Archive for the ‘Uncategorized’ Category

 

TAJUK: Bahaya Memahami Hadits Tanpa Melihat Konteks

PENULIS: Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

TERBITAN: Lentera Jaya Abadi (Jakarta Timur)

 

Buku ini merupakan buku pertama yang ditulis oleh Ṣāḥib al-Ṣamāḥah Mufti Negeri Perlis Dr. MAZA dalam bahasa Inggeris (tajuk asal: The Importance of Understanding the Text and the Context of Hadith), yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Ustadz Teguh Iman Perdana.

 

Fokus utama buku ini adalah kepentingan memahami sabab al-wurud (sebab yang menyebabkan munculnya sesuatu ḥadīth). Ketidakmampuan seseorang untuk memahami elemen ini akan menyebabkan pemahaman terhadap ḥadīth tersebut tidak selari dengan ruh shari`ah Islam yang sebenar. Penulis telah membawakan banyak sekali contoh untuk memahamkan para pembaca tentang point-point yang beliau ingin gariskan.

 

Antara contoh yang menarik:

  • Kenapa sebahagian `ulamā’ berpendapat boleh menjawab salam orang kafir sebagaimana kita menjawab salam orang Islam?
  • Kenapa Nabi ﷺ membenarkan seorang lelaki tua mencium isteri dalam keadaan berpuasa, sedangkan baginda melarang seorang pemuda melakukan perbuatan yang sama?
  • Adakah menjadi sunnah berbekam pada bila-bila masa sahaja?
  • Mengapa wujudnya ḥadīth yang melarang meminta jawatan, sedangkan dalam al-Qur’ān dirakamkan kisah Nabi Yūsuf `alayhi al-salām yang meminta jawatan?
  • Adakah kita dilarang daripada menyimpan daging kurban lebih daripada 3 hari?
  • Mengapa sebahagian `ulamā’ lebih cenderung kepada kaedah hisab berbanding kaedah ru’yah sedangkan ḥadīth jelas mengajarkan kita penentuan awal Ramaḍān adalah melalui kaedah ru’yah?
  • Kebijaksanaan al-Imām al-Shāfi`ī dalam mentafsirkan ḥadīth “Biarkan burung-burung tetap di sarangnya” sehingga tafsiran tersebut dipersetujui oleh 2 `ulamā’ ḥadīth besar (al-Imām Waki` dan al-Imam Aḥmad).
  • Perlukah kita menyimpan kurma di rumah kita, berdasarkan ḥadīth “Rumah yang tidak mempunyai kurma maka penghuninya akan kelaparan”?

 

TAJUK: Fiqh Hadith Imam Al-Syāfi`ī

PENULIS: Ustaz Umar Muhammad Noor

 

Ini merupakan buku ke-6 yang telah saya habiskan bacaannya untuk tahun 2018. Satu buku yang sangat menarik, mengumpulkan pendapat-pendapat Al-Imām Al-Mujtahid Asy-Syāfi`ī (walaupun bukan semua pendapat Al-Imām menjadi pandangan muktamad mazhab). Penulis memang menyebutkan bahawa fokus utama beliau menuliskan buku ini adalah untuk menjelaskan pandangan dan hujah Al-Imām, serta cara beliau berfikir dan mengeluarkan pendapat. Penulis membahagikan buku ini kepada 2 bahagian. Bahagian 1 membahaskan tentang beberapa prinsip dan kaedah penting (termasuklah guru-guru Al-Imām, karya Al-Imām, Qawl Qadīm dan Qawl Jadīd, maksud ucapan Al-Imām “Ḥadīth Ṣaḥīḥ adalah mazhabku”). Bahagian 2 pula membahaskan tentang pandangan-padangan fiqh Al-Imām. Uniknya, kita akan dapati beberapa pendapat Al-Imām yang sangat berbeza dengan apa yang tersebar dalam masyarakat. Namun, kita harus tahu bahawa pandangan-pandangan yang disebutkan oleh penulis inilah yang benar-benar menggambarkan pandangan sebenar Al-Imām memandangkan penulis banyak merujuk riwayat-riwayat daripada murid-murid Al-Imām sendiri. Antara pandangan fiqh Al-Imām yang agak menarik untuk diketahui adalah:

* Adakah hukum kencing bayi lelaki dan perempuan berbeza di sisi Al-Imām?

* Mengapa Al-Imām berpandangan menyentuh lawan jenis membatalkan wuḍu’ sedangkan `Ā’ishah pernah menyebut bahawa Rasūlullah pernah menciumnya lalu tidak berwuḍu’ kembali?

* Mengapa Al-Imām menganggap bacaan basmalah perlu dijahrkan dalam solat sedangkan riwayat Imām Muslim jelas menyebutkan bahawa Anas raḍiyallahu `anhu menafikan Nabi, Abu Bakr, `Umar, dan Uthmān membaca basmalah secara jahr dalam solat?

* Qunūt Ṣubuḥ tidak bid`ah bahkan Al-Imām berhujah dengan ḥadīth ṣaḥiḥ ketika menetapkan sunatnya berqunūt ketika solat Ṣubuḥ.

* Hukum bercakap ketika khutbah Juma`at tidaklah haram di sisi Al-Imām.

* Benarkah Al-Imām membenarkan seorang bapa zina berkahwin dengan anak hasil perzinaannya sendiri? Atau ini merupakan salah faham pengikut mazhab beliau semata-mata?

Selamat Hari Raya (1439H)

Posted: June 11, 2018 in Uncategorized

.

Untuk slaid penuh, sila klik di sini: MUATTURUN

Salahkah Gigiku?

Posted: July 24, 2017 in Uncategorized

“GIGI Aqil tak rata, macam gigi papa.”

Ini kata-kata isteriku kepada anak sulung kami ketika membersihkan giginya.

Ini bukan kali pernah kondisi gigiku diberikan komen seperti ini. Kami pernah melawat kawan isteriku, juga seorang doktor gigi. Ketika ada yang memuji anakku, ada yang kata: “Muka Aqil sama macam muka papa.” Lalu, kawan isteriku mencelah: “Gigi pun sama macam gigi papa ke?”

Mungkin maksudnya cuma untuk bergurau, tapi kata-kata tersebut sedikit sebanyak terkesan di hati.

Kadang-kadang aku terfikir, teruk sangatkah kondisi gigiku sehingga doktor-doktor gigi boleh komen seperti itu?

Kadang-kadang aku terfikir, salahkah aku kerana tidak mendapatkan rawatan untuk “membetulkan” posisi gigiku?

Kadang-kadang aku terfikir, salahkah aku kerana mengahwini seorang doktor gigi sedangkan keadaan gigiku agak teruk?

Entahlah…