TAJUK: Kau Sembah Apa?
PENULIS: Ahmad Iqram Mohamed Nor
TERBITAN: Puteh Press
Ini merupakan karya kedua penulis yang telah saya habiskan bacaannya (sebelum ini saya pernah membaca karya beliau yang bertajuk: “Yahudi, Kristian, Hindu, dan Buddha Berasal daripada Islam?”). Buku ini sangat disyorkan untuk dihadam bagi sesiapa yang ingin berinteraksi dengan agama-agama lain di Malaysia, termasuklah para asatizah.
Gaya penulisan yang menarik, banyak maklumat tentang agama lain yang disajikan dalam penulisan ini; asal-usulnya, kitab sucinya, kepercayaannya. Malah, penulis turut menyentuh isu-isu keagamaan yang bersifat sensitif yang perlu dijaga oleh setiap individu muslim di Malaysia dalam menjalani kehidupan di tengah-tengah masyarakat majmuk di tanah air ini.
Antara contoh yang menarik:
- Perbezaan mazhab antara Buddha; sekiranya anda pernah menonton filem Shaolin pasti anda akan melihat sami memakai pakaian kuning dan coklat, menutupi keseluruhan badan mereka, sedangkan sami-sami yang berasal dari Thailand akan memakai jubah berwarna oren dan bahu kanannya akan didedahkan.
- Agama Buddha sangat menjaga toleransi dengan agama lain, namun mengapa isu pembunuhan umat Islam berlaku di Rohingya?
- Buddha bukanlah Tuhan.
- Isu patung sembahan dalam rupa bentuk Haji dan Hajah oleh penganut fahaman Tao?
- Perbezaan mazhab Kristian Katolik & Protestan boleh dilihat dari tanda salib yang dipakai oleh golongan Kristian.
- Isu Holy Water yang sangat digeruni oleh kaum muslimin di Malaysia suatu ketika dahulu. Tahukah anda, Holy Water hanyalah air paip biasa yang dibacakan jampi oleh paderi?
- Lembu sebagai haiwan suci atau Tuhan di sisi penganut Hindu?
- Mengelakkan memanggil penganut Hindu dengan gelaran keling/paria.
- Hindu; Tuhannya satu atau tiga atau banyak? Persoalan ini turut dirungkaikan dalam penulisan ini.
- Agama Sikh; percampuran antara Hindu & Islam.
- Paksaan terhadap golongan Sikh untuk memotong rambut sedangkan perkara tersebut adalah larangan dalam agamanya. Sebagaimana golongan muslimah dilarang mempamerkan aurat kepada golongan ajnabi.