, 2012 in Fiqh Puasa & Ramadhan, HaditsAl-Jami` Al-Mukhtashar At-Tirmidzi » Kitab Shaum » Bab tentang bersiwak bagi orang berpuasa
Hadits # 725/734:
Daripada `Amir bin Rabi`ah radhiyallahu `anhu, katanya: «Aku sering melhat Nabi shallallahu `alaihi wasallam bersiwak ketika baginda sedang berpuasa.»
* Status: Dha`if kerana perawi bernama `Ashim bin `Ubaidillah.
* Hadits `Amir bin Rabi`ah juga diriwayatkan oleh Abu Dawud (2364).
* Kata At-Tirmidzi selepas menyebutkan hadits ini: “Para `ulama’ mengamalkan hadits ini, mereka berpendapat bersiwak bagi orang berpuasa tidak mengapa (tidak batal puasanya), kecuali sebahagian `ulama’ tidak menyukai orang berpuasa bersiwak dengan kayu `ud (kayu siwak) yang basah, dan mereka juga tidak menyukai bersiwak pada waktu petang. Adapun Asy-Syafi`i berpendapat bersiwak tidak mengapa sama ada waktu pagi atau petang. Adapun Ahmad dan Ishaq tidak menyukai bersiwak pada waktu petang.”
Ada hadits yang shahih dalam bab ini, iaitu hadits Abu Hurairah, Sabda Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam: «Sekiranya tidak memberatkan umatku, pasti akan aku perintahkan mereka untuk bersiwak setiap kali ingin solat.»
* Hadits Abu Hurairah diriwayatkan oleh Al-Bukhari (887), Muslim (252), Abu Dawud (46), Ibnu Majah (287), At-Tirmidzi (22), An-Nasa’i (7) dan ini adalah lafaznya.
KESIMPULAN:
1 – Kalau ada keperluan untuk gosok gigi pada waktu petang ketika berpuasa (bangun daripada tidur, ingin bertemu kawan, dll), mungkin ada baiknya kalau kita memilih pendapat Imam Asy-Syafi`i dalam masalah ini.
2 – Kalau tiada keperluan, silalah pilih pendapat Imam Asy-Syafi`i atau pendapat Imam Ahmad. Lagipun Imam Ahmad berpendapat seperti itu kerana hadits shahih yang mengatakan bau mulut orang berpuasa di sisi Allah lebih harum daripada bau kasturi.
Oleh:
Adli Khalim
27 Julai 2012
Kota Bharu, 16:18